Lima Tahun Lagi, Ikut Cara Ini Kalau Hendak Mengundi Dengan Mudah Dan Cepat.

Share

Sudah hampir seminggu rakyat Malaysia keluar mengundi pada PRU 14 berakhir. Dakwat biru pada jari juga semakin hilang. Hanya tinggal warna oren pada kuku sahaja bukti bahawa saya sudah 4 kali  menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Banyak keputusan yang tidak dijangka berlaku pada PRU 14 ini. Ramai yang suka. Ada juga yang tidak suka. Apa pun yang pasti Kerajaan baru telah ditubuhkan. Moga Kerajaan baru ini dapat menunaikan manifesto mereka kepada rakyat seiring dengan slogan Malaysia Baru yang dilaung-laungkan oleh rakyat. Tahniah kepada yang mengundi.

Bercerita mengenai pilihanraya, saya ingin bercerita mengenai pengalaman mengundi saya pada kali ini. Tidak pernah sepanjang saya balik mengundi di kampung saya yang terletak di DUN Slim dan PARLIMEN Tg. Malim, jalan raya mahupun lebuh raya mengalami kesesakan yang teruk.

Ibarat balik kampung pada hari perayaan pula. Ini Pilihanraya bukannya Hari Raya! Apa istimewanya kalau mengundi pada PRU 14 kali ini?

Malam sebelum mengundi, saya balik menumpang adik yang tinggal di Puchong. Bayangkan sahaja dari Puchong ke Shah Alam pergi balik mengambil masa 3 jam pada hari Selasa itu. Sesak sungguh jalan.

Sebaik kami masuk ke lebuh raya selepas mengisi perut pada malam hari, begitu juga sesaknya jalan. Ini membuatkan adik ipar mengambil keputusan mengikut jalan lama. Dalam kegelapan malam, saya ikut sahaja sebab menumpang kereta orang kan.

Jalan punya jalan, tetiba kami masuk ke sebuah kampung di dalam sebuah ladang Felda di Selangor. Meriah sungguh suasana di kampung tersebut walaupun jam telah menunjukkan hampir pukul 12 malam. Masih ramai lagi yang tidak tidur. Seperti menghadiri kenduri kahwin lagaknya mereka.

Akhirnya lebih kurang pukul 1.30 pagi saya sampai ke rumah. Nasib baik di kampung saya suasananya sunyi. Tidak ada ‘kenduri’ seperti di kampung yang telah saya lalui tadi.

Keesokan harinya mulalah proses pengundian. Seperti biasa, kami sekeluarga akan mengundi pada waktu tengahari. Bukannya apa, ayah dan mak serta dua orang adik lelaki membuka kedai makan. Cari duit dahulu barulah menunaikan kewajipan mengundi.

Kami tidak risau tentang jarak jauh tempat mengundi mahupun barisan panjang seperti yang dirasai oleh rakan-rakan mahupun rakyat Malaysia lain. Setiap lima tahun sekali sudah pasti kami tidak akan beratur panjang untuk mengundi.

Pada tengahari itu seperti yang dijangka tidak ramai yang mengundi pada waktu tengahari. Ayah dan emak di saluran nombor 1. Saya dan adik perempuan di saluran nombor 3. Manakala adik-adik lelaki di saluran nombor 4. Tidak sampai 15 minit jangka masa kami pergi ke sekolah, mengundi dan balik ke rumah.

Kenapa kami boleh buat begitu? Cuba teka?

Sebenarnya saya tidak mahu berlagak pandai. Semua itu atas aturan Allah. Saya bertuah kerana rumah pusaka Aki dan Opah yang kini diduduki oleh Ayah dan Emak terletak berdekatan dengan sekolah tempat di mana proses membuang undi itu dilakukan.

Kesimpulannya, masih tidak terlambat untuk memilih atau membeli rumah yang berdekatan tempat-tempat di mana proses membuang undi itu dilakukan. Apa kata anda beli rumah berdekatan dengan sekolah. Lima tahun lagi kalau Allah panjangkan umur, bolehlah berjalan kaki sahaja untuk pergi ke tempat mengundi.

IKLAN