Marah Sekali Pun, Suami Isteri 30-an Jangan Sampai Tak Nampak BAIK Pasangan

Suami isteri 30-an ini sedang berkonflik, tak ada persefahaman, saling menyalahkan. Hingga tak nampak baiknya pasangan.

Inilah yang berlaku ketika pasangan muda ini bertemu Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie.

Dan inilah nasihat Puan Suzana buat suami isteri yang sedang berdepan konflik rumahtangga. Moga yang baik-baik kembali dalam rumah tangga kalian.

Suami Isteri 30-an, Carilah Kesilapan Bukan Siapa Yang Salah

Dalam satu sesi temu janji, saya bersemuka dengan sepasang suami isteri berusia awal 30-an. Tika saya tanyakan; apakah yang boleh saya bantu?

Bagaikan bertih jagung; kedua-duanya mula meluahkan isi hati masing-masing.

Mereka boleh bertengkar dan saling tuduh menuduh di hadapan saya, menyebabkan saya perlu hentikan sementara sesi luahan tersebut.

Saya serahkan sekeping kertas bersama sebatang pen kepada mereka berdua. Saya minta; dalam tempoh 10 minit, senaraikan kebaikan pasangan masing-masing.

Menunggu 10 minit; tiada satu pun kebaikan disenaraikan oleh kedua-duanya.

Saya berikan masa yang sama; senaraikan pula keburukan atau kelemahan pasangan pula.

Tak sampai lima minit, hampir penuh satu kertas A4 yang saya serahkan.

Realiti sikap kebanyakan suami isteri yang cenderung mencari salah dan silap pasangan hingga mengabaikan malah menafikan terus kebaikan yang ada dalam diri pasangan.

Terus terang, konflik merupakan sesuatu yang biasa dalam sesebuah rumah tangga. Namun, konflik yang biasa ini akan jadi melampau dan luar biasa jika tidak ditangani sebaiknya.

8 Cara Untuk Redakan Rasa Tak Puas Hati Pada Pasangan

1. Cari Kesilapan Yang Berlaku

Perkara paling penting ialah mencari kesilapan yang berlaku dan berusaha menyelesaikannya bersama-sama. Bukannya mencari siapa yang salah.

Kemudian terus menerus menyalahkan individu tersebut.

2. Sedar Manusia Tak Sempurna

Perlu diingat, manusia sama ada diri sendiri atau pasangan, diciptakan dengan sifat semula jadi sebagai makhluk yang tidak sempurna.

Pasti pernah tersilap malah melakukan kesilapan. Lantas; bagi mewujudkan kebahagiaan berterusan di dalam perkahwinan, sikap yang tidak mahu bertanggungjawab perlu dibuang terus.

3. Kalau Salah, Mengakulah..

Jika bersalah, akui kesalahan tersebut. Apabila kedua-dua belah pihak mahu mengaku bahawa masing-masing turut bersalah sehingga tercetusnya konflik itu, barulah konflik ada harapan diselesaikan.

Sekiranya anda dapati pasangan anda enggan mengaku bertanggungjawab, ambilah inisiatif memulakannya.

4. Jangan Menjawab

Ingat! Walaupun anda dipersalahkan, jangan anda jawab dengan menyalahkan pasangan anda juga. Sebaiknya anda mendiamkan diri.

Ya, anda mungkin mengalah tetapi bukan bererti anda bersalah atau kalah. Ini memang tindakan yang susah, tetapi hanya anda yang boleh mengawal mulut anda sendiri.

Apabila anda menunjukkan sikap positif tersebut, ia boleh menghasilkan dua kesan baik.

√    Pertama, ia dapat mencegah pertengkaran daripada bertambah buruk.

√    Kedua, sikap positif itu mungkin ditiru pihak satu lagi.

5. Kalau Pasangan Susah Sangat Nak Mengaku.. Jangan Beri Tekanan

Jika pasangan masih enggan akui kesilapan, berhenti!! Jangan teruskan perbincangan keras itu. Pasangan anda mungkin tertekan atau masih belum percaya bahawa dia tersalah.

Berikan dia masa untuk berfikir tentang kesilapannya. Anda boleh tinggalkan dia seketika agar dia boleh bertenang dan memikirkan kesilapan yang berlaku.

Bila keadaan kembali reda, tapi pastikan bukan dalam tempoh masa segera, ambil masa minima tiga hari untuk berdoa agar pasangan anda lembut hati dan bersedia untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan kesilapan yang telah dilakukannya-

6. Selepas Beri Masa, Luahkan Dan Jangan Cari Silap Pasangan

Kemukakan semula persoalan yang berlaku dan luahkan; anda bukan mencari silapnya tetapi ingin sama-sama menyelesaikan masalah yang berlalu yang berpunca daripada silapnya itu.

7. Jangan Cari Perbezaan Suami Mahupun Isteri

Paling penting juga, berhenti bercakap mengenai perbezaan. Konflik memang datang daripada perbezaan.

Tetapi perbuatan suka membesar-besarkan perbezaan, akan mencetuskan pertentangan pendapat, perbalahan dan konflik yang lebih besar.

Sikap suka memberi tumpuan kepada perbezaan datang daripada sikap yang suka berfikir secara negatif dan kritis.

Cara berfikir yang begitu, sudah tentu menghasilkan sikap suka mencari kesalahan, kekurangan, kelemahan dan cacat-cela orang lain.

Sikap sebegini tidakselamat untuk perkahwinan anda. Ingat! Walaupun suami isteri mempunyai perbezaan, antara kalian juga terdapat banyak persamaan dan sewajarnya, anda perlu mencari persamaan atau keserasian.

8. Mohon Maaf dan Berilah Kemaafan

Usaha utama yang perlu dilakukan bagi kembali mewujudkan bahagia rumah tangga ialah bermaafan sama ada memohon maaf atau memberi maaf.

Saya selalu menerima aduan tentang keengganan suami untuk memohon maaf walaupun realitinya suami yang bersalah.

Buat para isteri, jangan tertekan dengan sikap fitrah lelaki itu. Bersabar dan berdoa agar suami lembut hati dan sanggup mengakui kesilapan tersebut satu hari nanti.

Lagipun, antara memohon maaf dan tidak mengulangi kesilapan yang sama, saya yakin setiap isteri lebih cenderung untuk terima suami yang tidak mengulangi silap yang sama.

Tak bermakna maaf yang diucap andai suami masih berkelakuan yang serupa.

Destinasi bahagia di tangan anda untuk anda tuju bersama pasangan dalam keadaan seia, sekata, sehati dan sejiwa… yang hanya akan wujud bila masing-masing bersedia terima kelemahan pasangan dan berusaha menaiktarafkan kelemahan tersebut menjadi kelebihan!

Penulis : Suzana Ghazali juga merupakan kolumnis ruangan Resepi Hidup, majalah Mingguan Wanita

Jangan Lupa Komen

komen