Kes Kelar Kanak-Kanak, Siasatan Polis Tak Tolak Abang Mangsa Alami Halusinasi & Seolah Disuruh Cederakan Ahli Keluarga…

Share

Kes kelar kanak-kanak, siasatan polis tak tolak abang mangsa alami halusinasi & seolah disuruh cederakan ahli keluarga. Dunia permainan maya yang sepatutnya menjadi hiburan buat kanak-kanak kini bertukar menjadi mimpi ngeri sekeluarga.

Baru ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera  selepas dikelar di leher dan ditikam pada badan di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Kes yang awalnya disangka kejadian samun ternyata mengubah naratif apabila siasatan polis ia barangkali dilakukan oleh orang terdekat dengan keluarga mangsa.

Polis tidak menolak kemungkinan permainan dalam talian popular mungkin mempengaruhi insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera dikelar di leher dalam satu kejadian  di Batu Pahat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian itu berlaku pada Isnin lalu di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja, Batu Pahat di mana mangsa ditemui dengan kesan kelar di leher serta luka tikaman pada badannya.

Katanya, ibu bapa kepada dua kanak-kanak masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an ditahan bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal kita dapati kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak itu berkemungkinan dilakukan oleh abangnya yang berusia sembilan tahun.

“Bagaimanapun motif kejadian masih lagi dalam siasatan. Tetapi ianya ada berkemungkinan ada kaitan di mana abang mangsa mempunyai satu aplikasi permainan di dalam telefon pintarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Berdasarkan siasatan awal kita dapati kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak itu berkemungkinan dilakukan oleh abangnya yang berusia sembilan tahun – Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.

Menurut Ab Rahaman, siasatan awal mendapati abang mangsa bermain secara berlebihan dan berjaya mengumpul kira-kira satu juta ‘mata’ dalam permainan itu.

Katanya, dipercayai mangsa telah merosakkan telefon abangnya dan ‘mata’ yang dikumpulkan itu hilang.

“Hasil soal siasat yang dibuat terhadap abang mangsa, mungkin ada kesan daripada game, dia mengalami macam halusinasi waktu malam dan seolah-olah disuruh untuk mencederakan ahli keluarganya.

“Dipercayai abang mangsa mengambil sebilah pisau yang ada dalam rumah itu dan mencederakan adiknya sendiri tetapi apa-apa pun dalam hal ini kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Permainan roblox dipercayai antara punca kanak-kanak berusia 9 tahun alami halusinasi untuk mencederakan ahli keluarga

Ab Rahaman berkata, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Batu Pahat dan berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan masih di peringkat awal, dan kami belum dapat merakamkan kenyataan mangsa kerana dia masih belum pulih sepenuhnya.

“Mangsa dan abangnya kini berada di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebab mereka di bawah umur.

“Polis telah merujuk kertas siasatan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sebelum ini, suami isteri yang juga ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki yang lehernya dikelar menggunakan pisau direman dua hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat di sini, hari ini, bagi membantu siasatan berhubung insiden terbabit.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 41 tahun dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bermula hari ini sehingga esok, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lebih lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. Kredit:- Harian Metro.

Published by
Almaswa Haji Che Ros