‘Mama tiada kaki, saya akan jadi kaki mama’. Hafiz Suip Kongsi Momen Syahdu Di Pentas Konsert

Share

Dalam setiap kejayaan seorang anak, pasti ada doa seorang ibu yang tidak pernah putus. Begitulah juga bagi penyanyi kesayangan ramai, Hafiz Suip, 35, yang tidak menyangka akan menerima kejutan paling bermakna ketika Konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip di Megastar Arena, baru-baru ini.

Air mata hampir tumpah apabila ibu dan bapanya, Halizawati Salleh serta Mohd. Suip Mohamad, muncul di pentas  satu momen yang mengundang sebak bukan sahaja buat Hafiz, malah seluruh dewan yang dipenuhi kira-kira 3,500 peminat setia.

Dalam nada penuh kasih, Hafiz menitipkan ucapan menyentuh hati buat ibu tersayang yang kini berdepan masalah kesihatan.

“Ma, saya nak awak tahu walaupun awak tiada kaki, saya akan jadi kaki mama. Insya-Allah. Pa, terima kasih sebab jagakan mama,” katanya sambil menahan sebak di hadapan ribuan penonton.

Momen tersebut menjadi detik paling berharga buat Hafiz, yang menganggap kehadiran ibu bapa di konsert solonya itu sebagai lambang restu dan kekuatan untuk terus berjuang dalam dunia seni.

“Saya bawa mak dari Kuching ke Kuala Lumpur tanpa tahu mereka akan naik ke pentas. Rasa sebak dan terharu sangat, ini memang momen paling bermakna buat saya,” ujarnya ketika ditemui media selepas konsert.

Konsert anjuran SAH Entertainment itu turut dimeriahkan dengan kehadiran dua artis undangan, Adira dan Umai, yang menambah seri malam penuh emosi tersebut.

Bagi Hafiz, kasih seorang ibu menjadi sumber inspirasi terbesar untuk terus berkarya dan berdiri teguh dalam industri muzik. Dalam setiap langkah seninya, doa dan kasih ibu kekal menjadi azimat yang tidak ternilai. Kredit gambar :- Instagram Norman Goh.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu