
Nahas Kemalangan di Lenggong
Kisah sedih nahas kemalangan di Lenggong menjadi satu memori yang tidak akan dilupakan oleh pasangan hidup guru wanita yang maut dalam tragedi di Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu.
Menurut suami arwah, Hazrul Jalaluddin, 45, segalanya berlaku terlalu cepat dan memang tidak disangka-sangka, pinjaman yang Allah kirimkan telah tinggalkan dirinya dengan anak-anak. Namun ada sesuatu naluri yang dilaluinya sebelum kejadian tersebut, kongsinya…
“Biasanya isteri akan salam dan cium saya sebelum keluar rumah. Tapi semalam dia keluar tergesa-gesa…”
Itulah kenangan terakhir yang akan terus terpahat dalam ingatan lelaki itu, selepas kehilangan isteri tercinta, Zuraida Abu Bakar, 47, dalam satu kemalangan tragis.
Menurut Hazrul, rutin itu tidak pernah ditinggalkan sepanjang 20 tahun mereka mendirikan rumah tangga. Namun pada hari kejadian, arwah keluar lebih awal untuk menghadiri kursus di Lenggong bersama rakan-rakan guru. Disebabkan mahu mengejar masa kerana menumpang kenderaan rakannya, arwah terus bergegas meninggalkan rumah tanpa sempat bersalaman dan mencium suaminya seperti kebiasaan.
“Apabila saya hubungi, dia beritahu nak cepat sebab tumpang kawan. Saya tak sangka itulah perbualan terakhir kami,” katanya dalam nada penuh sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik.
Lebih memilukan, Hazrul mengakui sejak beberapa hari sebelum tragedi itu, hatinya sering diselubungi perasaan yang sukar dijelaskan. Wajah isterinya kelihatan berbeza di matanya, malah setiap kali melihat arwah tidur, hatinya terasa sayu seolah-olah bakal kehilangan insan yang paling disayangi.
“Masa saya ajak dia keluar ‘ride’ motosikal pun dia tak bantah. Selalunya dia cakap penat atau tak larat. Kali ini hujan pun dia sanggup ikut. Sekarang baru saya faham, mungkin itu kenangan terakhir Allah izinkan kami cipta bersama,”
katanya.
Zuraida yang merupakan guru di Kolej Vokasional Gerik meninggal dunia selepas Honda Odyssey yang dinaikinya bersama lima rakan terlibat dalam kemalangan di Kilometer 29.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu sekitar jam 5.10 petang. Dalam nahas sama, seorang pegawai polis, Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41, turut maut di lokasi kejadian.
Pemergian Allahyarhamah meninggalkan suami serta tiga orang anak berusia antara 12 hingga 19 tahun. Paling terkesan ialah anak perempuan bongsu mereka yang sangat rapat dan manja dengan ibunya.
“Tak tahu nak cakap macam mana, mereka kena kuat. Mereka memang sangat manja dengan mama,”
luah Hazrul sambil menahan air mata.Kisah ini menjadi peringatan bahawa kita tidak pernah tahu bila pelukan, ciuman atau ucapan selamat tinggal yang diberikan kepada insan tersayang akan menjadi yang terakhir. Hargailah setiap detik bersama mereka selagi masih diberi kesempatan.
Al-Fatihah buat Allahyarhamah Zuraida Abu Bakar. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.