Mak mentua dan menantu perempuan boleh jadi ‘best friend’ bila masing-masing saling menerima. Hubungan antara mak mentua dan menantu perempuan sering kali menjadi antara cabaran paling halus namun penting untuk dipelihara.
Selepas perkahwinan, seorang menantu bukan sahaja membina hubungan dengan pasangan, tetapi turut menjadi sebahagian daripada keluarga baharu. Hubungan dengan mak mentua khususnya memerlukan kesabaran, komunikasi dan tolak ansur yang berterusan agar keharmonian keluarga dapat dibentuk.
Mak mentua pula harus memahami bahawa menantu datang dari latar belakang yang berbeza cara hidup, didikan dan kebiasaan mungkin tidak sama. Justeru, adalah penting untuk menerima kekurangan menantu seadanya dan membimbing mereka dengan kasih sayang, bukan dengan kritikan yang meruntuhkan.
Menantu bukan dilahirkan untuk menggantikan anak sendiri, tetapi untuk menyambung kasih dalam keluarga. Sedikit bimbingan dengan niat yang baik boleh menjadi asbab menantu lebih menghargai dan menghormati.
Menantu pula tidak boleh bersikap sambil lewa. Hormat kepada mak mentua harus setara dengan hormat kepada mak sendiri, bukan kerana terpaksa, tetapi kerana memahami peranan besar mereka dalam kehidupan pasangan.
Ambil hati mentua bukan dengan kepura-puraan, tetapi dengan keikhlasan. Kadang-kadang hanya dengan bertanya khabar atau menghulur bantuan kecil di dapur pun sudah cukup untuk mencairkan hati mak mentua yang keras.
Jangan terlalu cepat buat perbandingan dengan anak sendiri atau orang lain. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan. Terima dia sebagai sebahagian daripada keluarga, bukan sebagai orang luar yang “pinjam” anak kita.
Kalau ada perkara yang kurang berkenan, tegurlah dengan nada yang lembut dan penuh kasih sayang. Menantu akan lebih terbuka untuk menerima nasihat bila dia rasa dihormati, bukan diperintah.
Ajak dia sama-sama masak, pergi kenduri, atau buat aktiviti keluarga. Ini bagi dia rasa dia memang ‘included’, bukan sekadar pelengkap dalam gambar famili.
Kadang-kadang cuba luang masa tanpa kehadiran anak lelaki, pergi beli barang dapur, minum petang, atau sekadar berbual santai. Dari situ, lebih senang nak bina hubungan dari hati ke hati.
Walau sekecil mana pun usahanya, puji dengan ikhlas. Kalau menantu masak, cakap sedap walaupun mungkin belum sempurna. Bila dia rasa dihargai, dia akan lebih ikhlas dan selesa nak rapat.
Jangan layan mak mentua macam “orang asing” dalam hidup pasangan. Cuba wujudkan rasa hormat dan sayang sama macam kita layan mak kandung sendiri. Nada suara, cara bercakap, semuanya beri kesan.
Sekali-sekala call atau WhatsApp tanya khabar. Tanya kalau dia perlukan bantuan atau barang dapur. Benda kecil tapi sangat besar maknanya bagi orang tua.
Bila balik kampung, jangan duduk goyang kaki. Ambil inisiatif tolong di dapur atau kemas rumah. Mak mentua akan nampak usaha tu walaupun dia tak cakap.
Walaupun ada konflik dengan suami, jangan jadikan mak mentua tempat mengadu yang menjatuhkan imej anaknya. Nanti boleh timbul rasa kurang senang yang meretakkan hubungan.
Bila mak mentua buat apa-apa untuk kita, jangan lupa ucap terima kasih. Bagi hadiah kecil pun tak salah, bukan sebab nak ambil hati semata, tapi sebagai tanda kita hargai dia.
Hubungan mak mentua dan menantu perempuan perlu dibina atas dasar saling memahami, bukan saling menuntut. Keluarga bukan sekadar ikatan darah, tetapi juga ikatan jiwa yang dikuatkan dengan kasih sayang dan hormat.
Bila kedua-dua pihak sanggup rendahkan ego dan berusaha untuk saling menghargai, maka lahirlah sebuah keluarga yang bukan sekadar tinggal serumah tetapi benar-benar hidup bersama dalam erti kata sebenar.
Baca artikel lain juga: Mengapa Mak Mentua Dan Menantu Perempuan Susah Nak Ngam
Menantu Perempuan Bukan Orang Gaji Mak Mentua, Dia Hanya Berkhidmat Kepada Suaminya
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE