Kematian Syamsul Haris Shamsudin, 22, pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pada 28 Julai lalu di Pusat Latihan Darat (PULADA), Skudai, telah menimbulkan pelbagai persoalan.
Namun, hasil siasatan awal jawatankuasa khas mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden tersebut.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengambil keterangan daripada semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih yang terlibat sepanjang latihan.
“Semua mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan. Latihan dilaksanakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos mengikut garis panduan dan prosedur keselamatan yang ditetapkan,” jelas beliau.
Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Kota Tinggi turut mengesahkan tiada kesan kecederaan pada jasad Allahyarham, selari dengan dapatan siasatan pihak polis.
Menurut Mohamed Khaled, kejadian berlaku pada hari kedua latihan ketika Allahyarham mengikuti latihan inokulasi tempur bersama lebih 30 pelatih lain.
“Selepas keluar daripada latihan itu, beliau berada dalam keadaan yang akhirnya membawa kepada kematian,” katanya.
Bantuan awal telah diberikan mengikut prosedur operasi standard, namun punca sebenar kematian hanya akan diketahui selepas laporan penuh bedah siasat terperinci diperoleh dijangka dalam tempoh dua hingga tiga bulan, selepas selesai analisis makmal.
Tambah beliau, setakat ini tiada unsur jenayah ditemui. Namun, ATM akan memberi kerjasama penuh sekiranya pihak polis menemui bukti baharu yang membawa kepada siasatan lanjut.
Untuk rekod, jawatankuasa siasatan ini dianggotai oleh wakil daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Mengenai permintaan keluarga untuk melakukan bedah siasat kedua, Mohamed Khaled menyerahkan keputusan itu kepada pihak polis atau hospital.
Sumber: https://www.bharian.com.my
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!