Hubungan istimewa atau rapat antara ayah dan anak perempuan sebenarnya perlu ada kerana tanpa sedar ianya membentuk peribadi anak agar tegas dan kuat seperti watak seorang ayah.
Secara tak langsung ayah akan menjadi cerminan atau role model untuk anak perempuannya melihat lelaki lain di luar sana. Oleh itu, mak-mak jangan rasa terpinggir bila anak perempuan raoat dengan ayahnya kerana besar impak pabila anak perempuan dan ayah rapat.
Betul ke peribahasa orang putih, “daddy’s little girl’ ni? Akak ada sorang little girl, ikutkan memang betul la tu 🤭
Untuk para ibu sekalian, rapat-rapat kita dengan anak kecil perempuan, matching baju banyak mana pun, rapat dorang dengan ayah ni memang lain. Walaupun kadang rasa terpinggir sekejap bila mereka tengah rapat sangat, bersyukurlah mereka rapat. Besar impak ayah pada anak perempuan tahu, antaranya:
Ads
1) Ayah ialah lelaki pertama yang anak perempuan kenal dan sayang, jadi sedar atau tidak, ayah ibarat “role model” untuk lelaki macam mana mereka cari nanti.
2) Anak perempuan yang dapat cukup perhatian daripada ayah akan jadi lebih berkeyakinan dan tak mudah “cair” bila dipuji-puji lelaki.
Ads
3) Ayah mengajar anak perempuan erti tegas dan penyayang dalam masa yang sama. Golongan ayah ini selalunya tak banyak bercakap macam kita geng mak. Tapi dalam diam dia, sekali dia cakap, mesti menusuk. Kalau mak bebel tak jalan, ayah warning sekali terus menjadi 🤭
Walaupun golongan suami jarang tunjuk sisi sensitif dan emosi, tapi dengan anak perempuan mereka akan tunjuk. Walaupun tak secara langsung, tapi kita boleh nampak. Begitulah, hubungan ayah dengan anak perempuan ni, memang unik 💕
MW: Semoga anak perempuan membesar dan menjadi anak yang solehah penyejuk hati mak dan ayah. Memang sukar menjaga seorang anak perempuan, namun percayalah jika asasnya mencukupi tak kiralah daripada didikan dunia dan akhirat, anak kita akan berjaya. Insyallah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sesi persekolahan yang hampir tiba ke suku awal perlaksanaannya membawakan pelbagai pengalaman baru buat anak-anak. Ada yang sudah mula berdikari bangun pagi sendiri dan tidak kurang juga yang mula merungut, membuat pelbagai alasan untuk mengelak daripada ke sekolah.
Keletihan dan kepayahan yang dihadapi di sekolah terutama musim suku awal yang agak sibuk dengan pelbagai aktiviti terutama bagi anak-anak yang mula masuk ke tahap dua agak menyesakkan. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Anak-anak yang masuk ke dalam fasa baru kehidupan mereka sedang berhadapan dengan pengalaman baru. Oleh yang demikian, kita harus cakna dengan fasa-fasa tersebut. Contohnya, anak-anak yang baru masuk ke sekolah, sama ada tadika, sekolah rendah atau sekolah menengah. Kemudian, perubahan tahap daripada tahap satu ke tahap dua persekolahan. Dan mungkin juga perubahan dari segi perlaksanaan kurikulum dan silibus.
Jika yang pertama tadi agak jelas, namun fasa-fasa yang lain mungkin tidak kelihatan begitu jelas jika kita tidak mendengar sendiri daripada mereka. Justeru, amat penting untuk kita mengambil masa untuk mendengar atau membuka perbualan tentang keadaan mereka dan persekitaran di sekolah.
Dari sini kita akan dapat tahu daripada kaca mata dan persepsi mereka apa yang sedang dihadapi di sekolah. Jadi bagi saya, pada awalnya rungutan yang dibawa balik ke rumah bukan sesuatu yang tidak baik malah dengan rungutan tersebut kita dapat mengetahui situasi yang sedang mereka hadapi dan seterusnya membawa anak berfikir dengan betul tentangnya.
Pertama sekali, yang amat penting untuk dijaga adalah penerimaan kita tentang apa sahaja cerita dibawa balik ke rumah. Contohnya, kerja sekolah banyak, cikgu garang, kawan ambil barang dan sebagainya. Bagaimana reaksi kita menerima perkara ini?
Untuk mengetahui dan memahami keadaan secara holistik, kita perlu bersikap tenang dan rasional.
Di sinilah kunci kepada persepsi dan tindakan kita seterusnya. Proses tabayun iaitu mendapatkan penjelasan harus dilakukan. Tidak dapat dinafikan sebagai ibu bapa kita agak sensitif dengan segala perkara yang melibatkan anak kita. Di sinilah rasa kasihan belas harus dibimbing dengan akal rasional.
Dengan perasaan tenang yang ditunjukkan bukan sahaja meletakkan kita pada keadaan yang lebih bersedia namun anak juga mudah mengatur percakapannya. Jadi, cuba dengar dengan teliti apa yang anak cuba perkatakan kemudian analisa apa yang sebenarnya yang cuba disampaikan.
Setelah yakin telah dapat tahu apa yang cuba disampaikan, ajak anak untuk berbincang dalam masa yang sama untuk mendapatkan pengesahan terhadap analisa yang dibuat di awalnya tadi.
Bercakap tentang perasaannya adalah sesuatu yang amat digemari anak. Bagi mereka, ini adalah satu penghargaan dimana ibu dan ayahnya amat menyanyangi dan ambil berat tentang dirinya. Jadi bukan sahaja kita dapat mengetahui dan mendalami isi hatinya, dalam masa yang sama, bounding time antara ibu-anak, ayah-anak atau ibu bapa – anak dapat dicapai.
Kemudian, setelah kata sepakat dapat diambil, barulah tindakan dapat dibuat. Jika sebagai contoh, rungutannya adalah tentang kerja sekolah yang banyak dan setelah diselidik dan berbincang, kita dapati anak ini dalam keadaan yang letih apatah lagi baru balik daripada sekolah. Maka tindakan pantas yang boleh kita lakukan adalah pujuk dia untuk bersihkan diri terlebih dahulu, sediakan makanan kesukaannya kemudian berikan kepastian untuk menemani dan membantunya menyiapkan kerja tersebut.
Setelah nampak anak semakin reda, ibu boleh cuba berikan kata-kata semangat dengan memberikan sebuah visi yang jelas dalam kehidupannya tentang kenapa dia perlu menghadapi apa yang sedang dia hadapi sekarang, apa kebaikannya untuk kehidupan dunia dan akhiratnya serta bawakan contoh-contoh yang dia dapat lihat dan kaitkan dengan dirinya. Visi ini penting bagi memberikan semula persepsi yang jelas tentang kehidupannya.
Rungutan hanya akan berlaku jika seseorang berasa sesuatu yang sedang dihadapi tidak kena dengan persepsi yang ada dalam mindanya. Jadi perteguhkan persepsinya dengan persepsi yang benar. Insya-Allah jika dia dapat lihat kesungguhan kita membantunya dan persepsi mindanya juga jelas tentang apa yang sedang dihadapi, dia akan mula menerima dan rungutannya terhadap perkara tersebut akan berkurangan.
Justeru, pastikan kita bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi setiap fasa dalam kehidupan anak-anak. Patikan kita terus kekal menjadi tempat rujuk utama dalam menentukan konflik dalam kehidupannya. Dengan ini, insya-Allah kita dapat mengetahui dengan jelas hala tuju yang sedang dituju dan ada ruang untuk membawanya kembali kepada tujuan sebenar kehidupannya. Wallahualam..
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bermula 1 Mac 2020, mak dan ayah sudah boleh mengisi borang kemasukan darjah satu untuk anak-anak yang bakal bersekolah pada tahun 2021 secara online. Selain mengisi maklumat peribadi, mak, ayah wajib mengisi dengan betul jadual imunisasi yang telah diterima anak-anak sebelum ini.
Perkara ini agak merenyahkan mak, ayah yang kurang arif dengan beberapa istilah yang ditulis di buku rekod kesihatan anak. Jadi sebagai jururawat berpengalaman, jururawat ini kongsi cara isi jadual imunisasi dalam borang kemasukan darjah satu.
Memang agak leceh hendak isi maklumat kesihatan murid ini tetapi jika mak,ayah faham memang senang saja, janji rekod imunisasi anak lengkap.
Hari ini Misi Lin hendak share maksud singkatan dekat rekod kesihatan anak supaya senang mak,ayah hendak isi borang pendaftaran nanti.
Jadi untuk ruangan Difteria, petusis, tetanus, hib dan IPV adalah sama tarikhnya mengikut dos yang diberi.
Untuk ruangan measles, mumps dan rubella adalah tarikh yang sama (iaitu MMR kotak oren).
So sesiapa yang ada anak yang berumur 5 dan 6 tahun pada tahun 2019, bulan Mac nanti sudah boleh standby untuk isi borang pendaftaran darjah 1 untuk sesi persekolahan 2020/2021 pula.
Semoga harapnya, status ini boleh membantu parent untuk mengisi jadual imunisasi anak😊
MW: Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat pada mak, ayah yang ingin mengisi borang kemasukan tahun satu anak-anak. Perkara ini nampak susah, tetapi bila kita faham insyallah segalanya jadi mudah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jika di Barat lazimnya mereka membudayakan amalan cerai lampin, sebelum anak kecil berusia tiga tahun. Walau bagaimanapun tidak ada umur spesifik dikhususkan buat anak anda boleh diajar untuk menggunakan tandas pada waktunya.
Lazimnya menggunakan pendekatan dua pemahaman asas yang penting bagi memastikan misi cerai lampin berjaya. Langkah pertama anak anda sudah mampu bertutur manakala langkah kedua pula si dia mampu membezakan buang air kecil dan juga buang air besar.
Jika anak anda sudah mampu menguasai dua asas penting ini, anda sudah boleh perlahan-lahan memulakan misi mega menghentikan pemakaian lampin pakai buang secara berperingkat.
Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan rujukan sebelum anda memulakan misi percubaan cerai lampin.
1. Umur
Lazimnya apabila anak di usia dua tahun, dia sudah mampu bertutur dan membina ayat dengan baik. Dalam situasi lain, ada anak-anak yang sudah boleh memahami arahan ringkas seperti mengemas permainan, memasukkan baju kotor ke dalam bakul, minum susu menerusi cawan dan melukis apa-apa sahaja tanpa disuruh di buku contengnya. Mereka juga sudah memahami fungsi tandas untuk apa dan di mana harus dituju sekiranya perlu membuang air kecil ataupun air besar.
2. Mengadu
Anak-anak ini juga sudah pandai meluahkan perasaan mereka seperti rasa tidak selesa apabila lampin pakai buang yang dipakai telah dikotori dengan najis mahupun berat dengan takungan air kencing.
3. Tahu menanggalkan pakaian sendiri
Jika ada perasan, ada masanya anak-anak kecil ini cenderung untuk meniru perbuatan orang lain dan mahu melakukannya sendiri.. Sebagai contoh memakai dan menanggalkan pakaian. Ada diantara mereka yang enggan dibantu dan berusaha memakai pakaian sendiri walaupun ianya tidak sempurna.Ini menunjukkan mereka sudah mengerti fungsi pakaian itu dan tujuannya mengapa ia perlu dipakai.
