Kubur Allahyarham Zara Qairina perlu digali semula bagi tujuan bedah siasat – peguam. Kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir perlu digali semula secepat mungkin bagi membolehkan bedah siasat dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian remaja itu.
Permintaan tersebut dikemukakan oleh peguam mewakili ibu Allahyarham, iaitu Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menerusi satu kenyataan rasmi pada Ahad.
Menurut mereka, maklumat terkini yang diterima berkaitan kes ini menunjukkan keperluan untuk membuka semula siasatan.
“Kubur Zara perlu digali semula dengan kadar segera dan satu bedah siasat dibuat terhadap tubuhnya untuk menentukan punca sebenar kematian dan sama ada wujud elemen-elemen jenayah yang menyebabkan kematian itu.”
Tambah kenyataan itu lagi, laporan polis telah dibuat oleh anak guam mereka pada 30 Julai lalu, susulan satu rakaman perbualan telefon antara Zara dan ibunya.
“Seperti yang kami nyatakan dalam kenyataan media kami pada Jumaat lalu, anak guam kami telah membuat satu laporan polis pada 30 Julai berkenaan rakaman perbualan telefonnya dengan anaknya.
“Di mana Zara memaklumkan bahawa terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu dan atau membulinya sehingga ada yang mengugutnya dengan berkata ‘kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni’,” katanya.
Pihak peguam turut memaklumkan bahawa laporan polis terbaharu telah dibuat oleh ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, pada Ahad, dengan merujuk kepada maklumat tambahan yang dipercayai ada kaitan dengan perbualan tersebut.
Sebelum ini, Noraidah juga telah tampil membuat laporan di Balai Polis Sipitang berhubung kesan lebam yang ditemui di belakang tubuh Zara ketika memandikan jenazah di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) pada 17 Julai lalu.
Untuk rekod, Zara Qairina yang berusia 13 tahun disahkan meninggal dunia pada 17 Julai selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya sehari sebelum itu.
Tragedi ini telah mendapat perhatian meluas masyarakat, khususnya di media sosial yang mengaitkan kejadian dengan kes buli, sehingga mencetuskan tanda pagar #JusticeForZara sebagai seruan untuk siasatan yang adil dan menyeluruh.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Gali Semula Kubur Zara Qairina Untuk Bedah Siasat, Mahkamah Ada Kuasa Arahkan Jika Perlu
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE