
Kes Pukul Isteri
Masih panas dengan cerita kes pukul isteri, yang menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiga Rosmaini Abd Raof iaitu Jahidah Nordin sehingga koma, lima tahun lalu.
Hari ini, tular di media sosial tentang Mahkamah Rayuan menaikkan hukuman penjara daripada 10 kepada 14 tahun terhadap peniaga yang berumur 43 tahun ini.
Menerusi laporan Astro Awani, panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah bersidang bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya tertuduh dikenakan hukuman maksimum.
Semasa membaca keputusan sebulat suara, Noorin berkata, selain hukuman penjara bermula Isnin, Rosmaini Abd Raof selaku perayu, dikehendaki membayar pampasan sebanyak RM25,000 kepada Jahidah, melalui wakil keluarga yang menjaganya.
Sekiranya perayu gagal membayar pampasan berkenaan, dia akan dipenjara selama enam bulan.
Kes ini wajar dikenakan hukuman maksimum sebagaimana diperuntukan undang-undang kerana dapat mencerminkan keseriusan kes selain memenuhi keadilan dan memberi mesej tegas oleh mahkamah kepada masyarakat.
“Hukuman penjara 10 tahun ternyata tidak memadai.
“Ini bukan kes menyebabkan kecederaan parah yang biasa, sebaliknya fakta kes menunjukkan suatu serangan yang kejam dan berterusan oleh seorang suami terhadap isteri yang mengandung,” katanya.
Ibu anak satu itu terlantar ibarat ‘mayat hidup’ selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga lima tahun lalu, hanya mampu menitiskan air mata selepas dimaklumkan hukuman terhadap bekas suaminya dinaikkan daripada 10 tahun kepada 14 tahun hari ini.
Reaksi itu dizahirkan Jahidah Nordin, 48, sejurus dibisikkan hukuman terhadap Rosmaini Abdul Raof, 43, yang diputuskan Mahkamah Rayuan itu oleh adiknya, Fauziah Nordin, 45.
Fauziah ketika ditemui mengakui dia sendiri menangis sebak dan bersyukur sebaik terbaca berita mengenai keputusan dibuat mahkamah itu hari ini.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan, dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) negeri itu.
Jahidah dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Kepada wanita-wanita di luar sana, andai kata awal-awal bertemu lelaki redflag, tolonglah cari jalan keluar. Jangan setia dan takut untuk ‘teriak’ ceritakan apa yang berlaku. Wanita sepatutnya diangkat dan dimanja, bukan dipijak-pijak sampai lebam!