NEELOFA Mengaku Hamil “Anak Pertama Akan Meragam Bila Nak Dapat Adik Hanya Mitos”. Alhamdulillah desas desus sekian lama, akhirnya Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor mengiyakan pertanyaan dia kini sedang berbadan dua selepas berkongsi cabaran menunaikan umrah, baru-baru ini.
“Ya, half way to go (pertengahan jalan),” demikian kenyataan selebriti popular, Neelofa, 34, berhubung spekulasi sedang hamil anak kedua seperti dakwaan netizen.
“Faham-fahamlah. Orang pun sudah nampak kan? Ramai yang mendoakan saya sihat dan selamat.
“Banyak orang mendoakan saya yang baik-baik. Banyak juga yang menghantar mesej langsung (DM), ucap yang baik-baik, jadi syukur Alhamdulillah.
“Iyalah, saya pun aktif pergi sana-sini, dengan anak kecil lagi. Ia bukan mudah, tetapi urusan saya dipermudahkan,” katanya.
Neelofa ditemui ketika majlis pelancaran koleksi Warisan di Butik Naelofar di KL East Mall, di sini, pagi ini.
Tak Kisah Jantina Anak
Mengulas mengenai jantina anak keduanya itu, Neelofa berkata, dia tidak kisah asalkan anaknya sihat, malah turut berkongsi kehamilan kali ini juga mudah seperti ketika mengandungkan anak pertama, Muhammad Bilal.
Ads
“Dari kehamilan anak pertama, saya tidak memilih, okay sahaja.
“Alhamdulillah, saya tak alami alahan teruk sejak anak pertama. Jika dibandingkan dengan kenalan saya, ada yang tidak boleh bangun daripada katil. Saya sangat bersyukur.
“Ada juga sedikit perubahan yang saya perlu buat, tetapi semua baik-baik sahaja. Dari segi perubahan bentuk badan, perasaan, hormon dan banyak lagi.
“Tetapi, saya seperti wanita yang banyak kali hamil, sudah biasa dengan semua ini,” katanya.
Bilal Tak Banyak Meragam
Sementara itu, mengulas kelakuan Bilal yang bakal menerima adik, Neelofa bersyukur anaknya tidak banyak meragam.
Ads
“Bilal okay sahaja sebab dia sudah besar dan makin kenal orang. Saya rasa ia hanya mitos bila orang kata anak pertama akan meragam bila nak dapat adik,” katanya.
Terdahulu, Neelofa menimbulkan spekulasi hamil anak kedua selepas video yang menampakkan perubahan pada bahagian perut tular dalam laman sosial.
Video itu merakamkan Neelofa memegang perut yang semakin membesar ketika memberi ucapan sempena ulang tahun pertama kelahiran Bilal.
Terdahulu, Neelofa mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Haris Ismail pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan anak sulung pada 29 Januari tahun lalu.
Anak-anak mesti teruja bila balik kampung rumah nenek dan datuk. Atara momen indah yang pasti akan dikenang selagi mereka masih ada. Rumah mak ayah kita membesar dan bila berhijarah musim-musim raya atau cuti panjang baru balik.
Untungnya bila balik kampung rumah nenek dan datuk yang jauh dari hiruk pikuk kota. Rasa tenang dan aman saja. Tapi takutnya tetap ada maklumlah rumah orang dulu-dulu.
Ada antara kita yang mempunyai pengalaman seperti yang dikongsikan oleh Zezedeha Azizi ini kan. Takut tapi seronok, pengalaman cucu cicit nanti.
Setelah lama tidak bercuti aku merancang pulang ke kampung nenek. Sudah lama aku tidak tidur di rumah nenek.
Kalau balik raya pun semalam saja aku bermalam di situ. Tidak puas rasanya. Kebetulan pula ketika itu musim buah. Riangnya rasa di hati. Bolehlah aku menikmati buah-buahan kampung sepuasnya. Mesti nenek buka meja depan rumah untuk menjual hasil kebunnya.
Bila sampai di kampung beberapa orang sepupuku telah ada di rumah nenek. Mereka datang bermalam bersama makcikku yang kebetulan mengikut suaminya yang ‘out station’ di daerah nenek.
Niat di hati mahu bermanja dan tidur di celah ketiak nenek tak dapatlah sebab nenek tidur dengan cucu-cucunya yang masih ‘kenit’ tu. Terpaksalah aku mengalah lalu tidur sendirian di bilik.
Masa tu masih awal lagi. Baru pukul 10.00 malam tak silap aku. Aku merebahkan diri di katil sambil membaca novel. Makcik dan nenek masih belum tidur. Aku dengar mereka masih bersembang di ruang tamu.
Malam itu nenek dan makcik serta anak-anaknya tidur di ruang tamu. Setelah hampir setengah jam berlalu aku dengar tingkap bilik seperti cuba dibuka dari luar.
Tingkap bilik tersebut menggunakan kunci jenis selak. Jika cuba dibuka dari luar akan mengeluarkan bunyi bising.
“Siapa tu ?” Aku memberanikan diri bertanya. Senyap sebentar.
Bila aku meneruskan pembacaan, bunyi tingkap cuba dibuka berulang semula. Setiap kali aku bersuara, bunyi tingkap senyap sekejap dan kemudian akan berulang semula.
Oleh kerana panas hati, aku bangun dan membuka tingkap.
“Jangan main-mainlah” sergah aku.
Namun tiada sesiapapun kelihatan di luar. Bunyi orang berlari atau berjalan pun tiada. Hanya kegelapan semata.
Nenek menyoal dari ruang tamu apa yang berlaku. Bila aku cakap ada orang cuba membuka tingkap dari luar, nenek bergegas masuk ke bilik.
Nenek mengeluarkan parang dari bawah katil dan menuju ke tingkap di mana aku berada ketika itu.
“Jangan kacau anak cucu akulah” jerit nenek sambil mengacu-acu parangnya ke luar tingkap.
Pelik aku melihat perlakuan nenek. Nenek marah siapa? Soalku di dalam hati sebab aku tak nampak sesiapapun.
Nenek membebel sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Nenek suruh aku tidur. Nenek pesan nyalakan lampu tidur, jangan bergelap. Selepas nenek keluar aku terus berbaring dan cuba melelapkan mata.
Ketika aku hampir terlelap aku dengar sayup-sayup suara orang bergelak ketawa tapi tidak begitu jelas. Mungkin suara budak-budak kampung yang melepak di “bus stop” yang tidak jauh dari rumah nenek.
Suara gelak ketawa itu bukan sekejap aku dengar. Aku terus mendengar suara tersebut hingga aku terlena.
Esok paginya aku bertanya kepada nenek tentang peristiwa semalam. Kata nenek benda tu selalu datang. Sebab itulah nenek sediakan parang di biliknya.
Pada mulanya nenek ingat pencuri cuba masuk ke rumah. Masa tu kecoh ada banduan lari dari tahanan dan dipercayai berada di kawasan sekitar kampung nenek.
Namun heboh penduduk kampung nampak pocong selalu berlegar-legar dalam pagar rumah nenek.
Bila aku bertanya tentang budak-budak kampung melepak di “bus stop”, nenek cakap budak-budak tersebut pun sudah tidak berani melepak lagi.
Merekalah yang nampak pocong di kawasan rumah nenek. Tambah nenek lagi bunyi gelak ketawa itu bukanlah suara budak-budak melepak tapi mungkin bunyi benda tu mengilai.
Biasanya selepas benda tu dihalau atau digertak ia akan beredar dan mengilai. Baru aku cemas dan takut mendengar cerita nenek. Selepas makan malam aku menonton televisyen. Belum habis cerita yang ditayangkan rasa mengantuk pula.
Mungkin banyak sangat makan tadi. Balik kampungkan, rugilah tak makan masakan nenek puas-puas.
Suara Halus Panggil Nama
Malam itu tiada lagi bunyi gangguan tingkap. Lega rasa hatiku. Namun baru aku mahu melelapkan mata katilku bergegar. Terus tegak bulu roma.
Kaku aku di tempat tidur. Bau kemenyan sekali sekala mencucuk hidung. Hilang seketika rasa takut apabila katil berhenti bergegar.
Kemudian terdengar pula suara halus memanggil namaku beberapa kali. Aku fikir aku bermimpi, lalu aku buat tak endah saja. Tapi makin kerap pula namaku diseru.
Bila aku amati, itu bukan suara nenek atau makcik. Aku membuka mata. Kelihatan lampu tidur di bilikku terpasang. Padahal aku telahpun mematikannya sebelum tidur tadi. Untuk menyedapkan hati aku memanggil nenek.
“‘Nek, panggil orang ke tadi?” soalku separuh menjerit pada nenek yang tidur di ruang tamu.
Tidak semena-mena bunyi mendengus di bawah rumah. Aku cepat-cepat keluar dari bilik menuju ke ruang tamu. Aku lihat nenek sedang terbaring lena bersama cucu-cucunya. Aku menelan air liur. Aku dah mula rasa takut. Aku tercegat di situ. Aku tidak berani masuk ke bilik semula.
Kedengaran tingkap bilik diketuk. Mula-mula perlahan saja. Namun makin lama makin kuat. Aku tunggu juga kalau-kalau nenek terjaga, bolehlah nenek sergah macam semalam.
Sakit hati pula rasanya bila tidak berhenti-henti bunyi ketukan itu. Laju aku menuju ke arah bunyi ketukan lantas menolak jendela. Hitam pekat. Tiada kelihatan apa-apa. Cuma bau kemenyan menerpa hidungku.
“Tuk, tuk” bunyi ketukan perlahan pada dinding kayu. Rupanya bunyi itu datang dari bawah jendela.
Terlolong aku menjerit bila mendapati sesusuk tubuh dengan kepala berbunjut ada di situ. Ia sedang menghantukkan kepalanya yang berbungkus tidak jauh dari tempat aku berdiri. Lintang pukang aku keluar mendapatkan nenek yang tidur di ruang tamu.
Dengan kusut masai nenek bangkit dari tempat tidur. Setelah mendengar ceritaku nenek terus mengambil parang dan membuka pintu. Aku mengekori nenek menuju ke tepi bilik di bahagian luar rumah. Kelihatan terlompat-lompat si bunjut itu beredar menuju ke kaki bukit tidak jauh dari rumah nenek.
Power Betul Nenek
Tak sangka “power” betul nenek. Pocong pun takut dengan dia. Kagum aku dengan nenek. Esoknya aku nampak nenek menabur garam kasar di sekeliling rumah sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.
Petangnya pula ada seorang pemuda menghantar sepasu anak pokok bidara. Nenek menempatkan pohon tersebut di tepi tingkap bilik sebelah luar.
Kata nenek kawasan tu jadi tempat kegemaran makhluk2 halus untuk singgah. Bila ayah datang aku ceritakan gangguan di rumah nenek. Kata ayah biasanya yang pandai memanggil hantu raya. Lagilah kalau ia sudah cam dan selalu dengar nama kita dipanggil.
Terus aku rasa nak balik hari tu jugak. Tapi masa tu ajelah rasa sedikit takut. Bila aku kongsikan peristiwa di rumah nenek dengan sepupu yang lain teruja pula mereka mahu menempuh pengalaman serupa.
Namun aku tidak pernah merasa serik dan takut mahu tidur di rumah nenek. Nenek aku kan “power”. Hantu pun takut dengan dia. Cayalah nek.
Mingguan Wanita : Walaupun takut tapi tak pernah serik. Siap bagitau sepupu lagi untuk rasai pengalaman itu. Sabar ajelah.
Tak dapat bayangkan orang lain makan dengan hidangan sedap dan mewah tapi berbeza dengan anak beranak ini yang hanya alas perut dengan nasi lauk telur masin.
Kebetulan pula, hasil telur masin itu adalah dari belaan itik milik mereka dan tiada duit untuk membeli laik lain. Buka dua mulut dengna suami tapi terpaksa menanggung anak-anak yang tidak bekerja dan mengalami masalah pembelajaran.
Inilah yang terpaksa dilalui oleh pasangan suami isteri ini. Lapan beranak dari Kampung Permatang Pusu, Melor, hanya mengharapkan wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan untuk meneruskan kelangsungan hiduP.
Bayangkan wang diterima ketua keluarga yang uzur, Hassan Yaakob, 78 tahun, itu dimanfaatkan sebaiknya untuk kegunaannya suami isteri serta enam anak walaupun adakalanya perlu mengikat perut.
Isterinya, Khadijah Omar, 61 tahun, berkata dengan elaun JKM itu, mereka sekeluarga perlu mencatu makanan dan hanya makan sekali atau dua kali sehari, selain menyediakan lauk yang ala kadar.
“Nasi berlaukkan telur masin sudah menjadi menu tetap kami jika tiada wang untuk membeli lauk lain.
“Mujurlah kami ada membela lapan ekor itik yang memang persediaan untuk kegunaan kami jika terputus lauk, malah ada juga penduduk kampung yang datang membeli telur,” katanya yang tinggal di rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Khadijah berkata, walaupun semua anak mereka sudah dewasa dan berusia 19 tahun hingga 40 tahun, semuanya mengalami masalah pembelajaran, lembam dan tidak bekerja.
Seorang lagi anak mereka sudah berkahwin dan menetap di Pasir Mas serta bekerja sebagai tukang kebun sekolah.
“Lima daripada tujuh anak keciciran pelajaran, manakala dua lagi bersekolah di sekolah pendidikan khas iaitu Mohd Najib Hassan, 21, yang sudah tamat sekolah tahun lalu manakala yang bongsu, Nur Nazirah Ayuni Hassan, 19, masih bersekolah.
“Enam yang menetap dengan kami tidak berumahtangga dan tidak bekerja kerana selain kurang bergaul, kami juga tiada kenderaan jika ditawarkan kerja kecuali basikal yang saya gunakan untuk ke kedai runcit atau pasar,” katanya.
Khadijah berkata, ketika ini mereka juga dibebani tunggakan bil elektrik yang mencecah RM1,500 dan bimbang jika bekalan elektrik dipotong.
Terdahulu, mereka menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan, diwakili Pengerusinya, Fazliyaton Daud, yang hadir menyampaikan wang zakat serta bantuan makanan asas.
Mingguan Wanita : Dugaan buat keluarga ini. Moga dipermudahkan segala urusan.
“Selalunya Orang Datang Untuk Potong Seluar, Tetapi Dia Pula Minta Labuhkan,”. Sesi persekolahan akan bermula minggu hadapan, namun ramai sebenarnya yang masih bergelut dalam membuat persediaan persekolahan untuk anak-anak. Baik daripada kelengkapan sekolah, buku-buku, yuran, pakaian dan sebagainya.
Berbeza agama dan bangsa namun itu bukan halangan kepada Sharipah Sadiah Khalid untuk membantu mengubah suai seluar sekolah remaja lelaki India tanpa mengambil upah. Kisah itu mendapat perhatian selepas wanita berusia 40 tahun itu berkongsi cerita menerusi hantaran di Facebook (Fb).
Sikap Sharipah Sadiah yang tidak berkira itu mendapat reaksi positif dengan rata-rata netizen memuji kebaikannya.
Berkongsi kisah sebenar, dia berkata, remaja lelaki itu, M Santosh, 15, datang berseorangan ke kedai jahitnya pada petang Ahad lalu.
“Saya selalu nampak dia dan kenal muka cuma tak tahu nama. Dia pun pernah tiga kali datang ke kedai saya untuk ‘alter’ seluar cuma kali ini dia datang untuk labuhkan.
“Warna seluarnya nampak lusuh dan melihat keadaan itu, timbul rasa kasihan kerana selalunya orang datang untuk potong tetapi dia pula minta labuhkan.
“Ikutkan tak boleh buat tetapi saya tak sampai hati nak tolak kerana kasihan jadi ambil juga,” katanya.
Menurut Sharipah Sadiah, selepas seluar siap diubah suai, remaja lelaki berkenaan tidak datang ke kedainya.Jadi, dia ambil inisiatif menghantar sendiri seluar berkenaan ke rumah remaja lelaki terbabit.
“Sepatutnya dia (datang) ambil kelmarin tetapi tidak datang dan kebetulan, saya tahu rumahnya kerana anak pernah main basikal dengannya.
“Maka, saya pun datang ke rumahnya untuk beri seluar itu dan remaja berkenaan terkejut mungkin kerana tak sangka.
“Dia dan ibunya nak beri upah tetapi saya tolak kerana memang niat nak bantu,” katanya.
Berhubung hantaran di Fb yang tular, Sharipah Sadiah berkata, niatnya adalah untuk berkongsi kisah remaja itu yang dianggap satu contoh baik untuk anak muda lain.
“Saya bukan nak ceritakan dia (remaja lelaki) susah kerana nampak keluarganya tidak begitu malah rumahnya sangat bersih.
“Cuma, mesej cuba saya sampaikan adalah ada lagi anak muda kini yang bertolak ansur dengan ibu bapa dan tak desak untuk pakaian sekolah baru.
“Terkejut juga apabila tular namun rata-rata komen diterima positif malah ada yang minta saya masukkan duit ke akaun saya dan minta sampaikan sumbangan kepada remaja berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Santosh ketika dihubungi berkata, dia hantar seluar berkenaan untuk diubah suai kerana enggan menyusahkan ibu bapanya.
“Seluar itu baru dibeli pada tahun lalu dan masih elok cuma perlu dilabuhkan.
“Disebabkan itu, saya hantar untuk ‘alter’ kerana tak sampai hati nak minta ibu dan ayah beli yang baru.
“Lagipun, saya ada tiga adik beradik lain masih bersekolah dan ekonomi sekarang juga tidak baik jadi apa salah pakai yang lama,” katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Warisan Puteri, di sini.
Mingguan Wanita:Terbaik tukang jahit ni, tek berkira untuk membantu orang lain di dalam kesusahan dan tahniah juga buat remaja ni, tidak meminta-minta dan menyusahkan mak ayah untuk membeli pakaian sekolah baru.
Ibu bapa anak kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta semalam dilihat sukar mengawal perasaan dan hanya menangis ketika menunggu jenazah anak di Unit Forensik Hospital Rembau.