Mayat bayi lelaki berlumuran darah ditemui di taman permainan, PPR Gua Musang, ditanam sedalam 10cm. Mayat seorang bayi lelaki yang berlumuran darah ditemui di sebuah taman permainan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang semalam dipercayai telah ditanam secara cetek dengan kedalaman kira-kira 10 sentimeter.
Mayat Bayi Lelaki Berlumuran Darah Ditemui Di Taman Permainan, PPR Gua Musang, Ditanam Sedalam 10sm
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo memaklumkan, berdasarkan keterangan saksi, bayi berkenaan dijumpai berhampiran tong sampah di kawasan taman tersebut.
Menurut beliau, mayat bayi itu dibungkus dengan kain putih sebelum ditimbus sedalam lebih kurang 10 sentimeter di tanah.
Ads
“Polis masih mengesan suspek terlibat dalam kes pembuangan mayat bayi lelaki tersebut. Mayat bayi berkenaan telah dibawa ke Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang kira-kira pukul 1 pagi tadi untuk proses bedah siasat.
“Setakat ini, pihak polis masih belum dapat mengenal pasti suspek yang terlibat. Usaha menghubungi pihak hospital dan sekolah berdekatan untuk mengesan suspek terlibat juga telah dijalankan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan penemuan bayi lelaki yang dibalut dengan kain lampin dan berlumuran darah di taman permainan PPR Gua Musang.
Maut dilanggar pemandu mabuk, keluarga penuhi hasrat arwah Darna derma kornea mata, izin pihak hospital buat pembedahan. “Sebagai memenuhi hasrat arwah, kami sekeluarga sepakat mengizinkan pihak hospital melakukan pembedahan bagi prosedur pendermaan kornea mata kakak,” kata Sanni Tajudin, 34, adik kepada Darna yang meninggal dunia selepas tujuh hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tawau.
Darna Tajudin, 41, disahkan meninggal dunia pada jam 8.37 pagi Ahad lalu selepas dirempuh sebuah kenderaan dipandu lelaki dipercayai mabuk ketika sedang berlari bersama rakan pada 10 Ogos.
Menurut Sanni, arwah sebelum ini pernah menyatakan keinginannya untuk menjadi penderma organ setelah mengetahui beliau sendiri pernah membuat ikrar.
“Cuma arwah belum sempat daftar. Saya selalu cakap, tunggu kalau ada kempen pendermaan organ nanti daftarlah. Tak sangka akhirnya hasrat itu jadi kenyataan walaupun dia sudah tiada.
“Selain itu, arwah juga seorang penderma darah tegar, sangat suka membantu orang lain,” ujarnya.
Rakan karibnya, Suarni Sudirman, 36, turut berkongsi memori perbualan terakhir yang dirasakan seperti petanda sebelum insiden menimpa.
“Arwah juga pernah tanya, ‘kalau dia meninggal dunia, adakah orang akan datang ziarah?’ Saya tegur jangan cakap sembarangan, tapi dia terus sebut, ‘mungkin dia akan pergi ketika berlari sebab itu minatnya’.
“Dia juga kata ‘tentu dia yang akan jalan dulu’. Saya tidak sangka kata-kata itu jadi kenyataan,” luahnya sebak.
Tambah Suarni, arwah sempat berpesan kepada mereka supaya memakai pakaian putih serta merakam gambar dan video sebagai kenangan sebelum tragedi berlaku.
Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Pelari Tawau (Tawau Runners), Sudirman Nanang, menggambarkan Darna sebagai seorang yang ceria, aktif dalam aktiviti larian dan sentiasa memberi sokongan kepada program kelab.
“Semalam (Sabtu) kami sempat mengadakan Jualan Amal dan berjaya mengutip RM9,335 bagi membantu meringankan beban keluarganya, namun tidak sangka pagi ini (semalam) kami menerima khabar duka bahawa arwah sudah pergi selamanya,” katanya.
Kesedihan turut dizahirkan rakan arwah, Akif Zikri, menerusi media sosial.
“Al-Fatihah Kak Darna Tajudin.
“Sebelum meninggal sempat dermakan kornea matanya. Penghormatan terakhir untuk seorang penderma organ. Ramainya yang sayang kau kak Darna. Ramai doakan kau kak.
“Cantik betul mukamu, macam kak tengah tidur. Bersih berseri. Keluargamu semua sangat-sangat kuat kak macam kau kuatnya. Anak-anakmu selepas ini mesti rindu kau.
“Syurga untuk mu kakak ku Darna Tajudin,” tulisnya pada kapsyen sebuah video yang memaparkan suasana jenazah arwah dikeluarkan dari hospital untuk penghormatan terakhir.
Berdasarkan siasatan awal polis, kejadian berlaku apabila sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki dipercayai mabuk melanggar bahagian belakang Perodua Alza. Hilux itu kemudian terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh Darna yang sedang berlari di situ.
Akibat rempuhan tersebut, Darna mengalami kecederaan serius hingga disahkan mati otak (brain death) sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir.
Allahyarham meninggalkan lima anak yang berusia antara 9 hingga 18 tahun. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Kronologi lengkap kes Zara Qairina yang meruntun jiwa. Kes kematian pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah, Zara Qairina Mahathir, terus menjadi perhatian selepas remaja itu ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia.
Tragedi ini dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli dalam kalangan pelajar, malah isu semakin hangat apabila timbul tuduhan melibatkan anak seorang menteri, individu berstatus VIP dan tokoh ternama.
Perkara itu mencetuskan gesaan orang ramai agar siasatan telus dilakukan demi keadilan. Tragedi itu telah mencetuskan luahan rasa sedih dan solidariti, bukan saja di kalangan rakyat Sabah, tetapi seluruh negara dengan #JusticeForZara menjadi sohor kini di pelbagai platform media sosial.
• 16 Julai: Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada jam 3 pagi. Mangsa dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth I.
• 17 Julai: Zara Qairina disahkan meninggal dunia dan kemudiannya dikebumikan di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang.
• 18 Julai: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan memberi ruang kepada pihak terbabit menjalankan siasatan tanpa gangguan.
• 21 Julai: Ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat menggesa siasatan yang telus, adil dan saksama terhadap kematian anak perempuannya. Wanita itu mendedahkan kali terakhir melihat anak tunggalnya adalah semasa program gotong-royong sekolah pada 12 Julai.
• 28 Julai: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata siasatan teliti sedang dijalankan daripada semua sudut. Beliau menggesa orang ramai untuk bertenang dan mengelakkan spekulasi.
• 30 Julai: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud menafikan sebarang pembabitan dalam kes itu, sama ada oleh dirinya atau isteri, Cikgu Rosnih Nasir iaitu bekas pengetua sekolah yang berkhidmat dari 20 Mac hingga 22 November 2024, sebelum bersara. Beliau menyifatkan dakwaan yang dibangkitkan di Parlimen sebagai tidak berasas dan merosakkan reputasi.
• 31 Julai: Polis mengesahkan mereka berada di peringkat akhir siasatan. Pesuruhjaya Jauteh Dikun berkata kertas siasatan diserahkan kepada Bukit Aman untuk semakan akhir sebelum dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). Seramai 60 individu direkod keterangan.
• 1 Ogos: Ibu Zara Qairina memohon mayat anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan, demi mendapatkan jawapan dan keadilan. Peguam diarah memulakan proses undang-undang bagi penggalian semula mayat.
• 6 Ogos: Peguam yang mewakili ibu mangsa menggesa orang ramai untuk tidak membuat spekulasi, yang boleh menyebabkan tekanan kepada keluarga dan mungkin membawa kepada akibat jenayah.
• AGC memulangkan laporan siasatan awal kepada pihak polis dengan arahan melengkapkan siasatan. AGC menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berkongsi imej kanak-kanak yang didakwa terbabit kes itu.
• Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memberi amaran bahawa penyebaran kandungan yang tidak tepat boleh menjejaskan siasatan dan menafikan keadilan.
• 7 Ogos: Ibu Zara Qairina akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan antara dirinya dan arwah anak perempuannya, kepada polis untuk membantu siasatan.
• Kementerian Pendidikan membuat lebih 10 laporan polis berhubung penyebaran hantaran dan video yang mengelirukan berkaitan kes itu, dengan alasan kebimbangan terhadap potensi gangguan awam yang ditujukan kepada guru dan pelajar.
• Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis untuk memastikan siasatan teliti. SKMM turut memberi amaran terhadap penyebaran maklumat tidak sahih.
• Ibu Zara Qairina memberi keterangan di balai polis Sipitang.
• Kementerian Pendidikan memberi jaminan kepada ibu bapa mengenai komitmen meningkatkan keselamatan di sekolah berasrama, dengan menyatakan bahawa 72 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negara ini kekal menjadi pilihan utama keluarga.
• 8 Ogos: AGC memulangkan kertas siasatan kepada polis dengan mengarahkan tindakan lanjut termasuk penggalian semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
• 9 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir akan dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur.
• Prosedur bedah siasat dan menggali semula mayat pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan dilakukan dengan kadar segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
• Proses menggali semula mayat Zara Qairina bagi prosedur bedah siasat dilaksanakan hari ini.
Kesimpulannya kes ini telah membuka mata masyarakat tentang pentingnya keselamatan pelajar di sekolah berasrama dan keperluan siasatan yang benar-benar adil. Dalam ujian berat ini, keluarga Allahyarham terus menaruh harapan agar kebenaran terungkap dan keadilan ditegakkan.
Semoga roh Zara Qairina ditempatkan di kalangan orang beriman, dan tragedi ini menjadi pengajaran buat semua.
Walau sudah lebih dua dekad mewarnai dunia seni, nama Fasha Sandha masih kukuh berdiri. Namun bagi aktres ini, populariti bukanlah sesuatu yang wajib diraikan setiap masa.
Malah, Fasha akui tidak kisah langsung jika ada yang tidak mengenalinya walaupun beliau sudah 22 tahun menjadi wajah kesayangan di kaca televisyen.
“Bukan semua orang kenal saya. Dan saya pun tak kisah.”
Begitulah tenangnya pengakuan Nur Fasha Sandha Hassan, 41, yang kini tampil lebih bersahaja dan tertutup dengan penampilan berhijab.
Menurut Fasha, penampilan terkininya yang bertudung dan tidak bersolek tebal membuatkan ramai tidak ‘cam’ siapa dirinya apabila terserempak di luar.
“Saya memang tak bersolek kalau bukan waktu bekerja. Jadi, tak pelik pun kalau orang tak kenal saya. Kita tak boleh anggap semua rakyat Malaysia tonton drama. Ada yang lebih suka program agama atau dokumentari, jadi kalau tak dikenali tu, bukan satu isu.”
Pelakon drama popular Rampas Cintaku ini juga berkongsi bahawa sejak dari dahulu, dirinya tidak pernah mengangkat status sebagai selebriti ke mana-mana.
“Saya tetap pandu kereta sendiri, saya ke pasar macam biasa. Kalau tak kerja, saya memang jadi diri sendiri.”
Sikap down to earth ini nyata menjadi kunci kepada kesederhanaan hidup Fasha, walau namanya pernah menjulang tinggi di puncak glamor.
Baru-baru ini, satu momen mencuit hati telah tular di media sosial apabila seorang wanita warga emas tidak mengenali Fasha, malah dengan selamba cuba menjodohkannya dengan anak lelakinya!
“Waktu tu saya tengah buat content untuk kedai sepupu saya. Tiba-tiba mak cik tu datang dan kata dia nak kenalkan saya dengan anak dia! Saya pun tergelak je lah.”
Lucunya, insiden itu membuat anak lelaki wanita tersebut menghubungi Fasha melalui DM Instagram untuk memohon maaf kerana ibunya tidak mengenalinya.
“Saya anggap ia momen kelakar dan spontan. Tak ambil hati pun. Saya suka tengok orang happy.”
Dalam perkembangan terkini, Fasha dan suami tersayang, pelakon Aidil Aziz, kini mula melebarkan sayap dalam dunia perniagaan F&B dengan membuka cawangan ke-208 Kopi Saigon di pusat beli-belah MyTown Cheras.
“Kami laburkan sekitar RM200,000 dari wang simpanan sendiri. Ia satu langkah besar untuk masa depan kami sekeluarga.”
Kata Fasha lagi, perniagaan ini adalah satu bentuk perancangan jangka panjang yang mereka usahakan bersama, demi kestabilan dan kelangsungan hidup selepas zaman glamor berlalu pergi.
Di sebalik nama gah dan pencapaian besar, Fasha kekal tenang melayari kehidupannya dengan penuh kesederhanaan. Tiada keluh-kesah jika tidak dikenali di khalayak. Tiada rasa tergugat bila tidak dihujani pujian.
Kerana bagi Fasha, menjadi manusia yang baik itu jauh lebih penting dari menjadi selebriti yang dikenali.
“Saya bukan kejar populariti. Saya cuma nak hidup tenang, bahagia dan beri manfaat pada orang.”
Dan itulah yang menjadikan Fasha Sandha, seorang wanita, ibu, isteri dan usahawan yang bukan sekadar dikenali, tetapi dihormati.
Ingin bayar PTPTN guna KWSP? Ketahui syarat kelayakan, langkah permohonan dan perkara penting sebelum membuat pengeluaran simpanan KWSP untuk bayaran pinjaman pendidikan.
Ramai peminjam PTPTN...