Mejar Mohd. Fikry & Isteri Mohon Doakan Tiga Puteri Kembar – “Doakan Kesihatan Anak-anak Triplet Kami Yang Masih Di NICU”

Share

“Saya dan isteri mohon kepada semua untuk mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anak-anak kembar tiga kami yang kini masih berada dalam wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU)/ Unit Penjagaan Khas Bayi (SCN) Hospital Melaka.”

Demikian luahan penuh harapan daripada pegawai tentera, Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 40, yang berkongsi keadaan terkini anak kembar tiga beliau yang masih memerlukan pemantauan rapi selepas selamat dilahirkan pada 24 Oktober lalu.

Doa & Harapan Buat Anak Kembar Tiga

Menurut Mejar Mohd. Fikry memetik Kosmo online ketiga-tiga cahaya mata itu lahir lebih awal daripada jangkaan dan kini berada di bawah pengawasan pakar selepas disahkan berisiko mengalami komplikasi akibat kelahiran pramatang.

“Allahuakbar… Mereka lahir pramatang pada minggu ke-31 dan terdapat risiko tinggi berlakunya komplikasi bayi pramatang. Mereka kini memerlukan pemantauan rapi oleh doktor pakar yang merawat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut merayu agar pihak Hospital Melaka melakukan prosedur sebaik mungkin dan mengelakkan sebarang kecuaian bagi memastikan anak kembar tiga mereka berada dalam keadaan selamat.

Perjalanan Tabah Di Sebalik Ujian

Tambahnya lagi, bayi-bayi berkenaan dijangka akan terus berada dalam pemantauan rapi sehingga mencapai tempoh matang kandungan sekitar minggu ke-35. “Walau apa pun yang berlaku kami pasrah dan reda dengan segala ujian, segala ketentuan dan perancangan Allah SWT adalah yang terbaik buat kami,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan berdoa agar anak-anak kembar tiga mereka kembali sihat serta dapat bersama keluarga tidak lama lagi. “Semoga anak-anak kembar tiga semuanya kembali sihat dan selamat dengan izinNya. Doakan kami terus kuat,” ujarnya penuh harapan.

Mejar Mohd Fikry Amri dan isteri Sabrina dikurniakan kembar tiga selepas menjalani rawatan IVF tajaan TAFF. Foto Ihsan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri.

Ujian Kehilangan & Rezeki Baharu

Untuk rekod, kisah pasangan ini pernah mencuri perhatian ramai apabila anak pertama mereka, Muhammad Al Fateh Amri yang baru berusia lapan bulan, meninggal dunia selepas dihantar ke sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah pada September tahun lalu.

Anak sulung itu merupakan zuriat yang amat dinantikan oleh pasangan tersebut selepas 13 tahun mendirikan rumah tangga. Namun, rezeki mereka tidak terhenti di situ apabila pasangan ini kemudian menerima tajaan daripada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) — yang diasaskan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bagi menjalani rawatan persenyawaan tabung uji (IVF).

Rawatan tersebut akhirnya membawa kepada kelahiran anak kembar tiga mereka baru-baru ini, satu anugerah yang amat bermakna selepas pelbagai dugaan dilalui. Pasangan ini kini terus berdoa agar ketiga-tiga puteri kecil mereka terus membesar dengan sihat di bawah jagaan doktor pakar NICU Hospital Melaka.

Sumber: Facebook Mejar Mohd Fikry Amri 

Artikel berkaitan: Pengubat Rindu Al Fateh Macam Tak Percaya Dapat Tiga Puteri Sekali Gus

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE 

Published by
Has