Tragedi menimpa adik Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, terus mendapat perhatian apabila pagi ini, lima remaja perempuan bawah umur dijangka didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak berhubung kes buli yang menggemparkan negara.
Kesemua remaja terbabit tiba di pekarangan mahkamah menaiki sebuah van diiringi polis sekitar jam 9.05 pagi. Remaja perempuan yang berusia di bawah 18 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan menggunakan atau membuat sebarang perkataan atau komunikasi berbentuk ancaman, kesat atau penghinaan.
Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC), pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memutuskan untuk mendakwa beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada. Namun begitu, prosiding inkues tetap akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina.
Tragedi ini bermula pada 16 Julai lalu, apabila Zara ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah. Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, namun selepas sehari bertarung nyawa, Zara disahkan meninggal dunia pada 17 Julai.
Ads
Kisah duka ini bukan sekadar tentang kehilangan seorang anak, tetapi juga membuka mata masyarakat tentang isu buli di sekolah yang semakin membimbangkan. Bagi keluarga Zara, kesedihan ini masih segar, namun perjuangan menuntut keadilan untuk arwah kini menjadi tumpuan seluruh negara.
Ibu dan anak lelaki maut disyaki keracunan makanan selepas pulang kenduri kahwin. Seorang wanita bersama anak lelakinya dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di sebuah dewan di Jalan Apas pada 9 Ogos lalu.
Mangsa, Nazuah Pili, 36, dan anak sulungnya, Mohd Amran, 9, mula mengalami simptom muntah serta cirit-birit hanya beberapa jam selepas pulang daripada kenduri tersebut kira-kira jam 11 pagi, sebelum akhirnya tidak sedarkan diri.
Suami mangsa, Masran Mohd Amin, 43, berkata beliau yang baru pulang dari kerja sekitar jam 3 petang mendapati kedua-duanya terbaring di atas tilam di ruang tamu.
“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa namun saya lihat isteri kerap berulang-alik ke tandas, dengar dia muntah-muntah dan kemudian baring semula dalam keadaan lemah.
“Saya cuba bangunkan isteri kerana melihat ada kesan najis pada kain sarung yang dipakainya sebelum dia masuk semula ke tandas untuk membersihkan diri.
“Ketika itu, saya tengok si Abang (nama panggilan Mohd Amran) masih terbaring di ruang tamu dan tidak bergerak,” katanya.
Masran turut memaklumkan bahawa beliau sendiri mengalami muntah dan sakit perut selepas memakan lauk kenduri yang dibawa pulang isterinya. Dua lagi anak mereka, Naziah Insyirah, 6, dan Mohd Azran, 18 bulan, sempat mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan hasil bantuan ahli keluarga lain.
Menurutnya, jenazah kedua-dua mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu 4 sekitar jam 10 malam tadi selepas selesai proses bedah siasat. Beliau reda dengan kehilangan insan tersayang itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut. Katanya, siasatan sedang dijalankan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Bapa kongsi kisah anak perempuan jadi mangsa buli emosi gara-gara enggan benarkan rakan meniru. Seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Rembau didakwa menjadi mangsa buli emosi oleh rakan sekelas selepas enggan membenarkan rakannya meniru jawapan ketika peperiksaan.
Bapanya, Mohd Anas Sudin, berkata anak perempuannya memaklumkan bahawa sejak kejadian itu, dia sering dihina dan diejek dengan panggilan ‘kacip’, sehingga membuatkan dia enggan ke sekolah.
“Saya pelik juga sebab dia selalu beritahu tidak mahu pergi ke sekolah dan minta ditukarkan ke sekolah lain.
“Anak pada awalnya tidak mahu menceritakan sebabnya, namun selepas dipaksa beberapa kali, dia akhirnya mengaku sering diganggu rakan sekelas sejak tidak membenarkan meniru kertas peperiksaannya,” katanya.
Menurut Mohd Anas, anaknya pernah membuat aduan kepada guru disiplin, namun tiada sebarang tindakan diambil, menyebabkan gangguan itu berterusan. Beliau tidak menolak kemungkinan guru terbabit menganggap perkara itu sebagai hal biasa, sedangkan ia memberi kesan mendalam kepada emosi anaknya.
“Anak saya jadi tidak bersemangat untuk belajar dan saya sebagai bapa turut terkesan dengan keadaan itu.
“Jadi saya berbincang dengan isteri untuk membuat permohonan memindahkan anak ke sekolah lain, tetapi prosesnya agak sukar kerana tidak mendapat kerjasama daripada pihak sekolah yang memberi alasan guru besar tiada,” katanya.
Bagi memastikan keselamatan anaknya, Mohd Anas meminta anak membuat laporan polis, selain bertujuan mempercepatkan proses pertukaran sekolah. Tidak lama kemudian, permohonan tersebut diluluskan dan anaknya dilihat lebih ceria.
“Anak saya sangat gembira apabila dapat berpindah ke sekolah lain dan saya kembali melihat semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Bila terjadinya kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir itu, saya teringat kembali apa yang terjadi kepada anak saya.
“Walaupun anak hanya menjadi mangsa buli emosi, jika saya tidak bertindak awal mungkin ia akan memberi kesan yang lebih buruk,” katanya.
Farahdhiya kongsi pernah dibuli zaman sekolah. Pelakon cantik Farahdhiya juga berkongsi pengalamannya yang pernah menjadi mangsa buli di sekolah sewaktu usianya 13 tahun. Tatkala ini kes Zara Qairini seorang pelajar yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya, telah menarik perhatian ramai. Polis sedang menyiasat kemungkinan unsur buli dalam kematiannya, dengan 60 saksi telah dirakam keterangan. Zara meninggal dunia sehari selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Berkongsi pengalaman pemilik nama penuh Nur Farahdhiya Mohd Amin menasihati agar para pelajar yang masih bersekolah agar tidak melalukan jenayah buli kerana ia sangat merugikan masa depan anda!
Seperti dikongsi menerusi Threads Farahdhiya pada ketika itu merupakan seorang pelajara baru.
“Nama saya penuh diconteng di dinding tandas, makmal serta dapat surat ugutan. Sampai cikgu tanya kenapa nama saya penuh dekat meja makmal.
“Saya beritahu saya tak tahu sebab saya tak kenal pun pelajar lain memandangkan budak baru. Mereka tulis nama seperti Faradhiya menggelabah, Farahdhiya bab*, Farahdhiya gedik, Faradhiya poyo dan macam-macam lagi.
“Bila waktu rehat siap kena baling batu, balik dari makmal siap ada surat atas meja ugut macam-macam. Disebabkan saya budak baru, saya senyap dan tahan,” tulis Faradhiya.
Malah dek kerana tidak tahan dengan ugutan Faradhiya terpaksa melawan.
“Banyak kali masa rehat mereka datang dalam kumpulan nak cari fasal, saya memang tunggu sahaja mereka sentuh saya dulu sebab selama ini cuma gertak tapi tak sampai naik tangan.
“Tapi ada satu hari memang impian saya jadi kenyataan. Salah seorang daripada mereka sentuh saya dan saya pun automatik dengan baju kurung yang dipakai mula pukul dan tendang belakang dia.
“Nak dijadikan cerita seorang tergolek, lagi seorang macam nak tolong cucuk saya dengan pen tapi kena dekat tangan saja,” tulis Faradhiya yang turut memberitahu selepas peristiwa itu dirinya tidak lagi menjadi mangsa buli dan pembuli itu sudah dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak sekolah.
“Selepas kejadian itu, kumpulan lain yang selalu buli saya datang buat baik, ada yang minta maaf dan ada yang minta tolong saya belasahkan orang yang mereka tak puas hati.
“Tapi saya bukan kaki pukul orang, saya hanya lakukan itu untuk melindungi diri sendiri. Lepas daripada itu memang dah tak ada yang berani kacau saya.
“Fasal pergaduhan itulah, masing-masing kena panggil dengan guru besar dan nak kena gantung sekolah. Tak ke bodoh punya kerja,” sambung Faradhiya.
Pada masa yang sama, Farahdhiya menasihati para pelajar sekolah agar tidak terlibat dalam kes buli.
“Sebab itu adik-adik tak perlu nak berlagak gangster. Mak ayah hantar pergi sekolah untuk timba ilmu, ambil peluang ini untuk buat mereka bangga selain untuk masa depan awak juga.
“Tak ke mana pun perangai kaki buli itu, tak mendatangkan faedah. Jagalah nama baik keluarga. Kita ini hidup bukan seorang diri, kita ada keluarga.
“Jangan kerana perangai awak, mak ayah yang dapat malu nanti. Kasihan mak ayah tak bersalah, penat mereka cari duit jaga awak daripada kecil semata-mata nak tengok awak berjaya,” akhirnya.
Kuat sungguh dugaan bintang lagenda Uji Rashid ini. Walau sudah berusia namun amat tabah meneruskan kehidupan mencabar dalam menjaga anaknya Cico Harahap yang kurang sihat.
Macam mana nak meninggal dalam keadaan husnol khatimah jika tidak sentiasa berzikir, kata Datin Seri Umie Aida.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Siapa sangka, selepas hampir 10 tahun mendiami mahligai serba mewah, Datuk Seri Aliff Syukri akhirnya membuat keputusan besar rumah agamnya bakal dicat semula sepenuhnya buat pertama kali!