
kes buli
Baru-baru ini kes buli yang didakwa berlaku di asrama perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Enubai, Tenom Sabah tular di media sosial dan menjadi perhatian ramai.
Rakaman video yang tular di media sosial mengundang rasa sedih dan marah dalam kalangan netizen apabila memaparkan seorang murid dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di kawasan pedalaman Sabah.
Video berdurasi kira-kira satu minit 30 saat itu menunjukkan murid berkenaan berada dalam keadaan ketakutan dan menangis teresak-esak sebelum rambutnya ditarik oleh seorang murid lain.
Lebih menyayat hati, mangsa kemudiannya dipercayai digertak dan dibawa ke bilik air untuk mencuci mukanya selepas menangis. Keadaan murid tersebut yang kelihatan tidak berdaya dan hanya menurut arahan pembuli mengundang simpati ramai.
Rakaman berkenaan turut dikongsikan secara meluas oleh pengguna media sosial yang mendakwa kejadian itu berlaku di Tenom.
Rata-rata netizen menggesa pihak sekolah serta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan antara mangsa dan seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun yang juga rakan sekelas serta tinggal di bilik asrama sama.
Mangsa dikatakan terlanggar tali ampaian pakaian sehingga menyebabkan pakaian milik suspek terjatuh ke tanah.
Ketika kejadian, 2 lagi murid perempuan telah merakam perbuatan berkenaan menggunakan telefon bimbit suspek utama sebelum video itu dimuat naik ke status WhatsApp suspek.
Mangsa telah dikejarkan ke hospital dan disahkan mengalami kecederaan retak kaki kiri.
Setakat ini, tiga individu termasuk suspek utama telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
Kes telah disiasat mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Gambar: Lahad Datu