Dalam hati seorang ibu, tiada yang lebih mendebarkan selain melihat anak kecil menangis tanpa henti, lebih-lebih lagi bila hati sendiri sedang diserang gelisah menunggu khabar suami tercinta.
Itulah yang alami oleh isteri Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi sementara menerima khabar mengenai suami tersayang yang dikhabarkan terbabit kemalangan trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kira-kira jam 8.50 pagi.
“Mikhael Anaqi, anak sulung kami baru berusia empat bulan, tiba-tiba menangis tanpa henti. Macam tahu ayah dia tengah sakit waktu tu,” luah Nor Farahana Mohd. Razali, 28, yang masih belum sempat menyesuaikan diri di kuarters Unit 5, Sungai Senam, Ipoh.
Sebagai isteri anggota yang baru berpindah, Farahana belum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp isteri-isteri anggota lain. Saat tragedi berlaku, dia langsung tidak tahu apa-apa. Yang dia ada hanyalah firasat dan tangisan anaknya yang tak mahu reda.
“Saya tunggu tiga jam tanpa sebarang kepastian. Berita yang saya terima bercampur-campur. Ada yang kata selamat, ada yang diam. Masa tu saya cuma duduk, pegang anak, dan menangis dalam diam.”
Farahana dan Muhammad Aniq baru mendirikan rumah tangga tahun lalu. Hidup masih di fasa membina fasa belajar memahami, menyusun bahagia, dan menyulam impian. Tetapi ujian datang terlalu awal.
“Bila diberitahu suami cedera, saya terus ke Hospital Teluk Intan. Tapi saya masih tak tahu keadaan dia macam mana. Saya takut, saya keliru… Tapi saya tetap kena kuat. Demi Mikhael. Demi suami saya.”
“Bila dapat tahu suami saya cedera, jantung rasa seakan berhenti. Saya tak tahu sejauh mana keadaannya, tak tahu di mana dia terluka. Saya cuma tahu saya perlu cepat ke Hospital Teluk Intan. Dalam hati, saya ulang-ulang doa agar Allah lindungi dia,” luah Farahana dengan mata yang masih berkaca.
Sementara itu, bapa mertuanya, Rozi Jusoh, 63, berkongsi mengenai satu-satunya anak lelaki dari empat bersaudara yang menjadi harapan keluarga.
“Aniq anak bongsu kami. Satu-satunya lelaki daripada empat beradik. Dia bukan sekadar anak, dia harapan.”ujarnya.
Sementara itu, Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, hanya mengingati bunyi dentuman kuat sebelum mendapati dirinya terbaring di lantai trak.
Dia merupakan antara sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh yang cedera dalam nahas di Jalan Chikus – Sungai Lampam dengan lori membawa muatan batu pada pagi Selasa lalu.
Katanya, semasa nahas itu berlaku, dia hanya mendengar bunyi brek secara mengejut, dentuman kuat sebelum menyedari berada di lantai trak polis itu.
‘Saya dalam keadaan separuh sedar sebelum ada anggota daripada trak lain menarik saya keluar.’
Dia dibenarkan keluar selepas menjalani rawatan di Hospital Teluk Intan sebelum pulang ke rumah keluarga di Arau,Perlis. Terdahulu, Dia dikunjungi oleh Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin di sebuah rumah rehat di Taman Melor di sini.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE