Kes Zara Qairina: Polis perketat kawalan di tanah perkuburan. Polis meningkatkan kawalan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol bagi memastikan privasi dan keselamatan penduduk sekitar sentiasa terpelihara.
Kes Zara Qairina: Polis Perketat Kawalan Di Tanah Perkuburan
Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suand memaklumkan, langkah itu merangkumi pemasangan garisan polis serta pelantikan penduduk kampung sebagai pengawas komuniti di kawasan berkenaan.
“Selama seminggu, kita akan memasang garisan polis pada jarak 100 meter dari kawasan pengebumian.
“Akan ada rondaan berkala oleh anggota polis di kawasan itu, dengan bantuan penduduk kampung sebagai penjaga di dalam kawasan perkuburan,” katanya.
Awang turut menyeru orang ramai, khususnya pencipta kandungan, supaya menjaga privasi penduduk yang tinggal berhampiran tanah perkuburan tersebut.
Pasukan polis melakukan kawalan ketika pengkebumian semula jenazah Zara Qairina malam tadi. – Foto IHSAN POLIS
Tindakan ini diambil selepas tanah perkuburan itu menjadi tumpuan susulan proses penggalian dan pengebumian semula pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Zara Qairina Mahathir, yang kesnya masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Ads
Jenazah remaja berusia 13 tahun itu dikebumikan semula malam tadi selepas menjalani proses bedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Pengebumian semula tersebut berlangsung kira-kira 30 minit dan selesai sekitar jam 1 pagi.
Ads
Zara Qairina sebelum ini ditemui tidak sedarkan diri di SMKA Tun Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Nabila Razali bimbang penyakit ain setiap kali muat naik gambar anak. Penyanyi dan pelakon, Nur Nabila Mohd Razali, 33, mengakui dirinya masih dibayangi kerisauan walaupun tetap berkongsi momen bersama anak tercinta secara berkala di media sosial.
Menurut Nabila, tindakan berkongsi gambar anak dilakukan kerana ingin menghargai permintaan peminat yang ingin mengikuti perkembangan cahaya matanya.
“Masih ada kerisauan itu dan sekarang tetap ada. Sebelum ini, saya kongsi gambar sebab mahu menunaikan permintaan peminat. Saya rasa tidak elok biarkan peminat tertunggu-tunggu jadi saya kongsi semasa akikah anak,” ujarnya.
Tambah Nabila, selepas majlis akikah tersebut, dia lebih berhati-hati dan memilih waktu tertentu sahaja untuk berkongsi gambar anaknya kerana tidak menjadikan anak sebagai bahan kandungan harian di media sosial.
“Selepas akikah anak, saya pun masih memilih bila mahu kongsi lagi sebab saya bukan hari-hari buat content anak,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media mini drama Senyuman yang berlangsung di ibu kota pada Isnin.
Walaupun begitu, pelantun lagu Peluang Kedua ini tidak menafikan kerisauan terhadap penyakit ain yang sukar dielakkan dan hanya mampu berserah kepada perlindungan Allah SWT.
“Kadang-kadang saya kongsi tetapi kalau penyakit ain itu kita memang tidak boleh elak. Niat orang kita memang tidak tahu. Kita hanya mampu berdoa supaya mereka jadikan gambar itu sebagai tatapan bukan saya mahu menunjuk riak,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan membuka akaun media sosial khusus untuk anaknya, Nabila tidak menolak, namun memilih untuk menangguhkan dahulu demi menjaga privasi keluarga.
“Buat masa sekarang, saya masih belum terfikir lagi. Saya masih mahu menjaga privasi anak dan keluarga kecil saya. Kalau dah sampai masa nanti, saya akan buka akaun anak terus,” katanya lagi.
Kes Syamsul Haris, ibu dedah darah pekat membuak-buak tanpa henti dari hidung, telinga ketika bedah siasat. Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman kini mengambil tanggungjawab penuh menyiasat kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
Perkara itu dilakukan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang meluluskan permohonan keluarga untuk membongkar semula kubur arwah, bagi membolehkan proses bedah siasat kali kedua dijalankan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, dalam kenyataannya memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan akur dengan arahan mahkamah serta memberi jaminan penuh dari segi penyelarasan siasatan.
“PDRM mengambil maklum berkenaan permohonan oleh Ummu Haiman Bee Daulatgun (ibu Allahyarham) yang telah difailkan melalui peguam Naran Singh & Co di Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam, bagi mendapatkan perintah menggali semula kubur Syamsul Haris yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu.
“Susulan itu, PDRM turut memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip ‘Rule of Law’ bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.
Dalam prosiding semalam, Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet mengarahkan kubur Allahyarham Syamsul Haris, 22, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor, digali semula.
Hakim turut menetapkan bahawa proses bedah siasat kedua itu perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Pada prosiding itu, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden, iaitu:
* Perintah untuk menggali keluar semula jenazah Syamsul Haris di Tanah Perkuburan Islam Rinching Ulu bagi menjalankan bedah siasat kedua bawah penyeliaan responden pertama, iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya dan boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu.
* Perintah bagi seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, iaitu patologi forensik untuk melakukan bedah siasat semula ke atas jasad Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas jenazah itu dikeluarkan, dengan kehadiran pakar forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, dan peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co.
* Perintah bagi pakar forensik yang menjalankan bedah siasat itu untuk mengeluarkan laporan dalam tempoh munasabah dari tarikh bedah siasat dijalankan, dan satu salinan laporan itu hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon, Tetuan Naran Singh & Co.
Sebelum ini, media melaporkan Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, dan jenazah dikebumikan pada keesokannya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebelum ini dilaporkan berkata hasil siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Jawatankuasa Siasatan Khas mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden kematian Syamsul Haris.
Menerusi temu bual bersama Mingguan Wanita baru-baru ini, Ummu Haiman telah berkongsi foto anaknya ketika proses bedah siasat untuk menunjukkan bukti bahawa apa yang dikatakannya sebelum ini benar.
“Mama jaga diri baik-baik tau. Itulah kali terakhir saya dapat bercakap dengan anak. Ada terlalu banyak percanggahan fakta tentang masa kematian Haris.
“Itulah yang saya perjuangkan. Saya rasa berdosa kalau tak “bersuara” apa yang terjadi di sebalik kematian Haris.
“Saya kehilangan seorang anak yang menjadi tempat saya bergantung. Lepas kematian ayahnya, Haris sentiasa ingin berada dekat dengan saya.
“Dia tulang belakang saya. Anak harapan , anak saya kongsikan segalanya dan kini dia tak ada. Pemergiannya cukup menyedihkan jiwa dan raga saya,” demikian kongsi Puan Ummu.
Terdahulu, media melaporkan Allahyarham Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram. Jenazahnya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu pada 29 Julai.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini menjelaskan siasatan dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa khas mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Kronologi kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang meruntun jiwa. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun terbabit bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat.
Hakim Duncan ketika membacakan keputusan itu berkata semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
MEREKA DITUDUH BERSAMA-SAMA MEMBUNUH MOHAMAD NAZMIE AIZZAT, 17, DI BILIK ASRAMA KOLEJ BERKENAAN PADA JAM 9 MALAM 21 MAC HINGGA 7.38 PAGI 22 MAC TAHUN LALU.
Mohamad Nazmie Aizzat atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ijat’ ditemui mati selepas disyaki dipukul beramai-ramai oleh 13 rakan di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian antara jam 9 malam pada 21 Mac sehingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac, di kolej berkenaan.
Kejadian disyaki berpunca perselisihan faham berhubung isu kehilangan wang milik dua daripada 13 tertuduh.
Berikut kronologi dan fakta kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat:
23 Mac 2024 – 13 remaja lelaki ditahan reman selama enam hari sebelum disambung sehingga 4 April.
2 April 2024 – 13 remaja itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu atas pertuduhan membunuh (tiada pengakuan direkodkan)
13 Jun 2024 – Mahkamah Tinggi Tawau menolak permohonan ikat jamin bagi tujuh tertuduh kerana tiada alasan istimewa dikemukakan, selain permohonan bersifat pramatang dan kes belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
16 Mei 2024 – Mahkamah Majistret Lahad Datu menetapkan tarikh 27 Jun untuk sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia dan bedah siasat.
25 Julai 2024 – Prosiding sebutan semula kes dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
13 Ogos 2024 – Semua 13 tertuduh didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mereka mengaku tidak bersalah dan mahkamah tetapkan 10 hari perbicaraan.
19 November 2024 – Hari pertama prosiding perbicaraan peringkat pendakwaan. Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dalam ucapan pembukaannya menegaskan pihaknya akan membuktikan semua 13 tertuduh terbabit memukul sehingga membawa kepada kematian mangsa.
19 November 2024 – Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol melawat lokasi kejadian di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu.
20 November 2024 – Perbicaraan hari kedua ditangguhkan susulan bantahan daripada peguam berhubung isu lantikan peguam. Tarikh baharu ditetapkan 26 November 2024.
26 November 2024 – Keterangan saksi-saksi pendakwaan. Warden asrama, Nuhrullah Aminuddin, dalam keterangannya memaklumkan Allahyarham ditemukan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri semasa kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada 22 Mac. Bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sempat diberikan kepada mangsa.
27 November 2024 – Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Lahad Datu, Mohammad Zul Amree Hamzah mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia antara satu hingga dua jam sebelum pasukan perubatan tiba mengesahkan kematian jam 7.38 pagi 22 Mac.
27 November 2024 – Pakar Patologi Forensik, Dr Dzureena Abdul Mutalib, 39, mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul. Sebanyak 107 kesan kecederaan pada hampir keseluruhan tubuh (boleh diselamatkan jika segera dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan)
27 November 2024 – Siti Hamidah Jumari, 45, ibu kepada Allahyarham menangis ketika diminta membuat pengecaman gambar arwah anaknya. Hanya dapat membuat pengecaman pada sekeping gambar (gambar nombor 12) kerana sukar mengawal perasaan sedih.
27 November 2024 – Hakim Datuk Duncan Sikodol mengeluarkan amaran kepada keluarga tertuduh di mahkamah supaya tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
28 November 2024 – Saksi dakwa nampak mangsa dipukul empat tertuduh di Bilik 7 Resak kira-kira jam 9 malam pada 21 Mac, namun tidak melaporkan kejadian itu kepada warden asrama kerana tidak mahu terbabit dan takut dipukul.
29 November 2024 – Saksi mendakwa perselisihan faham berhubung kecurian wang dipercayai menjadi punca mangsa dipukul walaupun menafikan melakukan perbuatan itu.
2 Disember 2024 – Saksi pendakwaan ke-12 (PW12) mendakwa melihat 10 tertuduh ‘mengerumuni’ mangsa ketika berada di bilik asrama kolej berkenaan.
4 Disember 2024 Mohamad Nazmie Aizzat tidak bangun ketika dikejutkan untuk bersahur kira-kira jam 3.40 pagi 22 Mac selepas dipukul dalam bilik Asrama 5 Belian, pada malam sebelumnya.
5 Disember 2024 – Saksi pendakwaan PW19, memberitahu mahkamah Mohamad Nazmie Aizzat mengaku ada mengambil wang milik dua daripada 13 tertuduh sebelum memulangkannya semula, menyebabkan dia dipukul pada malam 21 Mac 2024.
5 Disember 2024 Peguam dakwa saksi pendakwaan tidak kompeten dan berbohong selepas gagal memberikan jawapan munasabah termasuk tidak mengetahui tarikh pernyataan saksinya disediakan.
6 Disember 2024 Pegawai forensik PDRM menemukan kesan darah pada lantai dan tilam bilik asrama 7 Resak, 5 Belian dan 7 Belian di kolej berkenaan yang dipasang tali kuning ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian, kira-kira jam 10 pagi pada 24 Mac.
9 Disember 2024 – Pendakwaan menutup kes selepas panggil 25 saksi.
28 Februari 2025 Mahkamah perintah 13 tertuduh bela diri. Hakim Datuk Duncan Sikodol memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap semua 13 remaja.
10 Mac 2025 – Kes pembelaan bermula dengan keterangan semua tertuduh diberikan secara bersumpah dari kandang saksi. Dua tertuduh mendakwa mereka dipaksa membuat pengakuan berhubung kematian mangsa.
12 Mac 2025 – Tertuduh pertama mendakwa hanya menolak dan menepis bahu mangsa.
13 Mac 2025 – Tertuduh keenam mengaku memukul dan menendang mangsa kerana kecewa.
14 Mac 2025 – Tertuduh kelapan mendakwa tidak nampak mangsa dibelasah beramai-ramai.
15 Mac 2025 – Tertuduh kesembilan mendakwa dihasut untuk memukul mangsa. Prosiding pembelaan ditutup selepas 18 saksi, termasuk semua tertuduh, selesai memberi keterangan.
29 April 2025 – Pendakwaan memfailkan hujahan bertulis.
6 Mei 2025 – Pembelaan mengemukakan hujahan balas.
11 Jun 2025 – Keputusan kes yang sepatutnya dijadualkan hari ini ditangguh ke tarikh lain sebanyak tiga.
22 Ogos 2025 – Mahkmah dapati semua 13 tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
28 Ogos 2025- Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Siapa sangka, selepas hampir 10 tahun mendiami mahligai serba mewah, Datuk Seri Aliff Syukri akhirnya membuat keputusan besar rumah agamnya bakal dicat semula sepenuhnya buat pertama kali!