Setelah sepuluh, dua puluh atau tiga puluh tahun menjadi seorang isteri dan ibu, apakah banyak perubahan positif berlaku dalam hidup mak-mak atau tiada apa peningkatan yang ketara?
Dulu hidup miskin kena jimat belanja, sekarang tak tahan iklan online, ramai pula jadi kaki shopping. Akhirnya bertambah miskin akibat hutang.
Dulu tak berilmu, dapat jugalah bersabar sekarang semakin tua semakin jahil, degil, kurang sabar.
Dulu kasar perangai sekarang berjaya mendapat anak yang kurang ajar.
Dulu tak hormat suami, sekarang kongkong dera mentalnya biar dia terencat sekali.
Dulu solat tak sempurna, sekarang langsung tak buat lagi. Tambah dosa dengan tak puasa juga.
Dulu pakai baju kurung, sekarang baju seksi.
Dulu ada masanya menangis ingat mati. Sekarang tak sempat nak ingat mati sebab sibuk kejar kehidupan duniawi.
Dulu dan kini, ada apa dengan kita sekarang?
Usah Lupa.. Takkan Terlepas Dari Penilaian Allah
Pada awal tahun kita cuba berazam baru, mencari semangat dan motivasi lebih segar daripada tahun-tahun yang lepas. Ramai orang beranggapan jika mahu berjaya, mereka tidak perlu menoleh ke belakang.
Tapi kenapa orang-orang hebat, menulis kembali perjalanan hidupnya dan diabadikan dalam buku-buku biografi mereka?
Mengapakah kita pula takut mengorek kenangan lalu? Janganlah korek sampai luka kembali berdarah. Pandang saja bekas luka itu.
Dan sapu dengan keinsafan sambil beringat ke dalam diri bahawa kita pernah melakukan kesilapan dan luka itu menjadi bukti bahawa kita memiliki kecacatan yang perlu diperbaiki.
Bagaimana perasaan kita jika menerima buku itu nanti di akhirat, apakah seperti seorang tokoh yang sedang membaca biografinya sendiri?
Atau tersenyum menikmati jutaan pujian dan tahniah atas kejayaannya yang ditumpahkan tinta-tinta bermakna dalam muka surat-muka surat yang dibayar mahal?
Tokoh yang tersenyum menikmati kisah yang baik-baik saja sehingga hampir tiada cacat, pengarangnya menjadi seolah-olah Tuhan Yang Maha Tahu tentang nilai diri tokoh itu.
Padahal aibnya sengaja tidak ditulis, cacat karakternya di’mekap’ secantik mungkin dan kejahatannya dilupakan begitu saja.
Tidak mungkin kita boleh terlepas daripada Sang Penilai yang Maha Halus perhitungannya. Yang tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur sentiasa memerhati diri kita 24 jam sehari tanpa kurang sedetikpun.
“Allah Tiada Tuhan selainnya, Yang Maha hidup lagi Maha Mengatur urusan makhluk, MilikNya segala yang di langit dan di bumi, tiada siapapun yang mampu memberi pertolongan melainkan dengan izinNya, Dia Maha Mengetahui apa yang di hadapan dan di belakang mereka dan tiada yang mengetahui ilmuNya melainkan atas kehendakNya. (Ayatul kursi)
Telah tertutup tirai tahun kelmarin, berganti dengan hari-hari di tahun baru, tapi Tuhan kita tetap memerhati, mencatat dan mengabadikannya dalam kitab amalan.
Sedar tak sedar berpuluh tahun sudah usia kehidupan, sebelum kitab kita dipenuhi dosa eloklah beringat betapa sempitnya masa yang kita ada. Kisah benar paling tragik haraplah tidak terjadi pada diri, pada hari manusia akan ternganga:
“Dan diletakkan kitab lalu kamu akan melihat orang-orang berdosa ketakutan dengan apa yang tertulis di dalamnya dan mereka berkata: aduhai celakanya kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula yang besar melainkan ia mencatat semuanya. Dan mereka dapati apa yang mereka kerjakan ada tertulis. Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun.” (Surah al-Kahfi ayat: 49)
Buku Catatan Amalan
Bagaimana keadaan orang yang menerima kitabnya di akhirat nanti? Apakah gembira seperti tokoh politik membaca buku biografinya atau amat seronok seperti kita membaca surat cinta? Tidak!
Bahkan semua insan akan berdiri di atas lutut, pucat ketakutan sambil menangisi apa yang telah disesalkan.
Allah SWT berfirman: “Dan pada hari itu kamu lihat tiap-tiap umat berlutut. Tiap-tiap umat dipanggil untuk melihat buku catatan amalannya. Pada hari itu kamu diberi balasan terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Jaathiyat ayat: 28)
Buku itu berisi kisah malam-malam yang kita lalui, apakah kita isi dengan tangisan dalam sujud yang panjang tika bertahajud atau leka berhibur sampai ke pagi?
Ia juga berkisah tentang suara hati kita, apakah sentiasa berbaik sangka dengan Allah ataukah membenci takdirNya?
Tak terkecuali rentetan-rentetan pengalaman kita hidup bersama orang-orang di sekeliling, ayah dan ibu. Apakah mereka gembira memiliki diri kita atau bahkan mereka menahan sakit hati kerana kederhakaan anaknya?
Begitu juga manusia lain yang mengenali, apakah mereka telah dizalimi atau disantuni? Bagaimana dengan amanah harta dan ilmu, amanah anak-anak dan kerjaya, amanah menjadi isteri atau suami, sudahkah kita menunaikan hak-hak mereka?
Allah tidak pernah meninggalkan secebis pun kenangan yang pernah kita buat sedangkan sehelai daun yang gugur pun Dia mencatat! Ya Allah tolonglah kami mengisi kisah panjang bernama kehidupan dengan amal soleh semata-mata mengharap Engkau kasihan!
Penulis : Dato Dr Haji Juanda Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly, Perunding Undang-undang Keluarga Islam merupakan kolumnis ruangan Keluarga Sakinah majalah Mingguan Wanita
Dah masuk jam 11 pagi, Nina belum rasa nak mandi.
‘selesaikan kerja rumah dululah…’
Dia memasak, menghidang sampailah selesai memberi makan anak-anak, jam pun dah masuk 1 tengah hari. Dia masih juga belum mandi.
‘Nantilah nak masuk Zohor baru mandi’
Dan selepas selesai solat Zohor, Nina masih juga belum mandi. Mentang-mentang hari itu suaminya tiada di rumah seharian. Dia berleka-leka. Dan sejak akhir-akhir ini dia sudah diserang sindrom malas berhias.
Ini Sebab Penting Isteri Kena Rajin Berhias
1. Bila kita cantik, kita bahagiakan suami. Insya-Allah kasih sayang suami akan lebih kukuh dan kekal.
2. Untuk memenangi hati suami, menjaga kecantikan diri adalah kuncinya. Kita cantik, suami gembira dan lebih sayang kita. Apa yang kita perlukan lebih mudah dipenuhi oleh suami.
3. Sentiasa ingatkan diri kita, usaha kita berias mencantikkan diri untuk suami adalah suatu ibadah dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.
4. Jangan kita cemburu atau marahkan suami yang suka melihat wanita cantik dan seksi, tetapi kita ambilnya sebagai cabaran untuk kita berias lebih cantik dan seksi daripada wanita lain. Insya-Allah kita lebih berpotensi memnangi cabaran tersebut.
Apa Agama Kata Tentang Isteri Yang Merias
Salah satu peranan isteri kepada suami adalah berhias dan memakai cantik-cantik untuk suaminya. Ini kerana fitrah suami inginkan isterinya cantik dan menyejukkan pandangan.
Merias itu bermakna memakai cantik-cantik mengikut kesukaan suami, untuk meghiburkan dan melayan suami. Apatah lagi dalam hubungan suami isteri, tiada aurat dibataskan dan ini membolehkan isteri menggayakan apa-apa fesyen yang menjadi kesukaan suami tanpa perlu terikat dengan menutup aurat.
Kenapa Kena Cantik Untuk Suami
Ini kerana, fitrah suami sukakan wanita cantik dan berias. Disebut dalam hadis nabi SAW, dikahwini seseorang wanita itu disebabkan empat faktor iaitu kerana kecantikan, kekayaan (kemampuan berias dan bergaya), kedudukan atau keturunan dan agamanya.
Kalau Mood Sindrom Malas Berhias Dah Datang
Sebenarnya sepanjang masa perlukan isteri kelihatan cantik dan berias untuk suami. Sebagaimana kita nakkan suami kita romantik setiap masa, begitulah juga suami kita nakkan kita sentiasa cantik dan berias setiap masa.
Lebih-lebih lagi bila dah semakin berusia, agar suami terikat dan terpaut dengan kita selamanya.
Boleh jadi mudah untuk suami berasa bosan dengan kita yang comot dan menyakitkan pandangannya, berbanding dengan ramai wanita lain di luar yang kelihatan cantik dan menarik perhatian. Di samping ketinggian budi pekerti dan akhlak, kecantikan jadi tarikan utama juga.
Siti Aisyah&Siti Fatimah Juga Berhias Untuk Suami
Pada zaman Rasulullah SAW, Siti Aisyah dikatakan sangat menjaga diri dengan berias cantik dan memakai pakaian menarik yang berwarna warni di dalam rumah. Begitu juga Siti Fatimah yang sentiasa kemas dan menarik berias untuk menyambut kepulangan Sayyidina Ali setiap hari. Wallahua’lam
Sumber: Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, Associate Professor at Academy of Contemporary Islamic Studies, UiTM via Mingguan Wanita
Kalau baru jadi mak ayah, mesti rasa agak risau nak uruskan tali pusat anak yang baru lahir. Tambah kalau tali pusat tu belum kering lagilah takut-takut. Yang ada anak 2-3 orang pun kadang-kadang kekok sebab perasaan awal-awal pegang bayi ni rasanya lain macam.
Paling seram bila mandikan bayi, risau tengok tali pusat yang bergerak-gerak. Lepas itu, teragak-agak nak bubuh apa di pusat bayi.
Hah, jangan sampai salah gaya ya sebab bukan tali pusat bayi saja sensitif kulit anak pun sama. Salah produk, anak yang merana! Jadi mak ayah kena cedok ilmu untuk elak daripada berlaku jangkitan pada tali pusat anak.
Untuk membuka mata mak ayah di luar sana, baca pengalaman ibu muda, Puan Rose Naz ini…
Uruskan Anak Mandi Dan Jaga Tali Pusat
Assalamualaikum semua…
Hari ni saya nak share sikit berkenaan dengan penggunaan sabun, barut, bedak powder dan minyak pada baby yang baru lahir.
Ibu-ibu sekelian.. sesetengah baby ni kulit diorang amat-amatlah sensitif tau. Masa baby baru lahir mmg baby akan ada kesan merah seperti ruam dan juga lebam. Itu mmg normal… tapi penggunaan sabun perlu dielakkan dulu sebab ruam-ruam tu akan jadi lebih banyak.
Setengah baby tu kulit tak sensitif tak pe, tapi kalau dah mula pakai sabun dan ruam makin banyak naik jadi hentikanlah dulu sebab kebarangkalian terjadinya septic spot tu adalah tinggi.
Jadi tak perlulah ghairah sangat nak guna sabun masa awal-awal ya. Ramai dah saya tengok ghairah sangat nak mandikan baby pakai sabun. Sabar dulu sampai tali pusat tu tanggal. Haaa… lepas tu gunalah sabun sampai kering sebotol.
Barut Baby
Satu lagi pasal barut baby, tolonglah selagi tak tanggal tali pusat tu tak payahlah ghairah nak barut baby tu sebab darah dan nanah akan melekat, pada kain barut tu. Bayangkan masa kita nak buka barut, pusat yang melekat kat kain tu ikut sekali masa kita buka. Boleh tercabut tau tak….!!
Saya bercakap melalui pengalaman sebab ramai ibu muda sekarang ni tak ada pengalaman dan lebih suka ikut cakap orang, satu lagi bila dah berbarut tu tentulah akan berkuap dan berpeluh kat kawasan pusat baby tu. Rasa-rasa akan jadi apa??
Malaysia ni panas….. maka Infectionlah jawabnya.. kena pula kalau baby ada jaundice? Tak ke susah tu.
Tak perlu risau pasal masuk angin ke apa.. baby masuk angin ni pasal masalah penyusuan je bukan pasal tak berbarut ke apa.. kalau nak berbarut tunggulah smpai tali pusat tu tanggal pastu barutlah puas-puas sampai esok pun tak apa.
Satu lagi, baby baru lahir ni tak perlu nak tempek bedak powder kat badan ya sbb bahan dalam powder tu sndiri ada kandungan seperti mica, paraben dan lain-lain yang mana bole menyebabkan infeksi jangkitan pada kulit di sebabkan oleh kesan contaminate dan intolerance pada produk tertentu. Tunggulah lepas baby sebulan dan imun dia dah kuat skit pastu tempeklah sampai putih.
Minyak telon juga tak semua brand dan teksturenya tu sesuai untuk baby, ada kesan contaminated juga. Pendek kata kulit baby ni sensitif, so hati-hati memilih produk yang sesuai ya.
Nak Guna Produk Boleh Tapi…
So sebelum nak guna apa-apa produk kat baby tu tunggula lepas 16 hari or sebulan ya. Setiap baby ni tak sama so ikut pada ketahanan masing-masing.
Selalunya lepas berhenti je pengunaan sabun untuk beberapa hari kulit baby dah pun pulih.
Pusat pun kering cepat..
Kat bawah ni saya share gambar baby kesan-kesan daripada penggunaan sabun, powder dan minyak telon.
Nota:
Septic spot ni bole berjangkit kat ibu juga ya.
Pasang surut dalam rumah tangga biarlah kita yang simpan. Jangan terlalu terbuka berkongsi itu dan ini di media sosial. Tidak semua mengenali kita dan pasangan luar, dalam. Hari ini mungkin kita berbahagia, esok, lusa belum tentu.
Oleh sebab itu setiap kali emosi tak stabil atau marah, jangan luahkan di media sosial. Jauhkan diri buat sementara, sekali kita keluar status negatif orang akan terus menilai. Lebih teruk bila orang cop kita tak bahagia.
Pada hal lumrahlah dalam perkahwinan ada masanya bahagia, ada masanya berselisih faham. Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami baik-baik ya:
“Saya tengok ustaz dengan isteri gembira je, memang tak gaduh eh?”
Allahu.
Ngeri juga dengar soalan macam tu. Kalau boleh nak doakan jadi betul keadaan tu pun bagus juga. Hahaha.
Kawan-kawan,
Manusia cuma melihat apa yang kita tunjuk. Sama ada kita tunjuk gambar, kita tulis status atau kita bercerita dekat ruangan komen. Itu sahaja tahap penilaian manusia lain terhadap hidup kita.
Fikir Dahulu Sebelum Kongsi
Kalau kita cuma kongsikan kebaikan, maka itu sahajalah yang orang lain akan nampak. Kalau kita selit dengan emosi marah kita, dekat situ orang akan lihat lah marah kita.
Begitulah selalunya. Sebab cuma setakat itu mereka boleh melihat kita.
Jadi, untuk setiap apa yang kita kongsikan, fikirkan dahulu akibat dan kesannya. Tapis apa yang kita nak kongsikan secara umum. Tulis yang bahagia, orang akan nampak bahagia. Muat naik gambar yang gembira, kita akan turut bawa emosi bahagia kepada orang lain.
Sebaiknya Jauhi Media Sosial Ketika Marah
Ingat, jauhi media sosial ketika kita dalam emosi yang tidak stabil. Ketika marah, ketika merajuk, ketika tak puas hati, ketika penat sangat. Waktu-waktu ini, jauhi platform facebook dan semua media sosial.
Sebab kita akan menulis tanpa pertimbangan emosi yang betul.
Sekali sudah tulis status beremosi negatif, orang akan terus menilai. Jadi, hati-hati ya.
Atasi Masalah Dengan Baik-Baik
Berbalik kepada kami suami isteri. Mana ada rumah tangga tak diuji emosi dan hati. Setiap hari kak, setiap masa bang. Kahkah.
Tapi kita atasilah baik baik. Simpan antara kita dan pasangan. Tak perlu cerita ke oranglah hal kita tengah terasa hati semua ni. Biar antara kita dengan dia, dan antara kita dengan Tuhan.
Itu lebih baik.
Menjawab kan? Terima kasih.
Firdaus Mokhtar,
Yang baik-baik aja.
MW: Tak perlu khabarkan pada satu dunia keburukan pasangan kita. Begitu juga kalau bertikam lidah, bermasan muka, lebih baik disimpan dalam hati. Orang luar hanya mampu menilai tanpa memahami. Ya tak?
Sumber: Firdaus Mokhtar