
Kek lapis Sarawak yang dihasilkan seorang bapa bukan sekadar manisan tradisi dari Bumi Kenyalang, tetapi menjadi sumber rezeki utama untuk menampung kos rawatan anak sulungnya yang menghidap penyakit jantung kronik sejak dilahirkan.
Mohamed Haffiez Mansor Taridi, 41, berkata anak pertamanya, Qaireen Adriana Tihani, 14, didiagnosis dengan masalah jantung serta injap yang tidak berfungsi normal.
“Lebih kurang enam kali pembedahan jantung telah dilakukan sejak kecil dan insya-Allah anak saya akan menjalani satu lagi pembedahan besar pada 2 Mac 2026.
“Pembedahan besar ini untuk menukar injap utama, tetapi setiap kali pembedahan, saya jadi takut seperti waktu awal-awal dahulu. Saya tetap reda sebab itulah yang terbaik untuk dia terus hidup,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, selepas diberhentikan kerja semasa pandemik Covid-19, dia mula menjual kek lapis Sarawak secara sambilan pada tahun 2022. Sebelum itu, dia dan isterinya, Fazleen Noor Adnan, 37, bekerja dalam industri perhotelan hampir dua dekad sebelum terpaksa akur dengan pemutusan kerja.
Selain berdepan cabaran menjaga anak sakit, Mohamed Haffiez sendiri menghidap haglund’s deformity, iaitu pembentukan tulang di bahagian belakang tumit yang menyebabkan geseran pada tendon achilles.
“Doktor beritahu kedua-dua tendon saya mengalami keradangan dan tekanan kronik. Sebab tu saya akan rasa sakit yang teramat apabila berdiri atau berjalan.
“Saya kini terpaksa menjadikan jualan kek lapis Sarawak sebagai pekerjaan sepenuh masa. Isteri bekerja sebagai pembantu kedai kek dengan gaji RM1,800 sebulan,” ujarnya.
Beliau berkata, sebahagian kos pembedahan anaknya akan ditanggung kerajaan, manakala bagi perbelanjaan tambahan, mereka telah memohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor.
Komuniti sekitar serta jawatankuasa surau turut banyak menghulurkan bantuan, termasuk sokongan kewangan dan barangan asas untuk meringankan beban keluarga. Sokongan moral daripada pelanggan setia kek lapis Sarawak buatannya juga memberi semangat untuk dia terus berusaha.
“Setiap kali pelanggan puji kek lapis Sarawak saya sedap dan lembut, rasa penat terus hilang. Saya anggap ini rezeki daripada Allah untuk anak saya,” katanya lagi.
Mohamed Haffiez berhasrat untuk mengembangkan perniagaan kek lapis Sarawak ke pasaran dalam talian agar dapat menjana pendapatan lebih stabil. Katanya, meskipun keadaannya mencabar, semangat dan kasih terhadap anak menjadi kekuatan utama untuk terus berjuang.
“Saya cuma mahu lihat Qaireen sihat dan dapat hidup seperti anak-anak lain. Setiap keping kek lapis Sarawak yang saya hasilkan, saya niatkan untuk kesembuhan dia,” ujarnya dengan sebak.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi beliau di talian 017-668 7229 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 88300021065015 (Mohamed Haffiez Mansor Taridi).
Sumber: Kosmo online
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE