
Pengalaman percutian di atas kapal persiaran semakin popular di kalangan rakyat Malaysia apatah lagi bila menjelangnya musim perayaan dan cuti persekolahan hujung tahun. Antara pilihan percutian seisi keluarga yang memperlihatkan era baharu bagi pelancongan halal serantau.
Bertepatan dengan promosi Tahun Melawat Malaysia tahun hadapan, keselesaan penumpang Muslim turut diberi perhatian apabila kapal ini mengasingkan bahagian minuman beralkohol di bahagian tertutup, sekaligus memberikan kelegaan dan ketenangan dalam menikmati pelayaran. Selain itu, ruang solat yang luas lengkap dengan penanda arah kiblat dan pengumuman waktu solat turut disediakan bagi memudahkan ibadah demi mengukuhkan imej Piano Land sebagai kapal persiaran mesra Muslim yang sebenar.
Dengan lebih 880 kabin pada 10 dek, kapal ini menjadi pilihan bagi pelbagai kategori pengembara termasuk pasangan muda, keluarga besar, warga emas, kumpulan korporat dan pengembara solo.
Nikmati kemudahan rekreasi seperti panggung teater, panggung wayang, pusat permainan kanak-kanak, perpustakaan mini, spa dan kolam renang yang telah dipilih dengan teliti agar sesuai untuk semua peringkat umur.
Menariknya, kapal mewah seberat 70,000 tan ini sebenarnya sebuah kapal klasik Eropah yang pernah dinamakan sendiri oleh Ratu Elizabeth II. Terbayang pula kehebatan cerita Titanic!
Selain kemudahan mesra Muslim, Piano Land turut menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan halal negara. Malaysia sekian lama dikenali sebagai destinasi Muslim-friendly terbaik dunia, namun penawaran pelayaran halal menyeluruh masih terhad. Malaysia berpotensi memperluas reputasinya sebagai hab pelancongan halal bukan saja di darat, malah di lautan!
Bayangkan jika dapat menikmati pakej percutian Islamik di atas kapal dan disulami program ibadah, aktiviti keagamaan dan susun atur hiburan yang menepati nilai Muslim. Pasti ia menjadi nilai tambah percutian gaya baharu rakyat Malaysia.
Keseluruhan tawaran mesra Muslim, berstatus halal, selesa, selamat dan aktiviti kekeluargaan, percutian kapal mewah inibukan sekadar sebuah kapal persiaran, tetapi satu peluang besar untuk merevolusikan pengalaman percutian keluarga Muslim.