Kecederaan murid berpunca daripada kemalangan ketika bermain, dan bukannya akibat pergaduhan atau buli seperti yang tular di media sosial sejak pagi tadi.
Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah, Ag Ku Jainuddin Ag Wahab, hasil siasatan awal mendapati insiden itu berlaku sewaktu murid berkenaan bermain bersama rakan di sekolah.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, kecederaan murid berpunca daripada kemalangan ketika bermain
dan bukannya kerana dipukul seperti yang tersebar di media sosial,” jelas beliau ketika ditemui.Tambahnya, pihak sekolah telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian berkenaan dan segera membawa murid terbabit ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebaik sahaja kejadian berlaku.
Beliau turut memaklumkan bahawa ibu bapa murid telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut. Pihak sekolah juga memberi jaminan bahawa keselamatan dan kebajikan semua murid akan terus menjadi keutamaan utama.
“Kami juga akan mengambil langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.
Terdahulu, tular beberapa gambar di media sosial yang memaparkan seorang murid perempuan berpakaian seragam sekolah dengan kesan darah di kepala sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna internet.
Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 11 pagi di sebuah sekolah rendah di daerah ini sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Penjelasan daripada Guru Besar SK Padang Berampah diharap dapat meredakan salah faham masyarakat berhubung isu tular tersebut. Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tanpa maklumat sahih.
Setakat ini, keadaan murid yang terlibat dilaporkan stabil dan masih dipantau oleh pihak hospital.
Insiden ini menjadi peringatan tentang pentingnya pengawasan dan keselamatan ketika aktiviti luar bilik darjah, serta keperluan memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat untuk semua pelajar.
Sumber: Berita Harian
Artikel sebelumnya: Murid Perempuan Dipukul Di Sekolah, Cedera Di Kepala
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE