Misteri kehilangan
kanak-kanak perempuan sejak 13 Julai lalu berakhir dengan tragedi apabila mayat mangsa ditemukan di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar.
Kehilangan Kanak-kanak Perempuan Berakhir


Mangsa, Nurjilya Abdullah, 10, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan. Mayatnya ditemukan dalam keadaan telah mereput sehingga proses pengecaman dilakukan oleh ibunya berdasarkan pakaian yang dipakai mangsa ketika dilaporkan hilang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 10.38 malam.
Menurutnya, sepasukan polis bersama Unit Forensik kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki disebabkan hentakan objek keras dan tumpul,” katanya.
Ditemui Sudah Reput di Kawasan Cerun


Susulan maklumat dan hasil siasatan yang dijalankan, polis menahan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi serta bukti berkaitan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Polis (ASP) La Paula Abd Muis di talian 013-5149490, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Nurjilya sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Numbak Bakau, Sepanggar, pada 13 Julai lalu.