
Berbaki RM355,635.72 masih diperlukan bagi melengkapkan dana untuk membawa pulang jemaah haji Malaysia, Hajah Asmah Mansor, 71, yang kini sedang menjalani rawatan akibat pneumonia di Hospital Saudi German, Makkah.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, keseluruhan kos diperlukan untuk misi ini dianggarkan sebanyak RM500,000. Kos ini meliputi peralatan perubatan khusus serta proses membawa pulang pesakit kritikal seperti Hajah Asmah Mansor dari Makkah ke Malaysia.
Setakat ini, jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan ialah RM144,364.28. Ini menjadikan baki yang masih perlu disempurnakan bagi menjayakan misi bantuan Hajah Asmah Mansor sebanyak RM355,635.72.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat, Datuk Dr Mohd Na’im merayu kepada rakyat Malaysia agar bersama-sama menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga Hajah Asmah Mansor.
“Saya dengan rendah hati mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk kita sama-sama bantu Hajah Asmah, kini sedang berjuang melawan penyakit pneumonia di Makkah untuk dibawa pulang ke tanah air. Di saat ada keluarga gembira dengan kepulangan jemaah haji, keluarga Hajah Asmah masih lagi menanti kepulangan beliau,” katanya.
Difahamkan, Hajah Asmah telah pun selesai menunaikan rukun haji, namun keadaannya merosot sehari sebelum pulang ke tanah air. Kini beliau terpisah daripada keluarga dan disokong sepenuhnya oleh alat bantuan pernafasan (ventilator
) sepanjang rawatan di Makkah.Mohd Na’im menjelaskan bahawa urusan menghantar pulang pesakit dalam keadaan kritikal seperti Hajah Asmah Mansor memerlukan kos yang sangat tinggi kerana melibatkan kelengkapan perubatan khas dan pemantauan rapi sepanjang perjalanan.
Beliau turut mengajak orang ramai untuk turut serta dalam usaha murni membantu misi ini demi kesejahteraan Hajah Asmah Mansor.
“Semoga segala keprihatinan, perhatian dan sumbangan ikhlas ini ALLAH SWT berkatinya dan membalasnya dengan sebesar-besar ganjaran, diberkati rezeki dan umur dengan keberkatan sedekah jariah ini,” ujarnya lagi.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui Tabung Musa’adah Jakim–Yayasan Waqaf Malaysia menerusi akaun CIMB Islamic 86-0221818-6
, dengan meletakkan rujukan ‘Hajjah Asmah Binti Mansor’.Sumber: Sinar Harian dan Facebook Dato’ Setia Dr. Naim
Artikel penuh: Jemaah Haji Wanita Malaysia 2025 Dirawat Di ICU Makkah Akibat Pneumonia, Perlukan Ventilator Sepanjang Masa
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE