
Berpuluh kali ulang-alik dari Singapura ke Tanjung Malim sejauh hampir 500 kilometer (km) setiap perjalanan akhirnya membuahkan hasil buat tiga sahabat apabila mereka berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD). Tiga wanita hebat itu — Dr. Pairah Satariman, 68; Dr. Salha Mohamed Hussain, 57; dan Dr. Abidah Bibi Kader Asana Marikar, 60 — membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencapai kejayaan akademik tertinggi.
Mereka diraikan bersama ahli keluarga yang datang dari Singapura bagi menyaksikan detik bermakna pada Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ketiga-tiga mereka menerima PhD dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu, masing-masing membawa cerita perjuangan tersendiri sepanjang pengajian.
Dr. Pairah, yang bertugas sebagai Pegawai Projek Unit Bahasa Melayu di Kementerian Pendidikan Singapura, menyifatkan perjalanan akademiknya penuh cabaran namun sangat berharga. Beliau menyiapkan tesis bertajuk ‘Penilaian Pelaksanaan Kemahiran Interaksi Pertuturan dalam Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Menengah di Singapura menggunakan model CIPP (Context, Input, Process, Product)’, yang memberi tumpuan kepada keberkesanan elemen komunikasi lisan dalam kurikulum.
Kajian tersebut bukan sahaja memperkaya pembangunan kurikulum Bahasa Melayu, malah menjadi rujukan penting kepada para pendidik untuk meningkatkan kualiti pengajaran berbentuk interaksi di dalam kelas. “Saya juga mahu kejayaan ini menjadi inspirasi kepada para pendidik dan pelajar di Singapura dan Malaysia,” katanya dengan penuh rasa syukur.
Seorang lagi graduan, Dr. Salha, yang berkhidmat sebagai Pakar Peneraju Bahasa Melayu di kementerian sama, turut menghasilkan penyelidikan signifikan berkaitan proses pembinaan buku teks. Beliau berjaya membangunkan model sistematik yang memperkukuh penyediaan buku teks Bahasa Melayu supaya lebih efektif, relevan dan mengikuti keperluan semasa pendidikan.
Kajian itu diiktiraf sebagai sumbangan penting dalam inovasi penulisan serta penerbitan bahan pengajaran di Singapura. Pendekatan baharu itu menjadi asas kepada penambahbaikan kandungan dan pendekatan dalam buku teks, sekaligus memberi manfaat kepada pelajar dan guru.
Sementara itu, Dr. Abidah Bibi yang sudah bersara namun kembali aktif dalam dunia pendidikan, meluahkan rasa syukur apabila impiannya menggenggam PhD akhirnya tercapai walaupun pada usia emas. “Saya mahu menjadi inspirasi dan membuktikan bahawa usia bukan penghalang kepada seseorang individu untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa semangat, kecekalan dan usaha berterusan adalah kunci yang membawanya ke tahap ini. Dalam penyelidikannya, Dr. Abidah Bibi membangunkan model pengajaran kemahiran mendengar yang lebih efektif dan mudah diaplikasikan bagi membantu pelajar bukan penutur jati menguasai Bahasa Melayu. Pendekatan tersebut turut diuji dan diguna pakai dalam bilik darjah sebenar di Singapura.
Kejayaan tiga sahabat ini menjadi bukti bahawa ilmu tidak mengenal batas usia dan segala pengorbanan pasti berbaloi apabila dilakukan dengan tekad dan keazaman. Kisah mereka bukan sahaja menjadi inspirasi kepada para pendidik dan pelajar, malah membuka mata masyarakat bahawa semangat pembelajaran sepanjang hayat mampu membawa kepada kejayaan luar biasa.
Sumber: Kosmo online
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE