Tangisan tidak selalu datang bersama air mata. Kadangkala, ia terpendam dalam sebaris kata-kata kecil yang keluar dari mulut seorang anak.
“Babah dah meninggal. Babah di syurga.” Itulah yang dilafazkan oleh Mohamad Adam Haris, 6 tahun, saat dia diberitahu bahawa ayahnya, Allahyarham Koperal Muhammad Akmal Muhamad, tidak akan pulang lagi.
Arwah merupakan salah seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas menyayat hati di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan pada 13 Mei lalu. Meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil, pemergiannya bukan hanya meninggalkan kekosongan, tetapi juga satu ruang sunyi yang sukar diisi.
Kini, Noor Hasliza Mohd Hadzri, 32, isteri arwah, kini memikul tanggungjawab besar membesarkan anak-anak mereka, Mohamad Adam Haris dan adiknya, Nur Aqeela Nadine yang baru berusia lebih setahun.
“Adam nampaknya lebih faham. Tapi Aqeela… dia masih panggil ‘Babah’ berulang kali. Kadang dia pusing-pusing dalam rumah macam tengah cari ayah dia. Hati saya luluh setiap kali tengok.”
Meskipun perasaan kehilangan itu masih segar, Noor Hasliza kelihatan tabah. Namun di balik senyuman itu, tersimpan pelbagai rasa memujuk diri untuk bangun semula demi dua cahayamata yang masih kecil dan bergantung sepenuhnya kepadanya. Ibu kepada dua cahayamata ini bertugas di bahagian pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kini masih dalam tempoh bercuti untuk menguruskan keperluan keluarga.
Memetik petikan Harian Metro, ada sesuatu yang sayu menyentuh naluri kewanitaannya berkait pemergian suami tersayang.
“Masa saya kenal pasti jenazah… ada darah, tapi saya terhidu bau wangi. Orang kata itu tanda pemergian dalam husnul khatimah. Tapi walau macam mana baik sekalipun pemergian itu… rindu tetap rindu.”
Kata-kata itu keluar perlahan, seolah-olah menyusun kekuatan dari hati yang sedang dipaksa menerima realiti baru.
Selain itu, antara tinggalan arwah yang masih disimpan olehnya termasuklah baju seragam, tag nama dan lambang FRU – simbol kepada pengorbanan dan tanggungjawab yang dipikul arwah sebagai anggota keselamatan negara.
“Saya belum beri anak-anak pegang atau lihat semua barang tu lagi. Tapi saya simpan… sebab satu hari nanti, saya nak mereka tahu siapa ayah mereka. Apa sumbangan arwah pada negara, dan betapa ayah mereka seorang lelaki yang berani.”- Noor Hasliza
Dalam saat paling getir, kasih keluarga menjadi kekuatan. Ibu bapa mentuanya, Muhamad Razali dan Ruzita Razali, kini tinggal bersama mereka buat sementara waktu selepas berpindah dari Kelantan. Kehadiran mereka umpama bahu tambahan yang sudi memeluk cucu-cucu yang sedang mencari kembali rasa selamat.
Jenazah Koperal Muhamad Akmal telah dikebumikan dengan penuh penghormatan polis di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Mubarak, Kampung Teluk Pial, Kuala Kurau.
Dalam suasana penuh hiba dan keinsafan, keluarganya menerima kunjungan YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang turut menziarahi waris mangsa kemalangan melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5, Ipoh.
Konvoi Ziarah KASIH berkunjung ke kediaman 4 anggota yang terkorban iaitu Allahyarham Kpl Akmal Muhamad, Allahyarham Sjn Mohd Roslan Abd Rahim, Mendiang Sjn Perumal Sugunanathan dan Allahyarham Kpl Amiruddin bin Zabri. Kesemua keluarga mangsa menerima sokongan moral serta bantuan awal daripada pihak kementerian melalui JKM dan YKN.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan syuhada dan keluarganya terus diberi kekuatan menghadapi hari-hari mendatang.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE