Nak Isteri Rajin Masuk Dapur, Suami Kena Lakukan Hal Ini

Share

Memiliki  isteri yang berparas menawan dianggap satu bonus buat suami. Tapi percayalah, selepas berkahwin, suami lebih suka isteri yang rajin ke dapur daripada isteri yang sibuk pasang badan.

Walau pun tak sehebat masterchef, tapi kalau rajin masak pun dah memadai. Kata orang, hendak menawan hati suami, perlulah jaga perutnya. Bermakna isteri kena memasak dan menyediakan hidangan enak untuk suami dan anak-anak. Mungkin ada wanita yang tak bersetuju. Tapi cuba tanyakan pada suami, pasti ramai yang mengiakan kata-kata itu!

Ada juga suami yang cakap berlapik kerana tak nak menyakitkan hati isteri, “ saya tak kisah awak tak masak pun. Cuma, kalau awak masak, lagi saya suka”.  Bagi isteri, penat bekerja dan melayan anak-anak membuatkan mereka rasa membeli makanan lebih mudah. Lebih-lebih lagi bagi yang anak-anak masih kecil. Belanja membeli makanan siap lebih murah berbanding membeli barang basah untuk dimasak.

Itu kata isteri. Bagaimana pula bagi suami yang dalam diam ingin isterinya lebih rajin ke dapur dan menyediakan hidangan untuk dirinya dan anak-anak? Mungkin boleh cuba cara yang kami kongsikan ini.

Puji Masakannya

Jika sesekali isteri masuk dapur untuk memasak, puji masakannya walau pun mungkin tidak selazat yang anda bayangkan. Tapi ia sebagai tanda anda menghargai usaha dan penat lelahnya itu.

Kemudian beritahu isteri, apa kekurangan masakannya itu. Contohnya, mungkin jika lebih pedas, akan lebih sedap. Jangan sesekali mengkritik masakannya kerana boleh mendatangkan kemarahannya. Silap hari bulan, dia mogok masak.

Selain itu, katakan pada isteri, anda tak kisah walau dia hanya masak lauk yang ringkas. Yang penting, anda hendak makan masakan yang dimasaknya sendiri. Anda pula janganlah cerewet sangat kerana anda sedang melatihnya untuk lebih kerap memasak. Jangan bantutkan usaha anda itu dengan sikap cerewet tak bertempat. Mungkin pada mulanya masakan isteri tak berapa sedap. Tapi percayalah, kalau dia rajin masak, skil masakannya akan bertambah baik.

Tawarkan Diri Jaga Anak

Memang betul, kadangkala isteri terkejar-kejar pulang kerja hendak uruskan anak-anak pula.Jadi, tawarkan diri untuk menjaga anak ketika isteri sibuk di dapur. Jadi, isteri pun tak rasa terbeban bila tugas dikongsi bersama. Anda ambil tugas mandikan anda dan mempersiapkan anak. Waktu itu juga adalah waktu untuk anda bersama anak-anak setelah seharian bekerja.

Bantu Isteri

Jangan salah sangka, isteri bukan malas nak masak tapi kadangkala dia memang penat kerana seharian bekerja. Jadi, jika anda hendak isteri rajin masak, anda juga kena rajin membantunya. Selain menjaga anak, anda juga boleh bantu isteri di dapur seperti tolong mencuci pinggan mangkuk dan sebagainya. Percayalah, hilang penat isteri bila suami membantunya. Tak percaya, cubalah!

Hantar Kelas Masakan

Ada isteri yang terang-terangan mengaku dia tak pandai masak atau dari awal perkahwinan anda sudah maklum isteri tak pandai masak. Ambil inisiatif untuk hantar isteri ke kelas belajar memasak sebagai tanda sokongan anda untuk dia lebih yakin memasak kelak.

Kias Berhemah

Bila anda ingin isteri masak, mungkin ketika di pejabat, anda menelefon dan memberitahu yang anda teringin hendak makan sesuatu masakan dan tawarkan diri hendak singgah membeli barang keperluan balik kerja nanti. Secara tak langsung, isteri tahu anda hendak dia masak hari itu.

Terus Terang

Tak dinafikan, ada isteri yang culas nak masak. Asyik nak membeli saja. Sebagai suami, anda ada hak untuk menegur isteri. Tapi biarlah dengan berhemah agar tidak menjadi punca perbalahan.

Banyak faedah bila memasak sendiri. Boleh kawal perbelanjaan rumah dan makanan yang dimasak sendiri sudah tentu terjamin bersih berbanding di kedai yang kadangkala kita tidak tahu sejauh mana tahap kebersihannya.

 

IKLAN