
Maut dirempuh kereta, peserta Rumah Ngaji rebah dalam keadaan memeluk Al-Quran. “Allahyarhamah Hamizah rebah dalam keadaan masih mendakap al-Quran yang diterimanya.”
Maut Dirempuh Kereta, Peserta Rumah Ngaji Rebah Dalam Keadaan Memeluk Al-Quran
Demikian kata Rohana Husin, 58, sahabat rapat kepada Hamizah Ahmad, 55, yang meninggal dunia selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika melintas di simpang tiga Felda Air Tawar 4, awal pagi Rabu.
Kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi, sejurus arwah tiba di Felda Air Tawar bersama rombongan Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor (PPRNNJ). Mereka baru pulang daripada menghadiri Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia 1.0 yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan pada Selasa.
Menurut Rohana, sepanjang menghadiri konvensyen tersebut, arwah dikenali sebagai seorang yang sentiasa ceria dan bersemangat. Malah, arwah sempat menghafal surah As-Saff serta turut bersama rombongan membaca surah Al-Mulk pada malam terakhir sebelum kembali ke rumahnya di Felda Air Tawar 5.
“Allahyarhamah dilihat memeluk al-Quran yang diberikan pihak penganjur dengan penuh rasa syukur dan gembira.
“Kejadian menimpa Allahyarhamah Hamizah dirempuh kereta itu turut disaksikan suaminya sendiri yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian,” jelas Rohana.
Tambahnya lagi, arwah merupakan seorang yang sangat aktif mengikuti majlis ilmu dan begitu teruja menyertai rombongan PPRNNJ ke konvensyen tersebut.
“Hamizah cukup bersemangat untuk ke Konvensyen Rumah Ngaji walaupun baru pulang dari Hari Peneroka di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur pada Ahad.
“Dia dan suami tiba di Air Tawar 5 pada tengah malam Ahad dan Hamizah bertolak menaiki bas bersama peserta lain ke Konvensyen Rumah Ngaji pada jam 7.30 pagi, Isnin.
“Walaupun rakan-rakan sudah cadangkan Hamizah untuk tidak sertai kami dan seeloknya berehat, namun dia tetap hendak ke Konvensyen Rumah Ngaji,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Penyelaras PPRNNJ, Rodziah Kamal, menyifatkan pemergian Hamizah sebagai kehilangan besar kerana arwah merupakan antara ahli yang aktif dalam program Rumah Ngaji, khususnya di kawasan Felda di Kota Tinggi.
Sumber: Sinar Harian

Baca artikel lain juga: Remaja Dirempuh Kereta Dipandu Polis Hingga Maut, Anak Yang Saya Sayang Hilang Sekelip Mata
Ibu Tunggal Desak Siasat Kematian Anak “Saya Syak Anak Dicederakan, Dipukul, Dibelasah Hingga Maut
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI