
Nenek Sambut Cucu
Baru-baru ini tular video seorang nenek sambut cucu dalam MPV, memang teruja melihat rezeki anak menantunya hadapi detik cemas bersalin itu.
Menurut guru al-Quran itu, dia bersama keluarga dari Rantau Panjang dalam perjalanan untuk ke hospital bagi menyambut kelahiran tetapi isterinya tak sempat sampai dan terus bersalin anak lelaki di dalam kenderaan ketika berada di Kampung Pendek.
Nuraisyah Fauzi, 28, melahirkan anak keenam kira-kira pukul 1.55 pagi yang disambut oleh ibunya, Rosminie Che Yusoff, 56, di dalam MPV jenis Toyota Estima dipandu abang, Fakhrurrozi, 32, ketika sedang dalam perjalanan ke Hospital Pakar KPJ Perdana.
Suami kepada Nuraisyah, Siraj Yasman, 39, berkata, isteri memaklumkan bahawa perutnya mengalami kontraksi ketika berada di rumah mereka di Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Riyadh, Gual Tinggi dekat Rantau Panjang kira-kira pukul 11 malam.
Katanya, dia pada awalnya menyangka itu hanya sakit biasa dan isteri masih boleh bertahan sehingga waktu subuh berdasarkan pengalaman melahirkan lima anak sebelum ini.
“Pada pukul 1.40 pagi, saya sudah bersiap-siap dan pergi ke rumah ibu mentua yang tinggal di kawasan sama sebelum menaiki MPV milik abang ipar untuk membawa Nuraisyah ke Hospital Pakar KPJ Perdana.
“Ketika tiba di Kampung Pendek selepas 15 minit perjalanan, isteri memaklumkan bahawa kainnya basah dan kepala anak kami sudah keluar. Ibu mentua saya yang duduk di tempat duduk penumpang depan terus berpusing dan menjadi bidan menyambut kelahiran anak keenam kami,”
katanya.Video kejadian bersalin dalam MPV itu telah menjadi tular di media sosial dan telah ditonton lebih dua juta orang.
Siraj yang merupakan guru al-Quran di Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Riyadh memberitahu, dia yang berada dalam keadaan panik hanya mampu berselawat dan berzikir melihat ibu mentuanya menyambut kelahiran anaknya itu di dalam MPV.
Katanya, kakak iparnya, Siti Hajar Tajuddin, 27, yang berada di tempat duduk penumpang belakang MPV sempat merakam detik ibu mentua menyambut anaknya.
“Selepas bersalin, saya terus memangku anak lelaki dan melaungkan azan ke telinganya. Saya masih ingat, abang ipar memandu MPV dalam keadaan sangat laju untuk tiba di hospital. Mujur tiada apa-apa yang berlaku kepada kami.
“Apabila tiba di Hospital Pakar KPJ Perdana, jururawat dan staf hospital tersebut sudah menunggu kami di lobi kerana saya sudah menghubungi mereka selepas isteri bersalin di dalam MPV.
“Ibu mentua juga tiada pengalaman menjadi bidan, tetapi dia ada memaklumkan pernah melihat video kaedah bersalin di TikTok sebelum ini. Daripada video itu, dia cuba membantu isteri saya ketika melahirkan anak kami dalam keadaan darurat,” ujarnya.
Siraj berkata, keadaan isteri dan anaknya yang masih belum diberikan nama itu berada dalam keadaan sihat ketika tiba di hospital.
Sumber: Kosmo!