Misi GSF: Semua Rakyat Malaysia Selamat, Akan Dihantar Pulang Melalui Negara Ketiga. Semua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bakal dihantar pulang melalui sebuah negara ketiga.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan pada Khamis menegaskan bahawa kesemua tahanan berada dalam keadaan sihat serta selamat.
“Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengeluarkan arahan kepada perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah untuk mendapatkan kerjasama daripada kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.
“Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan selamat mereka ke Malaysia.
“Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara,” jelas kenyataan itu.
Tambah kementerian lagi, kerajaan kini sedang melaksanakan pelbagai usaha bagi menjamin keselamatan selain memastikan pembebasan segera 15 rakyat Malaysia yang kini ditahan rejim Zionis.
Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad telah menghubungi beberapa pemimpin antarabangsa termasuk rakan sejawat dari Amerika Syarikat untuk mendapatkan sokongan dalam isu berkenaan.
“Kerajaan turut menegaskan bahawa penahanan peserta GSF adalah tidak sah dan menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera,” menurut kenyataan itu lagi.
Sumber: Sinar Harian
Artikel lain: Yusuf Bahrin Kongsi Detik Terakhir Sebelum Zizi Kirana Ditahan Saya Tak Tidur, ‘Last Contact’ Jam 1.40 Pagi Tadi”
Global Sumud Flotilla: Heliza Helmi Antara 12 Rakyat Malaysia Ditahan
Yatt Hamzah Rayu Kerajaan Bantu Suami Dibebaskan, 11 Rakyat Malaysia Ditahan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE