
Lima wanita bergaduh di Pasar Awam Melor mengaku bersalah, didenda RM1000 setiap seorang. Insiden pergaduhan melibatkan satu keluarga terdiri dari ibu, anak perempuan dan menantu bersama dua beradik di hadapan Pasar Awan Melor minggu lalu didenda RM1000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah melakukan pergaduhan di khalayak ramai pada minggu lalu.
Tertuduh, Rozita Ramli, 47, bersama anaknya, Aleeya Maisara Hasbullah, 19, dan menantunya, Siti Nor Bakyah Abdullah, 19 serta Siti Sara Suaini, 30, bersama adiknya Siti Mastura Suaini, 28, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mereka bersama-sama didakwa melakukan pergaduhan di hadapan Pasar Awam Melor, di sini, iaitu tempat awam pada kira-kira jam 2.30 petang, pada 25 Disember lalu.
Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Memetik laporan Berita Harian, pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah manakala semua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.
Terdahulu, Muhammad Nadzir memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh namun Siti Atikah memohon hukuman minimum dengan mengambil kira video kes itu tular di media sosial yang sudah memberi pengajaran kepada mereka.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 masing-masing kepada setiap tertuduh dan penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.
Minggu lalu kecoh di media sosial apabila berlakunya pergelutan melibatkan wanita di Pasar Awam Melor sehingga menerima reaksi awam. Dalam pada itu, pihak berkuasa menahan 12 individu selepas video pergaduhan itu viral bagi membantu siasatan.
Pada kejadian jam 2.30 petang itu, seorang remaja berusia 19 tahun cedera pada seluruh bahagian badan.