
Mayat wanita dalam beg yang ditemui di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, mengejutkan penduduk apabila polis mengesahkan ia berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kehilangan seorang wanita yang dilaporkan sebelum ini.
Polis Negeri Sembilan mengesahkan penemuan satu mayat wanita yang disimpan di dalam sebuah beg dan ditanam di kawasan belakang rumah tersebut pada Khamis.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan bahawa penemuan ini dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kehilangan seorang wanita yang dilaporkan di Balai Polis Ampang Jaya, Selangor pada 15 Disember lalu.
“Susulan daripada laporan tersebut, pada 18 Disember (Khamis) satu laporan diterima di Balai Polis Pedas, Rembau.
“Bertindak atas maklumat, polis telah pergi ke sebuah rumah di Jalan Pedas-Linggi untuk pemeriksaan lanjut dan telah mengesan unsur-unsur berlakunya perlakuan jenayah di kawasan belakang rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi berkenaan membawa kepada penemuan sebuah beg yang mengandungi mayat wanita dalam beg yang ditanam di kawasan tersebut.
Beliau berkata, siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat, selain mengesan suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan. Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melibatkan pembunuhan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di 06-6852222.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pihak polis meminta bantuan orang awam bagi mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Khairul Anuar Khalid berkata laporan kehilangan tersebut dibuat oleh ibu saudara mangsa di Balai Polis Ampang.
“Wanita berkenaan telah membuat laporan di Balai Polis Ampang berhubung kehilangan anak saudaranya.
“Kita telah membuka kertas siasatan, kes diklasifikasikan Orang Hilang, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan wanita itu,” katanya.
Berdasarkan maklumat yang tular di media sosial, mangsa dikenali sebagai Suri binti Narudin, atau lebih dikenali sebagai Maksu Kachak. Mangsa dilaporkan hilang sejak 8 Disember 2025 dan dipercayai tidak pernah sampai ke destinasi yang dituju. Usaha menghubunginya juga gagal sehingga laporan polis terpaksa dibuat.
Hantaran di media sosial turut menggesa orang ramai supaya berkongsi maklumat bagi membantu pencarian. Kenyataan tersebut menyatakan bahawa laporan polis telah dibuat demi mengesan mangsa, yang kini dipercayai berkait rapat dengan penemuan mayat wanita dalam beg
itu.Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesahkan identiti mayat yang ditemui serta merungkai sepenuhnya motif dan kronologi kejadian. Pihak berkuasa juga sedang menghubungi waris terdekat bagi tujuan pengesahan formal.
Dengan perkembangan terbaharu ini, masyarakat setempat mengikuti rapat perkembangan kes berprofil tinggi yang melibatkan mayat wanita dalam beg tersebut, sementara menunggu maklumat rasmi daripada pihak polis.
Sumber: Sinar Harian dan Facebook Mac Ruhayu
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE