Kenapa mak mentua susah nak terima menantu perempuan macam anak sendiri. Hubungan antara mak mentua dan menantu perempuan sering menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat kita.
Isu ini bukan baharu malah telah diwarisi turun-temurun dan terus berulang dalam pelbagai versi serta situasi. Ada yang bernasib baik kerana disambut seperti anak sendiri, namun tidak kurang juga yang berdepan dengan dinginnya layanan, sindiran halus, atau perasaan dipinggirkan walau sudah bertahun-tahun berkahwin.
Persoalannya, mengapa ada segelintir mak mentua yang sukar membuka hati kepada menantu perempuan, walaupun menantu itu berusaha sehabis baik menjadi sebahagian daripada keluarga?
Salah satu punca utama ialah ikatan emosi antara ibu dan anak lelaki yang sangat kuat. Sejak kecil, si ibu menjadi pelindung, penyokong dan satu-satunya wanita terpenting dalam hidup anaknya.
Apabila anak lelaki berkahwin, seorang wanita lain mengambil tempat utama itu. Bagi sesetengah mak mentua, ini mencetuskan perasaan cemburu, kehilangan dan seakan-akan “dirampas”.
Walaupun tidak ditunjukkan secara terang-terangan, perasaan ini boleh menyebabkan mak mentua meletakkan tembok antara dirinya dan menantu perempuan, seolah-olah menantu itu seorang “orang luar” yang hadir untuk mencabar kedudukan lamanya.
Selain itu, wujud juga jurang generasi dan cara hidup. Gaya mendidik, memasak, mengurus rumah, dan melayan suami kini jauh berbeza berbanding zaman ibu mentua dahulu.
Bila mak mentua lihat menantu tidak masak setiap hari, tak basuh tangan suami, atau tak menyidai baju ikut “standard rumah mak dulu-dulu”, ia dilihat sebagai kurang rajin, tak pandai ambil hati, atau tak hormat suami.
Walhal, menantu mungkin bekerja, penat, dan mengurus rumah dengan cara yang lebih moden. Namun, kerana perbezaan ini, menantu dianggap tidak cukup sempurna walaupun hakikatnya dia hanya membawa pendekatan berbeza, bukan derhaka.
Di sisi lain pula, ada mak mentua yang membandingkan menantu perempuan dengan dirinya sendiri sewaktu muda. Dalam hati, mungkin terdetik: “Aku dulu umur 25 dah jaga 5 anak, dia ni anak baru satu pun asyik penat.” Ini menyebabkan mereka menilai menantu dengan piawaian yang tidak adil, tanpa menyedari cabaran generasi kini sangat berbeza.
Kehidupan semakin kompleks, tekanan kerja tinggi, dan keperluan emosi berbeza. Tambahan pula, sesetengah mak mentua mungkin sudah terbiasa menjadi pusat perhatian dalam keluarga apabila menantu hadir, perhatian itu sedikit beralih, lalu rasa tidak selesa muncul.
Namun begitu, tidak adil juga untuk menyalahkan sepenuhnya pihak mak mentua. Ada menantu perempuan yang masuk ke dalam keluarga dengan sikap dingin, tidak hormat orang tua, atau terlalu menjaga “privacy” hingga nampak seperti menjauhkan diri.
Hal ini juga boleh membuatkan mak mentua rasa kecil hati, tertanya-tanya adakah dia tidak cukup baik, atau tidak dialu-alukan. Maka, konflik ini menjadi lebih rumit apabila kedua-dua pihak memendam rasa, tidak berbincang secara terbuka, dan tidak cuba memahami sudut pandang satu sama lain.
Untuk membina hubungan yang harmoni, kedua-dua pihak perlu memainkan peranan. Menantu perempuan perlu bersabar dan bijak mengambil hati bukan dengan menggadaikan prinsip hidup, tetapi dengan menunjukkan hormat dan keikhlasan.
Satu senyuman, satu panggilan mesra seperti “mak”, atau sekadar bertanya khabar pun sudah cukup untuk melembutkan hati seorang ibu. Di pihak mak mentua pula, mereka perlu menerima bahawa anak lelaki mereka kini membina kehidupan baru, dan isteri anak mereka bukanlah musuh tetapi teman sehidup semati yang ingin berkongsi kasih dan membina keluarga bersama.
Hubungan antara mak mentua dan menantu perempuan sebenarnya bukan tentang siapa lebih baik, siapa lebih layak, atau siapa lebih disayangi. Ia adalah tentang penerimaan, kasih sayang, dan keterbukaan.
Tidak mudah memang, tetapi jika kedua-dua pihak mampu menurunkan ego, membuka hati dan saling memahami, hubungan yang indah boleh terjalin walaupun bukan sedarah.
Menerima menantu perempuan sebagai anak sendiri tidak akan mengurangkan kasih seorang ibu terhadap anak lelakinya, malah ia menambah satu lagi insan yang akan menyayangi dan menghormatinya. Rumah tangga anak akan lebih bahagia, cucu akan membesar dalam suasana positif, dan keluarga akan lebih erat. Bukankah itu lebih bermakna?
Baca artikel lain juga: Mak Mentua Dan Menantu Perempuan Boleh Jadi Best Friend Bila Masing-masing Saling Menerima
Mak Mentua Jangan Anggap Menantu Macam Orang Luar, Layanlah Macam Anak Sendiri
Menantu Perempuan Bukan Orang Gaji Mak Mentua, Dia Hanya Berkhidmat Kepada Suaminya
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE