Setelah berhenti kerja dan memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa atas sokongan suami, kehidupan Norhafiza Mohd Zain 38 atau mesra disapa Fiza, diisi dengan menguruskan anak-anak sepenuhnya. Setelah menghantar anak-anak ke sekolah, mengisi ruang waktu yang ada, Fiza akan ber ‘me time’ sendirian sama ada menonton wayang ataupun makan di kafe kegemarannya.

Sesekali apabila ada undangan contohnya majlis perkahwinan teman sekerja lama… Fiza akan melapangkan diri bagi melepaskan rindu sambil saling bertukar khabar. Tetapi satu pertemuan bersama teman-teman lamanya pada Julai 2018 ,memberikan kesan mendalam dan menjadi titik tolak beliau perlu melakukan perubahan besar ke atas dirinya.

“Kebetulan salah seorang dari rakan sekerja lama, mendirikan rumah tangga. Jadi kami berjanji dengan kawan-kawan lain, untuk bertemu di kenduri kahwin itu. Sebelum pulang, alang-alang dah berjumpa dengan ramai kawan, kami pun bergambar bersama-bersama dengan pengantin.

“Saya kemudian memuatnaik gambar itu ke dalam facebook memandangkan teruja dah lama tak jumpa kawan-kawan lama. Tak lama kemudian, ruangan komen saya mendapat teguran mesra dari adik lelaki sendiri…yang bertanya sama ada saya memakai baju kurung ataupun sweater memandangkan saiz badan saya yang lebih berisi dari selalu. Ketika itu, walaupun komen tersebut dari adik sendiri, sedikit sebanyak saya terasa juga.

“Selain peristiwa itu, saya juga jadi rimas dan lemas apabila pertanyaan berbaur saiz tubuh sering diterima terutamanya bila pulang ke kampung. Sihatnya sekarang ya? Berisinya sekarang? Dan ada juga yang secara terang-terangan berkongsi tip kurus kepada saya secara sinis, tanpa memikirkan perasaan saya yang dimalukan di depan orang ramai. Sejujurnya saya rasa itu adalah satu bentuk body shaming yang membuatkan saya malu dan nekad untuk buat sesuatu,”kongsi Fiza yang menjadikan dua insiden dimalukan ini sebagai pembakar semangat.

Letih Disindir & Malu Tengok Gambar Diri Sendiri, Fiza Tekad Berubah
Cabaran sang suami, antara titik tolak kejayaan Fiza mendapatkan berat badan ideal        

Dicabar suami

IKLAN

Menurut Fiza lagi, kekerapan suaminya bekerja ke luar negara menjadikan medium whatsapp sebagai platform mereka berhubung. Sesekali sekadar mengemaskini khabar diri dan anak-anak di rumah, Fiza akan mengirimkan gambar swafotonya untuk tatapan suami.

“Secara berseloroh suami cakap pada saya, janganlah hantar gambar muka macam belon tu kepadanya. Sebagai isteri sedikit sebanyak usikan suami membuatkan saya rasa tercabar. Saya janji pada diri sendiri untuk menguruskan badan dan akan membuktikan kepada suami.

“Satu lagi faktor lain yang memerlukan saya menurunkan berat badan adalah saya sedang berusaha untuk hamil lagi. Memandangkan anak kedua saya sudah pun berusa lapan tahun. Saya mendapatkan nasihat doktor dan menurutnya untuk hamil, saya perlu menurunkan berat badan. Jadi faktor-faktor ini menyebabkan saya perlu serius dengan misi menguruskan berat badan,”kongsi Fiza ketika dihubungi Mingguan Wanita tempoh hari.

Letih Disindir & Malu Tengok Gambar Diri Sendiri, Fiza Tekad Berubah
Fiza kini berhasrat untuk mengekalkan konsep diet yang serasi dengan tubuhnya iaitu konsep suku-suku separuh dan amalkan banyak minum air kosong

Serasi dengan diet suku-suku separuh

IKLAN

Percubaan demi percubaan dilakukan Fiza bagi mendapatkan diet yang serasi dengan keperluan tubuhnya. Melalui pembacaan di Google, Fiza sendiri mengakui terlalu banyak informasi yang membantunya dan dijadikan rujukan. Fiza menolak pengambilan apa-apa pil menguruskan badan dan suplemen kurus kerana bimbang kesan sampingan.

“Selain produk tersebut mahal dan tak masuk akal harganya, saya juga bimbang dengan kesan sampingan pengambilan ubat-ubat kurus. Antara diet yang saya lakukan mengikut keserasian dengan tubuh sendiri adalah Intermittent Fasting (IF) dan juga teknik makan suku-suku separuh.

“Saya memulakan diet kebetulan pada bulan Ramadan 2018 dan saya betul-betul memanfaatkan Ramadan itu sambil menjaga porsi makanan yang diambil. Sepanjang bulan Ramadan itu saya tekad untuk makan makanan yang dimasak tanpa minyak, dikukus dan dibakar contohnya ayam bakar, ikan salmon dimasak tanpa minyak dan segenggam nasi putih.

“Saya tidak meninggalkan nasi, sebaliknya menggekalkan porsinya hanya segenggam dalam tiap tiga kali sesi makan sehari. Saya juga perlahan-lahan meninggalkan minuman kegemaran saya, iaitu minuman berkarbonat dan juga air kordial bergula. Jika dulu saya orang yang suka minum air kosong berbotol-berbotol dalam pada masa yang sama, saya tetap minum air kordial bergula. Dengan harapan air kosong yang diambil itu, akan ‘mencuci’ kandungan air gula yang kita ambil. Pemahaman salah itu saya perbetulkan dan Alhamdulillah saya berjaya menyesuaikan diri dengan komited minum air kosong sahaja.

IKLAN

“Selain itu saya juga melakukan aktiviti melompat tali skipping, berbasikal di rumah dan juga berjogging di taman rekreasi berhampiran rumah. Saban hari saya akan merekodkan naik turun berat badan, dan mengurangkan pengambilan makan sekiranya kenaikan berat badan direkodkan. Perlahan-lahan daripada berat 76 kg, saya kini mencapai angka 63 kg. Sasaran saya untuk mendapatkan berat idaman iaitu 60 kg,”kongsi Fiza yang semakin selesa dengan rutin yang menyihatkan ini.

Perubahan positif

Kalau dulu, Fiza sering mengalami masalah sakit tumit kaki, kesukaran untuk duduk Tahiyat Akhir dengan sempurna ketika menunaikan solat dan cepat mengah apabila berjalan jauh. Perlahan-lahan masalah itu tiada lagi. Fiza juga panik apabila baju-baju dalam almarinya, lebih banyak yang tidak muat daripada yang muat. Tetapi situasi itu sudah berbeza hari ini.

“Alhamdulillah, saya boleh menunaikan ibadah dengan sempurna dan selesa. Tiada lagi masalah untuk duduk ketika Tahiyat Akhir. Saya juga tak lagi mengalami masalah sakit tumit. Selain itu sebagai perempuan masalah baju tak muat, satu mimpi ngeri. Alhamdulillah kini saya boleh mengenakan baju-baju lama kembali.

“Saya juga mula mendapat komen positif daripada suami, keluarga dan teman-teman. Suami juga merasa terinspirasi dengan transformasi saya dan sama-sama mengikut saya menjaga porsi makan dan mengurangkan pengambilan minuman bergula. Saya juga lebih yakin diri dan seronok dengan perubahan yang lebih sihat.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI