Maut dilanggar pemandu mabuk, keluarga penuhi hasrat arwah Darna derma kornea mata, izin pihak hospital buat pembedahan. “Sebagai memenuhi hasrat arwah, kami sekeluarga sepakat mengizinkan pihak hospital melakukan pembedahan bagi prosedur pendermaan kornea mata kakak,” kata Sanni Tajudin, 34, adik kepada Darna yang meninggal dunia selepas tujuh hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tawau.
Darna Tajudin, 41, disahkan meninggal dunia pada jam 8.37 pagi Ahad lalu selepas dirempuh sebuah kenderaan dipandu lelaki dipercayai mabuk ketika sedang berlari bersama rakan pada 10 Ogos.
Menurut Sanni, arwah sebelum ini pernah menyatakan keinginannya untuk menjadi penderma organ setelah mengetahui beliau sendiri pernah membuat ikrar.
“Cuma arwah belum sempat daftar. Saya selalu cakap, tunggu kalau ada kempen pendermaan organ nanti daftarlah. Tak sangka akhirnya hasrat itu jadi kenyataan walaupun dia sudah tiada.
“Selain itu, arwah juga seorang penderma darah tegar, sangat suka membantu orang lain,” ujarnya.
Rakan karibnya, Suarni Sudirman, 36, turut berkongsi memori perbualan terakhir yang dirasakan seperti petanda sebelum insiden menimpa.
“Arwah juga pernah tanya, ‘kalau dia meninggal dunia, adakah orang akan datang ziarah?’ Saya tegur jangan cakap sembarangan, tapi dia terus sebut, ‘mungkin dia akan pergi ketika berlari sebab itu minatnya’.
“Dia juga kata ‘tentu dia yang akan jalan dulu’. Saya tidak sangka kata-kata itu jadi kenyataan,” luahnya sebak.
Tambah Suarni, arwah sempat berpesan kepada mereka supaya memakai pakaian putih serta merakam gambar dan video sebagai kenangan sebelum tragedi berlaku.
Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Pelari Tawau (Tawau Runners), Sudirman Nanang, menggambarkan Darna sebagai seorang yang ceria, aktif dalam aktiviti larian dan sentiasa memberi sokongan kepada program kelab.
“Semalam (Sabtu) kami sempat mengadakan Jualan Amal dan berjaya mengutip RM9,335 bagi membantu meringankan beban keluarganya, namun tidak sangka pagi ini (semalam) kami menerima khabar duka bahawa arwah sudah pergi selamanya,” katanya.
Kesedihan turut dizahirkan rakan arwah, Akif Zikri, menerusi media sosial.
“Al-Fatihah Kak Darna Tajudin.
“Sebelum meninggal sempat dermakan kornea matanya. Penghormatan terakhir untuk seorang penderma organ. Ramainya yang sayang kau kak Darna. Ramai doakan kau kak.
“Cantik betul mukamu, macam kak tengah tidur. Bersih berseri. Keluargamu semua sangat-sangat kuat kak macam kau kuatnya. Anak-anakmu selepas ini mesti rindu kau.
“Syurga untuk mu kakak ku Darna Tajudin,” tulisnya pada kapsyen sebuah video yang memaparkan suasana jenazah arwah dikeluarkan dari hospital untuk penghormatan terakhir.
Berdasarkan siasatan awal polis, kejadian berlaku apabila sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki dipercayai mabuk melanggar bahagian belakang Perodua Alza. Hilux itu kemudian terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh Darna yang sedang berlari di situ.
Akibat rempuhan tersebut, Darna mengalami kecederaan serius hingga disahkan mati otak (brain death) sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir.
Allahyarham meninggalkan lima anak yang berusia antara 9 hingga 18 tahun. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Harian Metro Facebook Akif Zikri
Baca artikel lain juga: Jogging Bertukar Tragedi, Darna Pergi Tinggalkan 5 Permata Hati
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE