
Tiga beradik berasal dari Pasir Puteh, Kelantan memilih untuk merantau ke Melbourne, Australia sejak tahun 2019 bagi mencari sumber pendapatan dengan bekerja di Australia dalam bidang pertanian secara sambilan.
Menurut Tuan Nooraida Tuan Min, 40, keputusan itu diambil selepas mereka berdepan tekanan kewangan di tanah air. Beliau membawa dua adiknya, Tuan Nadhirah, 30, dan Tuan Nurnasuha, 27, untuk sama-sama mencuba nasib bekerja di Australia, memetik Berita Harian.
“Kami kerja di sini ikut musim. Contohnya, Januari sehingga Mei kami melakukan kerja memetik anggur. Selepas itu memetik sayur brokoli kira-kira dua tiga bulan pula.
Habis musim sayur, kami pindah kepada pembungkusan epal dan selepas itu terbabit dalam menanam, memetik serta membungkus tomato,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya lagi, kerja yang dilakukan tidak tetap pada satu jenis tanaman kerana semuanya bergantung kepada musim. Namun, hasil yang diterima sangat membantu kehidupan mereka sepanjang bekerja di Australia.
Tuan Nooraida memaklumkan, pendapatan bulanannya mencecah sekitar AUS$5,000 (RM13,740) hasil kerja sebagai petani sambilan di negara berkenaan.
“Daripada kerja yang dilakukan di sini, masalah kewangan yang ditanggung sebelum ini sudah dapat diselesaikan,” ujarnya dengan rasa syukur.
Beliau turut berkongsi rasa gembira dapat bekerja bersama dua adiknya di perantauan walaupun jauh dari keluarga.
“Saya seronok dan gembira bekerja bersama adik-beradik di sini. Lebih menyeronokkan apabila kami juga dapat ilmu baharu daripada mula penanaman buah atau sayur, sehinggalah memungutnya.
Tapi pada masa sama, kita pun berasa sedih kerana tinggalkan keluarga di Malaysia.
Apabila kerja di tempat orang ini, kadang-kadang makan tak menentu. Apabila kita kerja gigih di sini, baru kita dapat pendapatan yang lumayan,” katanya lagi.
Biarpun sudah beberapa tahun berada di Melbourne, wanita itu mengakui belum mempunyai perancangan untuk pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.
“Mungkin saya akan balik suatu hari nanti tetapi bukan sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan mana-mana rakyat Malaysia yang berhasrat mencari rezeki dengan bekerja di Australia agar mengikuti saluran yang betul.
“Kalau nak datang sini, buat secara sah. Mohon visa pekerja. Kalau dahulu orang tak tahu cara memohon kerja, tapi sekarang ini semua orang sudah tahu caranya. Jadi, buat secara betul,” pesannya.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE