
MMF 2026, memperkasa wanita muslim dalam ekonomi, kepimpinan & identiti. Peranan wanita hari ini sangat jelas dalam masyarakat. Mereka bukan sekadar ibu atau wanita bekerja mahu pun pengguna produk atau peserta acara tetapi individu yang membina ekonomi, mempengaruhi pemikiran dan menggerakkan komuniti.
Dalam landskap sosial yang terus berubah, suara wanita semakin signifikan dan perlu diberi ruang yang wajar. Kesedaran inilah yang membentuk asas Malaysia Muslim Festival (MMF) 2026 yang bakal berlangsung dari 5 hingga 8 Februari 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Festival ini menyediakan sebuah platform yang menampilkan wanita sebagai penggerak utama dalam pembangunan komuniti Muslim dan ekonomi halal, merangkumi aspek perniagaan, kepimpinan dan identiti.

MMF 2026 menghimpunkan pelbagai segmen gaya hidup dan industri yang dekat dengan realiti wanita hari ini. Melalui Trade & Services Hub serta segmen Fashion & Hijab, festival ini membuka ruang untuk wanita melihat, memahami dan meneroka potensi ekonomi dalam ekosistem halal. Ia bukan sekadar mempamerkan produk tetapi menghubungkan wanita dengan peluang, jaringan dan idea yang boleh dikembangkan.
Pemerkasaan wanita turut diterjemahkan melalui panel wacana yang serius dan relevan meletakkan suara wanita di pentas utama perbincangan. Pada hari pertama festival, Siri Intelektual bertajuk Wanita: Memimpin dengan Hikmah menampilkan Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa dan Ardell Aryana, dengan sesi dikendalikan oleh Wany Hasrita.

Perbincangan ini meneroka kepimpinan wanita yang berteraskan nilai Islam, sambil berhadapan dengan realiti kehidupan moden yang menuntut kebijaksanaan dan keseimbangan. Ia membuka ruang dialog tentang bagaimana wanita boleh memimpin, membuat keputusan dan memberi pengaruh tanpa menafikan peranan mereka dalam keluarga dan komuniti.
Isu identiti wanita pula diberi tumpuan pada hari ketiga menerusi sesi “Kecantikan dalam Islam: Unveiling the Boundaries”. Menampilkan Nana Mahazan dan Mira Filzah, sesi ini membincangkan kecantikan dari perspektif yang lebih luas sebagai cerminan nilai, pilihan dan kefahaman diri, bukan semata-mata penampilan luaran. Dialog ini mencerminkan realiti wanita Muslim masa kini yang sering berdepan pelbagai persepsi dan jangkaan sosial.

Di luar pentas wacana, zon pameran MMF 2026 menjadi medan pertemuan penting bagi usahawan dan pemimpin wanita. Di sinilah wanita boleh meninjau peluang perniagaan halal, menjalin hubungan dengan rakan niaga dan mengikuti perkembangan terkini dalam bidang fesyen, kecantikan dan perkhidmatan halal.
Ekonomi tidak dilihat sebagai konsep abstrak tetapi sebagai ruang yang boleh dimasuki dan dibina secara praktikal.

Secara keseluruhan, Malaysia Muslim Festival 2026 menawarkan sebuah ekosistem yang menyatukan wanita, ekonomi dan suara komuniti. Ia menampilkan wanita bukan sekadar sebagai audiens tetapi sebagai individu yang menyumbang idea, memimpin perbincangan dan membentuk arah komuniti.

Malaysia Muslim Festival 2026 akan berlangsung dari 5 hingga 8 Februari 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur. Maklumat penuh mengenai program, penceramah dan pameran boleh didapati di www.mymuslimfestival.com.my.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

