
Usahawan dan pempengaruh, Khairul Aming Kamarulzaman mengambil tindakan undang-undang terhadap Maxis susulan dakwaan kebocoran data peribadinya dengan menghantar Letter of Demand (LOD) kepada syarikat telekomunikasi itu.
Menerusi kenyataan dimuat naik di Threads @khairulaming pada Rabu, beliau memaklumkan empat tindakan rasmi telah diambil, termasuk menghantar LOD kepada Maxis, membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuka siasatan terhadap pelaku serta mengemukakan laporan kebocoran data kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (SPDP).
“Peguam saya telah pun hantar LOD kepada Maxis. Laporan rasmi telah dibuat kepada MCMC. Laporan polis telah dibuat di IPD Dang Wangi untuk buka siasatan ke atas pelaku. Laporan kebocoran data telah dibuat kepada SPDP,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kes berkenaan kini diserahkan sepenuhnya kepada pasukan peguamnya sehingga selesai.
“Peguam-peguam saya akan takeover case ni sehingga selesai. Sejujurnya rasa sedih & seram sebab semudah tu je privacy hidup boleh hilang. Details telefon, payment history, subscription, sampai ke no IC boleh akses MySara, semuanya bocor.”
Perkembangan itu hadir beberapa hari selepas Khairul Aming mempersoalkan bagaimana bil telefon peribadinya boleh didedahkan kepada umum apabila seorang pengguna Threads memuat naik maklumat yang didakwa diperoleh daripada akaun Maxis miliknya.
Ketika itu, beliau meminta penjelasan daripada syarikat telekomunikasi berkenaan mengenai kebocoran data tersebut.
“Mohon penjelasan daripada Maxis macam mana personal phone bill saya boleh leak,” tulisnya.
Susulan insiden berkenaan, akaun Threads milik seorang wanita yang dipercayai menjadi individu pertama mendedahkan maklumat berkaitan bil telefon Khairul Aming kepada umum dilaporkan sudah dinyahaktifkan.
Akaun yang sebelum ini menggunakan nama @qiu_le_fleur mencetuskan perhatian selepas mendakwa usahawan itu mempunyai tunggakan bil telefon sebanyak RM498 selain mendakwa jumlah bayaran RM2,000 setahun tidak mencukupi sekiranya terdapat pembelian digital tambahan.
“Teringin nak bagitahu KA beliau ada overdue bil RM498. Agak-agak beliau perasan ke tak tu banyak sangat akaun kan sampai line kena barred. Amount 2k if bayar untuk setahun pun kalau ada add on digital purchase sampai 400+ memang tak cukup ler,” tulis individu berkenaan.
Khairul Aming kemudian membalas hantaran tersebut dengan menjelaskan beliau sememangnya membuat bayaran bil lebih awal untuk beberapa bulan akan datang, namun mempersoalkan bagaimana maklumat peribadinya boleh diketahui dan dikongsikan secara terbuka.
“Tak perlu beritahu sebab ni hal peribadi saya. Saya memang bayar bill in advance untuk beberapa bulan ke depan, tak perasan dah drained balance. Tapi yang jadi creepy macam mana awak boleh tahu info bill Maxis saya ni sampai post ke public? Ni personal data saya,” balasnya.
Tindakan Khairul Aming mengambil saluran undang-undang menerima sokongan ramai pengguna media sosial. Rata-rata netizen berpendapat tindakan tegas wajar diambil memandangkan isu pendedahan data peribadi semakin membimbangkan, termasuk beberapa kes sebelum ini yang menyaksikan nombor kad pengenalan dan maklumat sensitif individu dikongsikan secara terbuka di media sosial tanpa kebenaran pemiliknya.