Model Rusia Buat Laporan Polis Selepas Jadi Mangsa Komen Lucah, Dimalukan Ketika Makan Berseorangan Di Restoran

Share

Model Rusia buat laporan polis selepas jadi mangsa komen lucah, dimalukan ketika makan berseorangan di restoran. Seorang wanita warga Rusia tampil membuat laporan polis selepas tular rakaman video yang memaparkan dirinya dalam siaran langsung seorang pempengaruh lelaki di sebuah restoran di ibu kota.

Mangsa, Alice Kasimova, 26 yang bekerja sebagai model berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 5.37 pagi, Jumaat.

Menurutnya dalam hantaran di platform Threads, keputusan itu diambil selepas mendapat nasihat daripada kenalan yang bimbang akan keselamatannya.

“Semua orang menyuruh saya pergi ke balai polis dan saya melakukannya.

“Saya pergi ke balai polis bukan kerana marah tetapi (tindakan) berdiam diri hanya melindungi individu yang menyakitkan orang lain. Tiada wanita patut berasa takut untuk mempertahankan diri,” katanya.

Kasimova turut berkongsi salinan laporan polis di media sosial namun hanya menyiarkan sebahagian daripadanya kerana mengandungi maklumat peribadi.
Laporan polis dibuat model Rusia ini selepas dimalukan dengan komen lucah ketika makan berseorangan di sebuah restoran

Dalam hantaran terbarunya, Alice turut  meluahkan rasa terharu terhadap  sokongan yang diterimanya dari orang ramai selepas insiden itu tular.

“Saya benar-benar terharu dengan  sokongan semua. Setiap kata-kata amat menyentuh hati. Saya tidak pernah menyangka perkara ini akan mendapat perhatian sebesar ini,”jelasnya yang turut memaklumkan dalam hantaran terkini di media sosialnya, pihak polis polis telah menghubunginya untuk  memberikan kenyataan  namun ianya tidak dapat dilakukan dalam masa terdekat kerana dirinya sudah berada di lapangan terbang untuk bercuti ke Bali seperti dirancangnya.

“Sebaik sahaja saya kembali ke Kuala Lumpur, saya akan ke balai polis untuk urusan ini. Polis juga mahu menyiasat insiden yang terjadi dan saya juga mahu tahu apa tindakan selanjutnya,”katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada sokongan diterimanya.

Tulisnya, “terima kasih semua. Saya tahu rakyat Malaysia orang yang jujur dan adil.

‘Itu Bukan Lawak, Itu Gangguan Seksual’

Dalam satu kenyataan sebelum ini, model ini meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pempengaruh lelaki dari Kelantan yang didakwa mengeluarkan kata-kata lucah dan berunsur seksual di hadapan pasangan sendiri ketika bersiaran langsung bersama pengikutnya ketika dirinya makan berseorangan di sebuah restoran.

“Sangat menyedihkan  seorang lelaki bercakap begitu tentang wanita, lebih-lebih lagi di depan pasangannya sendiri. Itu bukan lawak. Itu bukan tanda kekuatan. Saya mahu hidup dalam dunia di mana lelaki melindungi wanita bukan sebaliknya,” katanya.

Lelaki asal Kelantan ini berborak lucah dan turut meletakkan Alice yang keseorangan dalam video siaran langsungnya itu.

Dimalukan Secara Terbuka

Dari sudut undang-undang, insiden yang dialami Alice Kasimova boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual secara lisan dan visual di bawah Akta Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) kerana melibatkan kata-kata berunsur seksual tanpa persetujuan serta rakaman tanpa kebenaran yang menjejaskan maruah dan kehormatan seseorang.

Insiden dicetus lelaki itu dengan bercakap lucah termasuk menyentuh soal payudara wanita dalam rakaman durasi kurang seminit yang beredar di media sosial sejak semalam, menunjukkan pempengaruh berkenaan makan bersama seorang wanita dipercayai isterinya sambil berbual lucah dengan pengikut tentang tubuh seorang wanita yang duduk di meja berdekatan.

Tindakan itu disifatkan oleh orang ramai sebagai memalukan dan tidak beradab terutama apabila dilakukan secara terbuka di ruang awam.

‘Dia Sudah Terima Hukuman Sebenar: Rasa Malu’

Dalam satu kenyataan awal, Alice menegaskan bahawa lelaki tersebut  sudah menangung satu pengajaran iaitu rasa malu dicemuh  orang ramai dengan perlakuan jijiknya itu hingga perlu membuat video permohonan maaf kepada semua rakyat Malaysia.

“Penjara mungkin terlalu berat. Tapi dia sudah pun menerima hukuman sebenar iaitu rasa malu,” katanya sebelum ini.

Sokongan dari Rakyat Malaysia

Alice turut menzahirkan penghargaan terhadap masyarakat Malaysia yang menunjukkan sokongan dan empati kepadanya.

“Malaysia ialah negara yang indah dengan rakyat yang mesra dan penuh rasa hormat. Saya sangat berterima kasih atas mesej dan solidariti semua. Saya tidak akan buat laporan ke balai polis jika bukan kerana dorongan anda semua,” ujarnya.

Insiden ini membuka semula perbincangan mengenai kesedaran gangguan seksual di ruang awam dan dalam talian serta keperluan mendidik masyarakat tentang batas pergaulan, etika digital dan penghormatan terhadap privasi wanita.

Dalam pada itu dilaporkan lelaki berasal dari Kelantan itu sudah membuat permohonan maaf di atas komen dilakukan secara terbuka selepas dikecam teruk kerana perbuatannya yang dianggap biadap dan melanggar privasi awam iaitu merekod seseorang tanpa izin.

Dalam hantaran di laman sosialnya, dirinya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia sambil mengakui kesilapan tersebut berpunca daripada kelalaian diri sendiri.

“Saya ingin memohon seribu kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia yang melihat video semasa berada di restoran itu.Saya tiada niat. Saya terbaca komen-komen netizen yang minta macam-macam. Saya anggap ini silap saya.

“Manusia ni tak pernah tak buat silap. Ini kesilapan pertama kali saya. Selepas ini, siapa nak komen kata saya bodoh atau apa saja, tak apalah itu terpulang kepada anda,” katanya dalam video berkenaan.

Walau dirinya telah meminta maaf tapi ramai netizen beranggapan  wajar lelaki ini disaman kerana membuat komen lucah yang dianggap tidak sesuai.

Published by
Almaswa Haji Che Ros