Kisah Sayu Asmah Mansor: Usaha Keluarga Kumpul RM500,000 Bawa Pulang Jemaah Haji dari Jeddah

Share

Kisah Usaha Keluarga Bawa Pulang Jemaah Haji Asmah Mansor

“Apa yang Tuhan aturkan ini adalah yang terbaik untuk mak. Keluarga kami sudah berusaha untuk menyediakan kos membawa pulang mak ke Malaysia,” kata Ahmad Aizad Ahmad Shukor, 39, menantu kepada jemaah haji Malaysia, Asmah Mansor, 71, yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Saudi German, Jeddah.

Asmah Mansor dimasukkan ke hospital sejak Jun lalu selepas disahkan menghidap pneumonia. Beliau yang pernah melalui rawatan kanser paru-paru sebelum ini berasal dari Kuala Selangor dan berangkat menunaikan ibadah haji musim 1446H/2025 bersama anak lelaki sulungnya pada Mei.

Perkembangan Kesihatan Asmah Mansor Di Jeddah

Menurut Ahmad Aizad, keadaan ibu mentuanya pada awalnya baik sepanjang mengerjakan ibadah haji. Namun sehari sebelum mereka dijangka pulang, Asmah Mansor

tiba-tiba mengalami sesak nafas dan terpaksa dibawa ke hospital.

“Selepas seminggu menerima rawatan, keadaan mak menunjukkan perkembangan positif. Tetapi selepas itu mak kena serangan kedua sehingga perlu ditidurkan dan bergantung sepenuhnya pada alat bantuan pernafasan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tambahnya lagi, abang iparnya menemani Asmah Mansor di hospital selama dua minggu, namun terpaksa pulang dengan penerbangan terakhir apabila visanya hampir tamat. Sejak dari itu, keluarga bergantung sepenuhnya pada laporan yang disalurkan pihak hospital.

Jemaah haji Malaysia, Asmah Mansor yang disahkan menghidap pneumonia dan masih menerima rawatan di Hospital Saudi German di Jeddah. – Foto Ihsan Ahmad Aizad

Rancangan Membawa Pulang Asmah Mansor Ke Malaysia

Beliau menjelaskan bahawa sejak hari pertama Asmah Mansor dimasukkan ke ICU, keluarga sebenarnya sudah merancang untuk membawanya pulang, tetapi keadaan kesihatannya tidak stabil bagi perjalanan jauh. Pegawai Tabung Haji banyak membantu menyampaikan perkembangan semasa sebelum kes tersebut diambil alih oleh pihak konsulat selepas musim haji berakhir.

“Sejak itu agak sukar untuk kami berhubung dengan mak kerana dia tidak mempunyai telefon bimbit. Isteri saya selalu menangis sebab risaukan mak yang berada di sana seorang diri,” ujarnya.

Cabaran Kos Rawatan Dan Pengangkutan

Mengenai kos rawatan, Ahmad Aizad memaklumkan semuanya ditanggung oleh insurans dan kerajaan Arab Saudi. Namun cabaran besar kini ialah perbelanjaan untuk membawa Asmah Mansor

pulang ke tanah air.

“Cuma sekarang ini kami perlukan anggaran RM500,000 bagi kos pengangkutan dan membawa mak pulang dengan penerbangan khas yang dilengkapi peralatan bantuan pernafasan serta pegawai perubatan. Kami sekeluarga sedang usaha kumpulkan duit. Kami tidak pernah masukkan dalam media sosial, jadi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang pergi menziarah mak menyatakan komitmennya untuk membantu, memang kami sangat terharu dan berterima kasih,” katanya.

Inisiatif Tabung Musa’adah Untuk Asmah Mansor

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira RM500,000 diperlukan untuk membawa pulang Asmah Mansor

yang masih dirawat di Makkah. Dr Mohd Na’im berkata hampir RM10,000 sudah terkumpul melalui akaun khas Tabung Musa’adah JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke Tabung Musa’adah JAKIM–Yayasan Wakaf Malaysia menerusi akaun CIMB Islamic: 86-0221818-6, dengan rujukan “Hajjah Asmah Binti Mansor”.

Kisah Asmah Mansor ini menjadi simbol kasih keluarga dan ketabahan dalam menghadapi ujian besar di tanah suci, dengan harapan agar beliau segera sembuh dan dapat kembali ke pangkuan keluarga di Malaysia.

Sumber: Berita Harian 

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Has