Berita Sosial

Lelaki Rog*l Remaja Sedang Joging Rayu Hukuman Ringan, “Saya Ada Isteri & Anak Kecil

Share

Lelaki rog*l remaja sedang joging rayu hukuman ringan, “saya ada isteri dan anak kecil.

Rayuan seorang mekanik supaya dikenakan hukuman lebih ringan atas alasan masih mempunyai isteri dan seorang anak kecil tidak berjaya apabila Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 20 tahun serta tujuh sebatan selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol dan merompak seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang sedang berjoging di Tumpat, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Faryzuan Aiman Mat Yatim, 23 yang tidak diwakili peguam, memohon belas ihsan mahkamah dengan alasan masih perlu memikul tanggungjawab terhadap keluarganya.

Lelaki Rog*l Remaja Sedang Joging Rayu Hukuman Ringan

Remaja sedang berjoging menjadi mangsa nafsu serakah lelaki ini. Foto :- BERNAMA

Namun, rayuan itu gagal mengubah keputusan mahkamah selepas pihak pendakwaan menegaskan jenayah dilakukan bukan sahaja mencederakan mangsa secara fizikal, malah meninggalkan trauma mendalam kepada remaja terbabit yang diserang ketika sedang bersenam seorang diri.

Hakim Zulkpli Abdullah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan merogol, manakala bagi kesalahan merompak, tertuduh dihukum penjara lima tahun serta dua sebatan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu dijalankan secara berasingan bermula dari tarikh tangkapan pada 7 Julai lalu.

Dipukul Hingga Patah Tulang Muka Sebelum Dirogol

Mengikut pertuduhan, kejadian berlaku di kawasan semak Kampung Mesira, Palekbang, Tumpat kira-kira jam 7.40 pagi pada 17 Jun lalu ketika mangsa keluar berjoging.

Prosiding mahkamah mendedahkan remaja berusia 15 tahun itu dipukul menggunakan sebatang kayu sehingga mengalami kecederaan serius sebelum menjadi mangsa jenayah seksual tersebut.

 

Muhammad Faryzuan Aiman Mat Yatim, 23 yang tidak diwakili peguam, memohon belas ihsan mahkamah dengan alasan masih perlu memikul tanggungjawab terhadap keluarganya. Foto :- BERNAMA

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Na’ilah Harizan, memaklumkan mangsa mengalami beberapa keretakan pada tulang muka, rongga mata dan hidung selain kehilangan beberapa batang gigi akibat dipukul.

Lebih menyayat hati, tertuduh didakwa mengambil kesempatan terhadap keadaan mangsa yang sudah tidak berdaya sebelum melakukan perbuatan tersebut.

Selepas itu, telefon bimbit milik mangsa turut dilarikan sebelum dijual pada harga hanya RM35.

Hukuman Berat Demi Kepentingan Awam

Dalam hujahnya, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam, tahap keseriusan jenayah serta penderitaan yang dialami mangsa.

Menurut pendakwaan, mangsa bukan sahaja menanggung kecederaan fizikal yang serius, malah trauma akibat kejadian itu dijangka memberi kesan berpanjangan terhadap kehidupannya.

Mahkamah bersetuju menjatuhkan hukuman mengikut pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Sebelum merogol dirinya turut melakukan kekerasan terhadap remaja tersebut. Foto :- BERNAMA

Bagi pertuduhan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan merompak dibuat mengikut Seksyen 392 yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut mengarahkan Muhammad Faryzuan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas dibebaskan. Sumber Sinar Harian / Foto :- BERNAMA

Published by
Almaswa Haji Che Ros