
Kereta kena halang lebih sejam dengan warga asing, wanita tampil minta maaf kerana rosakkan kereta & ikut emosi. Sejak semalam tular di media sosial sebuah kenderaan di parkir sesuka hati sehingga menyusahkan pemilik keluar dari petak.
Dalam video yang tular, jelas kedengaran suara wanita ini agak beremosi dan memarahi pemilik kenderaan dipercayai warga “Pakistan” yang telah meletakkan kenderaan menghalangi kenderaannya dalam tempoh yang sangat lama di kawasan Wangsa Maju sedangkan dirinya perlu cepat mengambil anak balik dari sekolah.
Malah turut dikongsikan video orang ramai membantunya mengangkat kereta tersebut selepas usahanya membunyikan hon tidak diendahkan pemilik yang jelas telah melakukan kesalahan menghalang kenderaan.
Dalam video lain, ketika pemilik kenderaan tiba, dalam keadaan beremosi wanita dikenali sebagai Ayu Noor Siah telah menyembur warga asing ini yang jelas telah melakukan kesilapan. Dan ramai yang bersetuju dengan tindakannya itu kerana jelas warga asing ini melakukan kesalahan kerana langsung tidak meletakkan nombor telefon untuk dihubungi kerana memakir sesuka hati.
Namun kisah ini tidak habis begitu sahaja kerana hari ini, di threads miliknya @ayunk_yuyu telah membuat satu video permohonan maaf secara terbuka kepada warga asing tersebut dan meminta agar video yang tular semalam diturunkan postingnya.
Malah dirinya secara terbuka turut memohon maaf dalam keadaan hampir menangis kerana merosakkan kenderaan warga asing ini dan akan menanggung kos pembaikian kesan calar pada kenderaan yang dibuatnya.
Jelas Ayu, pemilik kenderaan warga asing dikenali sebagai Muhammad yang juga warga Mesir telah membuat satu laporan polis terhadapnya berikutan kenderaannya dirosakkan dan meminta dirinya menggantikan semua kerosakan dilakukannya. Dari video penjelasannya, dirinya mengakui agak mengikut emosi dan ia menjadi satu pengajaran buatnya agar berhati-hati masa depan.
Namun sebentar tadi di threadsnya, video permohonan maaf itu telah diturunkan dan Ayu turut menjelaskan dirinya takut ditangkap di bawah jenayah sivil kerana merosakkan kenderaan lelaki tersebut.
“Saya takut kena tangkap, jadi biarlah. Salah saya juga rosak kereta dia sebab tak dapat kawal emosi memikirkan anak. Tak apalah saya redho. Dia dah kena saman pun. Tapi salah Ayu Akta Jenayah Sivil memang salah la rosakkan kereta dia🥺.