Bila Buli Disorok, Anak Jadi Mangsa Senyap
Di Cheras, seorang bapa, Mohd Izham Zakri Mohd Desa, meluahkan kekecewaan yang tidak terungkap. Anak lelakinya, pelajar Tingkatan Tiga yang aktif dalam sukan dan pernah mengharumkan nama sekolah hingga ke peringkat negeri, rupa-rupanya menjadi mangsa buli sejak tahun 2023.
Lebih memilukan, penderitaan itu disembunyikan, bukan hanya oleh pelajar lain, bahkan wujud dakwaan melibatkan guru yang menekan emosi si anak.
Surat Rahsia Yang Menyakitkan
Sebagai seorang ayah, tiada yang lebih menyakitkan daripada mengetahui penderitaan anak disembunyikan.
“Mereka rahsiakan perkara ini, malah dalam diam minta anak saya tandatangan satu surat menyatakan tak berlaku buli di sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa,” katanya dengan nada kecewa.
Bagi Izham, perbuatan ini bagaikan menikam dari belakang. Bagaimana mungkin sebuah institusi yang sepatutnya melindungi, sanggup menutup mata dan menutup mulut anaknya sendiri?
Buli Fizikal & Siber, Hingga Hilang Kepercayaan
Menurutnya lagi, anaknya bukan sahaja ditampar oleh rakan, malah menjadi mangsa buli siber yang didakwa turut melibatkan beberapa guru.
Lebih mengejutkan, ketika si ayah bersuara, ada pula guru yang membuat laporan polis terhadap dirinya seolah-olah keberanian seorang bapa membela anak dianggap ‘campur tangan hal sekolah’.
Harapan Seorang Ayah
Aduan telah dibuat melalui laporan polis dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). Apa yang diharapkan hanyalah keadilan untuk anak, dan tindakan tegas daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Kerana bagi seorang ayah, tiada luka yang lebih perit daripada melihat anaknya berjuang seorang diri dalam senyap, dikhianati oleh sistem yang sepatutnya menjaga.