Naskhah al-Quran yang ditulis tangan oleh Nurly Shahirah Azman, 23, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas persiaran di Gerik, Perak, menjadi tumpuan para pengunjung di kediaman keluarganya.
Allahyarhamah merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut, dan hasil tulisannya kini mendapat perhatian ramai yang datang menziarahi keluarganya di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Jertih.
Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, bersama kakandanya Tengku Puteri Utama Raja Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah serta adinda baginda, Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra, turut berkenan menziarahi keluarga Allahyarhamah.
Dalam kunjungan diraja itu, Tengku Muhammad Ismail turut meluangkan masa meneliti naskhah al-Quran tersebut bersama rombongan yang hadir.
Ketibaan mereka disambut oleh bapa arwah, Azman Mohamad, 63, dan ahli keluarga yang lain. Rombongan berangkat tiba sekitar jam 10.20 pagi dan berada di kediaman tersebut selama kira-kira 15 minit sebelum berangkat pulang pada jam 10.35 pagi.
Tragedi menyayat hati yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM53 Jalan Raya Timur–Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik telah mengundang simpati seluruh negara. Dalam suasana penuh duka itu, kisah seorang insan mulia, Nurly Shahirah Azmi, mencuri perhatian ramai dan menyentuh nurani masyarakat.
Pada usia 23 tahun, Allahyarhamah bukan sekadar pelajar tahun akhir jurusan Pendidikan Khas, tetapi juga seorang hafizah yang telah menghafaz 30 juzuk al-Quran sejak remaja. Amalan itu bukan sahaja bersemadi di hatinya, malah turut menyertainya dalam detik-detik terakhir hayat al-Quran kecil yang sering menemaninya, ditemukan erat dalam pelukannya ketika pasukan penyelamat menjumpai jasadnya.
Kisah pemergian beliau menjadi lebih mengharukan apabila abangnya, Najmuddin Azman, mendedahkan bahawa seorang kenalan arwah memberitahu jenazah adiknya dijumpai dalam keadaan sedang memeluk al-Quran. Seolah-olah kitab suci itu menjadi sahabat setia, menemani Nurly Shahirah hingga ke detik akhir kehidupannya.
Beliau dikenali sebagai individu yang istiqamah dalam menjaga hafazannya. Tidak pernah lekang dari mengulang bacaannya setiap malam. Al-Quran sentiasa ada dalam begnya, menjadi teman setia dalam menempuh kehidupan sebagai pelajar.
“Dia hafaz 30 juzuk. Dalam beg dia, mesti ada al-Quran kecil. Dia akan ulang hafazan tiap malam, tak pernah tinggal mengaji,” kongsi abangnya.
Keistimewaan Nurly Shahirah bukan terhenti setakat hafazan. Beliau pernah menghasilkan satu naskhah al-Quran lengkap melalui tulisan tangan (tahriri), satu bentuk penghayatan yang memerlukan ketekunan dan keikhlasan luar biasa. Amalan yang sangat jarang dilakukan oleh pelajar seusianya.
Walaupun hasrat untuk menjadi guru pendidikan khas tidak sempat direalisasikan, perjalanan hidupnya telah memberi makna yang mendalam. Beliau mengajar kita erti cinta pada ilmu, kesetiaan kepada al-Quran, dan keindahan berserah diri dalam menghadapi ajal.
Kisah Allahyarhamah bukan sekadar tragedi, tetapi satu teladan. Nurly Shahirah pergi dengan cara yang sangat mulia, dipanggil Ilahi dalam dakapan Kalamullah yang menjadi nadi hidupnya sejak usia muda. Pemergiannya memberi inspirasi buat ribuan wanita muda, agar mencintai ilmu dan menjadikan al-Quran sebagai panduan sepanjang hayat.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Tragedi Maut Pelajar UPSI, 15 Terbunuh, Ada Mangsa Tercampak, Dalam Bas, Terkeluar Sendiri
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE