Lelaki makin tua makin manja, isteri jangan pandang remeh. Apabila kita melihat kecenderungan lelaki yang semakin meningkat usia, sama ada seorang suami, ayah, abang atau datuk, satu perkara yang semakin ketara ialah sifat manja yang semakin terserlah.
Lelaki Makin Tua Makin Manja, Isteri Jangan Pandang Remeh
Pada awalnya, perkara ini mungkin kelihatan janggal, kerana lelaki sering dikaitkan dengan sifat tegas, keras dan tidak menunjukkan emosi. Namun, apabila usia semakin meningkat, perangai mereka juga berubah. Ada yang menjadi lebih lembut, lebih suka bermanja dengan pasangan atau anak-anak, dan ada juga yang semakin mudah tersentuh.
Dahulu Gagah, Sekarang Ingin Dibelai
Semasa usia muda, kebanyakan lelaki mahu kelihatan kuat. Mereka pantang dicabar atau dikatakan lemah. Semua perkara ingin dilakukan sendiri – daripada mengangkat tong gas sehingga membaiki paip yang bocor. Tetapi apabila usia telah mencecah 40-an dan ke atas, ada sesuatu yang berubah. Mungkin disebabkan oleh faktor fizikal yang tidak lagi segagah dahulu, atau emosi yang semakin memerlukan perhatian dan sokongan.
Ketika inilah lelaki mula mencari ketenangan dan kasih sayang yang selama ini mereka pendam dan tidak pernah luahkan secara terbuka. Jika dahulu mereka tidak kisah sama ada isteri memasak atau tidak, kini hampir setiap hari mereka bertanya, “Hari ini masak apa, sayang?” – bukan semata-mata kerana lapar, tetapi lebih kepada ingin rasa dihargai dan disayangi.
Bukan Tanda Lemah, Tetapi Lebih Terbuka
Perlu dijelaskan bahawa lelaki yang semakin manja bukan bermakna mereka menjadi lemah. Sebenarnya, mereka semakin selesa dengan diri sendiri. Mereka tidak lagi terlalu peduli dengan pandangan orang lain. Mereka tidak segan untuk memeluk cucu, meluahkan rasa rindu kepada isteri, atau mengatakan, “Abang sayang awak.”
Ads
Mereka telah sampai ke satu fasa dalam kehidupan di mana mengejar pangkat atau harta bukan lagi menjadi keutamaan. Apa yang mereka perlukan ialah dihargai, ditemani, dan merasakan bahawa kehadiran mereka masih penting dalam kehidupan orang sekeliling.
Manja Itu Tanda Sayang, Bukan Mengada-ngada
Ada kalanya, anak-anak berasa pelik apabila melihat ayah yang dahulunya garang kini sering bercerita perkara yang sama berulang kali. Itu bukan semata-mata disebabkan oleh masalah ingatan. Ia adalah cara mereka untuk berinteraksi, berbual, dan merasakan bahawa mereka masih relevan dalam kehidupan keluarga. Itulah ‘manja’ dalam versi lelaki berusia.
Apabila suami yang semakin tua mula banyak meluangkan masa di rumah, suka bertanya tentang pelbagai perkara yang dilakukan oleh isteri, itu juga adalah satu bentuk kasih sayang walaupun tidak seindah dan seindah kata-kata romantik di dalam drama televisyen.
Ads
Semakin meningkat usia, lelaki semakin menunjukkan sifat manja dan ya, ini adalah satu realiti. Ia bukan kelemahan, tetapi proses semula jadi apabila jiwa dan emosi mula memerlukan perhatian dan sentuhan yang berbeza.
Dalam dunia yang sibuk dan penuh tekanan ini, lelaki yang mula berani menunjukkan sifat manja sebenarnya sedang menunjukkan sisi diri mereka yang paling jujur dan tulus.
Ads
Jadi, sekiranya kita melihat ayah, suami atau abang yang dahulunya garang kini suka duduk dekat-dekat, suka bertanya tentang perkara kecil atau suka bercerita panjang, jangan cepat berasa rimas.
Itu adalah tanda bahawa mereka mula menghargai detik-detik kecil dalam hidup, mereka sedang manja, penuh dengan kasih sayang yang tidak pernah mereka tunjukkan dahulu.
Impian mak ayah dan anak-anak, kadangkala tak sama. Tapi, janganlah mak ayah cuba penuhi impian sediri hingga anak-anak terpaksa melepaskan impian mereka pula. Ikuti luahan rasa seorang ibu berkenaan dengan harapannya pada anaknya. Kaunselor, puan Hajah Maimunah Haji Mohamad telah memberikan pandangannya.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya mempunyai tiga orang anak yang kini sudah meningkat remaja. Dua perempuan dan seorang lelaki (bongsu). Saya bekerja sebagai akauntan dan suami pula seorang jurutera cari gali. Alhamdulillah kehidupan kami selesa dan kami mampu memberikan keselesaan buat anak-anak.
Namun saya dan suami bukan daripada keluarga senang. Kami berdua berasal daripada kampung dan sama-sama memasuki universiti. Ketika itu kami berjumpa dan jodoh kami berkekalan hingga kini.
Impian Anak Turut Jejak Langkah
Anak sulung saya perempuan, kini berusia 31 tahun, sudah bekerja sebagai seorang pensyarah. Masih bujang kerana fokus pada kerjaya. Anak kedua, lelaki, berusia 29 tahun, bekerja di sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak ternama. Saya bersyukur kerana kedua anak saya itu mampu berjaya di bidang masing-masing. Dari kecil saya dan suami sangat menitikberatkan pendidikan anak-anak dan mahu mereka bekerja sebagai tenaga profesional walau pun mungkin tak mengikut jejak langkah kami berdua.
Kerisauan kami adalah kepada anak bongsu kami yang bakal menduduki SPM. Dia pelajar cemerlang dan belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya dan suami memasang impian untuk melihatnya belajar di luar negara. Yang merisaukan kami, dia seolah-olah tidak berminat dan berkata ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.
Suasana Kerja
Bukan saya hendak menidakkan profesi yang berkaitan dengan bidang kulinari, malah saya tahu ramai yang berjaya dalam bidang ini termasuk menjadi chef selebriti. Namun saya dan suami ada pendapat kami sendiri. Sebolehnya kami ingin dia bekerja di bidang profesional, sama macam kami dan abang serta kakaknya.
Saya yakin keputusan SPMnya cemerlang dan saya masih lagi dalam usaha memujuknya. Lagipun dia anak perempuan. Bagi saya, bekerja di bidang kulinari lebih sesuai untuk lelaki kerana tugas memasak seperti di hotel dan sebagainya bukan mudah. Apatah lagi jika sudah berkeluarga kelak.
Anak bongsu saya ini keras kepala dan sejak kecil dia akan lakukan apa yang dia rasakan betul. Pening kepala saya dan suami memikirkannya. Bagaimana kami dapat memujuknya untuk memilih bidang yang lebih sesuai sebagai wanita?
– Ummi risau –
SARANAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anaknya berjaya. Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Sejak kecil anak-anak akan diberi penekanan pembelajaran di sekolah dan di pusat-pusat tuisyen. Usia 7 tahun telah dihantar mengikuti tuisyen sama ada selepas persekolahan atau sebelah malam. Malah, “home tution ” disediakan untuk anak dengan bayaran yang tinggi bagi mereka yang mampu.
Sehinggakan kadang-kadang anak terlalu dibebankan dengan akademik yang berorientasikan peperiksaan hingga menyebabkan anak-anak tiada masa untuk meneroka minat dan kerjaya yang mereka minati. Kejayaan ini kadang-kadang menjadi satu pertandingan atau persaingan di kalangan ibu bapa. Anak siapa yang hebat…Terdapat juga ibu bapa yang mahukan kerjaya anak mereka mengikut acuan yang mereka bentuk. Satu segi adalah baik kerana kadang-kadang anak kurang mengetahui apa yang patut diberi keutamaan dan yang terbaik untuk
Impian Diri Sendiri
Namun kadang-kadang ibu bapa terlupa bahawa terbaik itu sebenarnya adalah untuk ibu bapa sendiri. Ada ibu bapa yang mahu anak mengambil bidang kedoktoran, bidang guaman. Profesion yang menjadi kemegahan mana-mana ibu bapa. Ada juga ibu bapa yang tidak dapat merealisasikan impiannya dulu untuk bidang yang dipohon menyebabkan hasrat itu “dijelmakan” dalam diri anak dan mengharapkan anak meneruskan cita-citanya.
Ada anak-anak yang menurut sahaja kemahuan ibu ayah untuk mengikuti jurusan yang ibu bapa cadangkan. Namun saya pernah mendengar ada anaknya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran tetapi apabila menerima scroll, menyerahkan scroll itu buat ibu ayah.
Bagi anak, dia sudah memenuhi impian ibu ayahnya. Impiannya ditangguhkan dan kini tiba masa untuknya mencari keinginan dan minat kerjayanya. Ada juga anak yang boleh menerima bidang itu setelah meneroka ilmu yang terdapat di dalamnya dan meneruskan kerjaya mengikut perancangan ibu atau ayah.
Setiap anak ada kelebihannya. Pandangan kita sebagai ibu atau bapa memanglah akan memilih yang terbaik buat anak. Puan berpendidikan tinggi dan berkerjaya yang baik, saya pasti cadangan puan itu adalah terbaik untuk anak bongsu seperti yang puan rancang bersama suami.
Mungkin Bukan Terbaik Untuk Anak
Namun, yang baik buat puan tidak semestinya yang betul buat anak. Dalam teori pemilihan kerja seperti VPI (Vocational Preference Inventori) menyatakan seseorang itu akan lebih gembira dan bertenaga apabila minat kerjayanya adalah selari dengan bidang kerjaya yang dipilih.
Tidak kira bidang kerjaya apa yang dipilih oleh anak, sebagai ibu dan bapa, puan dan suami boleh mencadangkan dan memberi gambaran realistiknya bidang itu, kebaikannya, peluang kerja dan ilmu yang diperoleh. Walau bagaimanapun jika anak menolak, maka tentu ada justifikasinya.
Buat Kajian
Minta dia beri alasan kenapa berminat dengan bidang itu. Minta dia buat sedikit kajian tentang bidang tersebut dan prospeknya. Jika anak puan punya minat yang mendalam, dia pasti tahu prospek kerjaya tersebut. Tidak kiralah bagaimana kaedah yang bakal dibuat untuk mencapainya, sebagai ibu, puan boleh memainkan peranan membantu dia bagaimana untuk mencapai cita-cita tersebut. Contohnya beri dia beberapa menu pilihan yang boleh dia ceburi.
Anak mungkin tidak nampak, tetapi puan boleh memberi pilihan-pilihan untuknya seperti menjadi tenaga pengajar, membuka perniagaan sendiri atau kaedah yang lebih canggih yang boleh dia ceburi. Minta dia lakarkan. Jika dia masih mahu, puan boleh meletakkan syarat yang dirasakan munasabah, realistik, boleh dicapai dan ada “time frame’ bagaimana dia mahu capai.
Adakan Perbincangan
Jadi “coach” atau jurulatih kepada anak dengan sering adakan perbincangan. Anak akan rasa disokong, ada kebersamaan dan akan menjalani kehidupan yang lebih ceria dan bersemangat. Elakkan berkata anak “degil” kerana itu adalah doa dari seorang ibu. Setiap perkataan dari ibu atau ayah adalah doa sebenarnya yang kadang-kadang kita tidak perasan keluar dari mulut kita.
Sebenarnya dia bukan degil. Dia ada prinsip dan ketegasan pada diri. Kalau kita perhatikan, apa yang dia miliki dan bertingkah laku itu adalah daripada acuan kita ibu bapanya. Kita juga ada sifat tu, kalau tidak bagaimana anak mewarisi sifat itu. Hanya ibu bapa kita yang tahu kita ini bagaimana…maka sifat itu anak akan warisi.
Ukuran Kejayaan
Kejayaan seorang anak sebenarnya bukan diukur dari segi kejayaan akademik dan profesion yang disandangnya. Memiliki ilmu agama yang tinggi, boleh membaca al-Quran dengan baik, solat tidak tinggal, sering membantu ibu bapa, akhlak yang baik, ada kehidupannya yang tersendiri adalah antara perkara-perkara yang kita sebagai ibu bapa perlu titik beratkan dan beri didikan hingga dia mampu menjadi anak yang boleh menjadi peneman kita di dunia dan memberi syafaat semasa di alam barzakh nanti…yang akan mendoakan untuk puan dan suami apabila telah tiada di dunia.
Itulah kejayaan sebenar untuk kita sebagai ibu bapa yang tiada bandingan. Biar lah dia menjadi penjual buah atau bekerja yang pada pandangan kita “lekeh’ tetapi dia adalah anak yang mampu menjaga kita di usia tua. Mampu mendoakan dan membaca al-Quran serta sedekahkan untuk puan dan suami al-Fatihah dan bacaan al-Quran ketika di alam barzakh nanti. Berdoalah agar anak puan menjadi insan soleh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nafkah pada isteri dan keluarga adalah satu kewajipan buat suami. Tak kiralah jika isteri mempunyai pendapatan dan ada duit sendiri, sedikit atau banyak tetap kena bagi mengikut kemampuan suami. Barulah rezeki yang diperolehi diberkati, bertambah melimpah ruah dan dilipatgandakan.
Bertuah bagi seorang wanita memilki suami yang faham akan tanggungjawab ini. Tetap beri nafkah pada isteri walaupun isteri bukan jenis yang suka meminta-minta.
Pelakon dan pengacara bersama Mingguan Wanita talkshow, Norman Hakim,43 ada kongsikan perkara berkaitan pemberian nafkah ini di Instagramnya.Selain mak, ayah dan isteri sendiri,suami kepada Memey Suhaiza,31 ini juga tidak lupa memberikan nafkah kepada bekas isterinya, Abby Abadi,41.
Menurut Norman, nilai nafkah tersebut tidak seberapa berbanding pengorbanan buat isteri dalam menguruskan rumahtangga dan anak-anak.Malah turut berharap agar dapat terus istiqomah dalam menunaikan kewajipan ini.
Keluarga besar Norman Hakim
Berikut perkongsian daripada Norman Hakim;
“Sekadar berkongsi tips, selain daripada ayah mak, nafkah untuk isteri (& mantan isteri) jangan dilupa walaupun isteri jenis tak meminta-minta atau ada bisnes, bekerja & ada pendapatan sendiri.Duit dia, duit dia..duit kita, duit dia jugak.
“Berapa amaun yang diberi takkan ternilai dengan pengorbanan isteri kita mengurus & menjaga terutama untuk anak-anak kita, betul tak? Yang penting doa tu..doa-doa yang ‘deep’ dari lubuk hati yang ikhlas yang sangat-sangat didambakan olehku untuk terus kuat berusaha mencari rezeki yang halal & barakah untuk keluarga.”
“Semoga diri ini terus istiqomah sehingga ke akhir hayat. Aamiin…Aamiin…Aamiin Ya Rabb Ya Allah.”
MW: Alhamdulillah. Sewajarnya boleh dijadikan contoh terbaik, buat para suami agar memberikan nafkah buat isteri walaupun isteri ada duit sendiri dan bukan jenis yang meminta-minta.Malah hubungan baik dengan bekas isteri juga wajar dipuji dan tidak abaikan nafkah buat anak-anak.
Walaupun seseorang wanita itu sudah bergelar isteri kepada suaminya, macam mana manja pun dia dengan suami, dia tetap anak manja emaknya. Dulu sebelum berkahwin, emak, ayah mahupun adik-beradiklah tempatnya menumpang kasih.
Bila dah berkeluarga, kasihnya tertumpah pada suami dan anak-anaknya. Bukan semua suami boleh faham naluri dan keinginan isteri. Lagi-lagi isteri yang memang rapat dengan ahli keluarganya.
Kalau sehari tak jumpa mak ayah pun boleh rindu, inikan cuma dapat berjumpa di hari-hari tertentu. Berikan isteri REHAT, untuk dia menghilangkan rasa PENAT.
Inilah yang dilakukan oleh Akhtar Syamir yang memberi ruang ME TIME pada isterinya, Nora Azni kembali menjadi anak manja emaknya untuk sebulan.
Benarkan Isteri Jadi Anak Manja Ibu Bapanya Sendiri
Dah dua hari pandang benda ni. Kadang – kadang rasa kelakar pula bila kita yang gedabak macam ni pun dipanggil ‘Baby’. Inilah isteri saya Nora Azni yang manjakan sangat suami dia.
Tahun ni pertama kali dia berpeluang untuk pulang ke kampung selama hampir sebulan. Anak yang sulung tu nak masuk darjah 1 tahun depan. Bagi diorang enjoy puas – puas kat kampung.
Inilah salah satu cabang ME TIME buat Isteri.
Cuba bayangkan, sejak Isteri berkahwin dengan si suami, berapa lama masa yang dapat dia luangkan bersama ibu – bapa dan adik – beradik sendiri? Paling lama mungkin seminggu, mungkin masa raya atau cuti sekolah. Mungkin juga masa dalam pantang.
Tapi masih tak sama. Dia masih tak dapat jadi anak manja ibu – bapa dia sendiri. Memang betul, lepas kahwin semuanya pada suami. Tapi naluri anak kepada ibu terutamanya anak perempuan ni lain macam sikit.
Cara suami manjakan isteri kesannya tak sama dengan apabila ibu manjakan anaknya. Kategori dia lain dan tak perlu dibandingkan.
Ini ME TIME untuk Isteri
Jadi, apabila isteri saya nyatakan hasrat untuk ikut abang kandung dia yang nak pulang ke kampung baru – baru ni, saya terima dengan hati yang terbuka.
Datang lagi peluang untuk saya bagi ME TIME untuk dia. Saya yang seronok dapat bagi dia peluang duduk di kampung seperti dulu.
Macam – macam dia boleh buat kat sana, berkebun, mengail dan lain – lain lagi. Tu tak masuk dapat makan masakan mak sendiri. Mesti dia rindu sangat.
Saya berkahwin dengan isteri apabila umurnya 22 tahun. Hanya beberapa tahun sahaja selepas dia habis sekolah. Ianya seperti mengambil anak kesayangan ibu bapanya dan bawa jauh – jauh.
Walaupun kami kerap jugak balik kampung selepas kahwin, mesti perasaan tu tak sama.
Apalah Sangat Sebulan Tu..
Isteri saya seorang suri rumah sepenuh masa. Segala keperluan saya dia sediakan dari makanan, pakaian dan lain – lain. Saya memang dimanjakan dari awal perkahwinan lagi.
Boleh dikira dengan jari berapa kali saya basuh baju sendiri. Tapi ini bukanlah bermakna saya tidak membantu langsung, tetapi dia yang cekap melengkapi hidup saya.
Biarlah kali ini dia dimanjakan oleh ibu – bapa dia pula. Lagipun anak – anak dapat bermain dengan sepupu mereka. Masa kecil ni lah nak bagi diaorang rapat, nanti dah besar mesti dah lain.
Saya pula? Biar saya terus cari rezeki untuk keluarga. Apalah sangat sebulan tu kalau nak dibandingkan dengan ruang masa yang isteri saya dapat bersama keluarganya sendiri di kampung. Bagi la can sikit ye tak?
BroOhsem – Masa untuk asah kembali skill masak megi. Hehehe..
Keluarga Allahyarham Mustaqqeem Mansor merayu siasatan terperinci dijalankan berhubung tragedi Gunung Liang yang meragut nyawa beliau. Ibunya, Rohani Saad, reda dengan ketentuan Ilahi namun mempersoalkan mengapa anaknya ditinggalkan di puncak gunung tanpa laporan polis atau bantuan segera.