4. Malu dengan kawan seusia
Situasi ini akan berlaku sekiranya anak-anak ini membesar di persekitaran nurseri. Lazimnya pihak pengurusan menggalakkan anak kecil berusia tiga tahun ke bawah sudah tidak lagi memakai lampin pakai buang. Apabila melihat kejayaan kawan-kawan lain ‘lulus’ ujian memakai seluar dalam tanpa insiden terkencing dan membuang air besar, pasti anak-anak ini teruja mahu melakukan perkara yang sama. Ada waktunya pengaruh kawan sebaya juga memberikan mereka semangat untuk segera meninggalkan lampin pakai buang dan beralih kepada seluar dalam yang sesuai dengannya.
5. Kekerapan ke tandas
Sekiranya anda sedang membuat percubaan cerai lampin, pastikan anda kerap membawanya ke tandas. Contohnya sekitar 20 minit sekiranya melihat dia minum air ataupun susu lebih kerap. Jangan leka dan sebaiknya anda tetapkan masa bagi memastikan anak anda tidak terkencing di tempat yang tidak sepatutnya.
6. Seluar dalam karakter kartun kegemarannya
Jika anda ke pasar raya, apa kata libatkan anak anda ketika membeli seluar dalamnya. Jika ada, belikan seluar dalam yang memaparkan karakter kartun ataupun warna kegemarannya. Mungkin ini menjadikan dia lebih bersemangat untuk meninggalkan lampin pakai buang.
7. Jangan marah
Sabar…sabar dan sabar. Usaha bercerai lampin ini mengambil masa. Akan ada masanya anak anda terkencing tanpa sedar dan tidak memaklumkan kepada anda terlebih dahulu. Jangan marah, elakkan memberi tekanan kepadanya. Maafkan dia, kerana dia sedang cuba menyesuaikan diri dengan perubahan baru dalam hidupnya.
8. Pilih masa yang sesuai
Pastikan anda memilih waktu yang sesuai untuk memulakan sesi latihan cerai lampin ini. Dinasihatkan anda memperuntukkan cuti hari minggu untuk memberi tumpuan kepadanya. Mulakan dengan sesi siang dahulu, setelah nampak dia boleh menyesuaikan diri. Perlahan-lahan kita panjangkan ke sesi malam pula.
9. Jangan dukung
Untuk sesi malam pula, anda digalakkan menetapkan masa di telefon bimbit anda. Jika dia minum susu sebelum tidur, pastikan anda bangun dan menggerak anak anda bangun untuk ke tandas. Elakkan mendukung anak yang sedang tidur dan membawanya ke dalam tandas. Ini kerana anak akan terkeliru dan dia tidak sedar sepenuhnya. Sebaiknya pastikan dia sedar dan pimpin tangannya ke tandas bersama-sama. Cara ini membuatkan anak anda faham, buang air kecil dan juga air besar hanya berlaku di tandas dan bukan di tempat lain
10. Akhirnya…anak anda lulus ujian cerai lampin
Anda akan rasa teruja apabila anak anda mula memaklumkan kepada anda yang dia perlu ke tandas untuk membuang air kecil. Dia juga tidak lagi terkencing di tempat tidak sepatutnya. Sekiranya anak anda mula menguasai perubahan baru itu, dia sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada lampin pakai buang buat selamanya.
Konklusinya, setiap anak berbeza fasa perkembangannya. Sebagai ibu bapa kita perlu memberi ruang dan galakkan kepadanya dalam apa jua cara sekalipun. Selamat mencuba semoga anak anda lulus dengan cemerlangnya!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Satu tragedi kebakaran di Taman Rathna, Butterworth pagi Rabu semalam cukup menyayat hati bila mana seorang ibu ditemui rentung bersama anak angkatnya berusia sekitar 4-5 tahun. Lebih menyedihkan, kedua-duanya ditemui di ruang tamu rumah berhampiran pintu keluar dalam rumah yang hampir terbakar keseluruhannya.