Walaupun kita beraya dalam suasana PKPB, bersyukurlah suami isteri dapat meraikan bersama keluarga. Kecuali buat suami isteri yang terpaksa berpisah buat sementara waktu. Bersabarlah.

Namun, railah syawal ini dengan penuh keceriaan sebab Ramadan mengajar kita banyak erti sebuah pengorbanan, erti kesusahan, kesabaran dan kasih sayang antara manusia. Jadi, sambutlah dengan penuh kegembiraan.

Antara perkongsian yang diberikan oleh Abang Arjuna (Faizul Rohban) tentang syawal untuk pasAngan suami isteri kembali bercinta.

Berikan Kemaafan

Raya sebelum ini, kita banyak melakukan amalan silaturahim, mula mudik ke kampung halaman dan ke rumah sanak saudara. Peluang keemasan ini perlu dijadikan titik permulaan agar setiap orang tidak berasa janggal untuk meminta dan memberi kemaafan, lantaran semua melakukan amalan yang sama. Sifat ini bukan sahaja menonjolkan peribadi muslim yang berbudi pekerti mulia, malah ia mencerminkan keindahan Islam sebagai agama yang benar dan tinggi.

Rapatkan Hubungan Suami Isteri

Begitulah dengan hubungan suami isteri. Syawal bukan sahaja diraikan dengan gembira, malah ia sepatutnya boleh memulihkan serta merapatkan lagi hubungan suami isteri. Selain Syawal itu bulan kebebasan dan bulan kemaafan, Ramadan telah mendidik kita tentang erti sabar dalam melayani alam rumahtangga.

IKLAN

Oleh itu, apabila kita sudah melepasi fasal pertama iaitu sabar dalam membina atau melayari rumahtangga, Syawal dilihat fasal untuk kita memulihkan serta menjernihkan kembali hubungan keluarga kita kepada tahap semaksimun mungkin. Ini kerana apabila sabar sudah bertakhta di hati maka agak senang atau mudah untuk kebahagiaan menerobos ke dalam jiwa pasangan. Ia seolah-olah panahan yang tepat terkena pada hati dan sukar lagi untuk dileraikan.

Saat itu hanya nikmat bahagia yang kita kecapi, ia seolah-olah kita berada di dunia khayalan cinta yang sangat indah. Apa jua masalah yang datang dapat diatasi dengan mudah malah hubungan menjadi semakin erat.

IKLAN

Begitulah cinta dan kasih sayang dalam diri pasangan suami isteri. Cinta perlu dilihat dari sudut yang sangat berbeza, ia tidak boleh dinilai atau dibandingkan dengan hidup pasangan lain. Setiap cinta yang Allah SWT anugerahkan kepada setiap pasangan adalah berbeza-beza.

Corak Rumah Tangga Bersama

Cinta bukanlah untuk ditonjolkan di dalam Facebook, Instagram, atau mana-mana media sosial, tetapi ia untuk dirasai oleh pasangan kita. Ini kerana keluarga yang dibina atas dasar mawadah war-rahmah dan saling ta’awun (tolong-menolong) maka rezeki yang datang akan terasa manisnya dan jika ujian yang datang melanda, suami isteri tidak saling salah menyalah antara satu sama lain tetapi bermuafakat bersama untuk selesaikan masalah tersebut.

IKLAN

Begitulah dengan kita, Syawal yang datang pada tahun ini sepatutnya menjadi satu platform untuk kita menambahkan lagi kecintaan, ukhuwah, saling memahami antara pasangan hidup kita. Jangan biarkan Syawal ini berlalu pergi begitu sahaja tanpa kita dapat merasakan atau memulihkan hubungan kita suami isteri.

Niatkan di dalam hati bahawa Syawal ini adalah Syawal yang paling manis di dalam hidup kita suami isteri dan ia akan membawa kita ke arah satu dimensi baru. Tiada lagi pergaduhan, tiada lagi tunding jari tetapi saling suap menyuap saling bermanja dan saling kasih-mengasihi.

Lihatlah Syawal ini sebagai Syawal terakhir untuk kita bersama pasangan kita kerana belum tentu kita akan berjumpa dengan Syawal pada tahun akan datang. Jadi bertitik tolak dari sini kita berjanji untuk membahagiakan pasangan masing-masing dan ingin melalui setiap detik indah bersama.

Maka jadikan Syawal tahun ini sebagai Syawal untuk kita memperbaiki, menampal, memulihkan hubungan kita bersama yang tersayang.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI