
Kes bunuh suami isteri di bilik tidur selesai, guru besar alami kemurungan sejak pindah ke sekolah baru. Kejadian tragis suami isteri ditemui mati dalam bilik tidur di Sri Aman, Sibu dalam kejadian 14 Januari lalu kini terjawab.
Bukan kecurian atau rumah dimasuki orang asing sebaliknya kemurungan dikenal pasti punca pembunuhan melibatkan Andy Roy Anak Junran, guru besar di SK Bangkli dan isterinya, Angelin Kibin yang bertugas di Hospital Sri Aman.
Memetik laporan Berita Harian, hal ini dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah. Beliau berkata, berdasarkan keterangan keluarga, kawan dan rakan sekerja, lelaki itu yang juga guru besar dikatakan mengalami kemurungan sejak bertukar ke sekolah di Lubok Antu, Sri Aman.
“Laporan kimia terhadap senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu juga tidak menemui asid deoksiribonukleik (DNA) asing. Hanya DNA kedua-dua mangsa ditemui pada senjata tajam itu, justeru rumusan yang kita boleh buat ialah pembunuhan itu hanya membabitkan pasangan suami isteri berkenaan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Polis yang menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan pasangan terbabit yang tidak sedarkan diri pada jam 6.55 pagi.
Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bersama pegawai perubatan dari Hospital Sri Aman segera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat itu.
Pemeriksaan awal mengesahkan kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun yang bertugas sebagai guru besar dan isterinya berumur 44 tahun, seorang jururawat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mohamad Zainal berkata, sepanjang siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, polis merakam keterangan 30 saksi dalam kalangan ahli keluarga, jiran, kawan serta rakan sekerja kedua-dua mangsa.
Selain itu, beliau berkata, polis turut merakam keterangan pakar patologi yang melaksanakan proses bedah siasat mayat kedua-dua mangsa.
“Apa yang boleh kami simpulkan, kes itu sudah selesai kerana siasatan di lokasi kejadian tidak menemui kesan pecah rumah atau barangan hilang jika ia kes samun.
“Polis kini hanya menunggu keputusan pemeriksaan forensik telefon bimbit kedua-dua mangsa dan laporan itu nanti mungkin membolehkan kami mengetahui lebih lanjut motif sebenar kejadian itu selain kemurungan,” katanya.