
Kebaya Selangor terus diberi nafas baharu apabila menjadi tumpuan utama dalam penganjuran Heritage Fashion Week 2026 menerusi Festival Showcase Kebaya Selangor dan Kelingkan yang berlangsung selama tiga hari di Laman Wau, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Festival yang berlangsung dari 27 hingga 29 Jun itu merupakan penganjuran sulung oleh Asfarena dengan kerjasama Kraftangan Malaysia melalui Karyaneka sebagai rakan strategik.
Inisiatif ini bertujuan memperkenalkan Kebaya Selangor dan seni jahitan halus Kelingkan kepada masyarakat, sekali gus memastikan warisan tekstil Melayu terus dihargai serta relevan dalam dunia fesyen moden.
Pengasas Heritage Fashion Week, Datuk Asfarena Samion berkata, usaha memartabatkan warisan tekstil negeri Selangor perlu diteruskan supaya tidak hilang ditelan zaman.
Menurut beliau, cabaran terbesar ketika ini ialah mencari generasi pelapis yang benar-benar berminat untuk mempelajari seni jahitan Kelingkan yang memerlukan ketelitian dan kesabaran.
“Walaupun bukan mudah mencari pelapis, sambutan sepanjang tiga hari festival sangat memberangsangkan apabila kira-kira 50 peserta menyertai kelas jahitan Kelingkan,” katanya ketika ditemui media.
Bagi Asfarena, Kebaya Selangor bukan sekadar busana tradisional, sebaliknya melambangkan identiti, kehalusan budaya dan warisan wanita Melayu yang perlu dipelihara.
Beliau yang hampir 30 tahun berkecimpung dalam bidang seni jahitan halus berkata, warisan lama tidak seharusnya dilupakan walaupun dunia fesyen sentiasa berubah mengikut peredaran masa.
Sebaliknya, elemen tradisional perlu dijadikan asas dalam menghasilkan rekaan yang lebih segar tanpa menghilangkan identiti asal.
“Kita perlu terus mengangkat, mengetengahkan dan meraikan warisan supaya generasi muda memahami nilai budaya yang dimiliki negara,” katanya.
Selain memperagakan koleksi Kebaya Selangor, festival itu turut memperkenalkan seni Kelingkan kepada pengunjung melalui demonstrasi jahitan, pameran serta bengkel interaktif.
Kelingkan ialah seni sulaman menggunakan benang logam seperti emas atau perak yang dijahit pada fabrik halus seperti baldu, sutera dan songket.
Teknik sulaman tradisional ini lazim digunakan untuk menghias selendang, kebaya, tanjak dan pelbagai busana tradisional Melayu.
Festival tersebut turut dirasmikan Penaung Kebaya Selangor dan Kelingkan, Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Azman Shah.
Beliau berkata, usaha memartabatkan Kebaya Selangor bersama seni Kelingkan yang menampilkan motif bunga Tanjung Pecah Sembilan sebagai identiti negeri perlu diteruskan oleh generasi muda.
Menurut beliau, penganjuran festival seperti ini bukan sahaja mempromosikan warisan budaya, malah menjadi platform penting bagi memastikan seni halus itu terus hidup.
Beliau turut mencadangkan agar pendedahan terhadap seni warisan diperluaskan melalui penubuhan kelab atau aktiviti kokurikulum di sekolah.
Katanya, pendekatan tersebut mampu melahirkan lebih ramai generasi muda yang menghargai seni tradisional sejak usia awal.
Festival itu bukan sekadar meraikan warisan, malah membuka ruang kepada penggiat industri tekstil untuk menjalinkan kerjasama strategik.
Pengurus Besar Karyaneka, Hairul Nizam Mohd Amran berkata, pihaknya menyambut baik penganjuran Heritage Fashion Week kerana mampu mempromosikan produk tekstil tempatan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Menurut beliau, Karyaneka turut memperkenalkan 11 koleksi edisi terhad termasuk kain pasang bermotif bunga Pecah Sembilan serta kerongsang eksklusif berinspirasikan identiti Selangor.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali berkata, pihaknya bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkasa penubuhan kelab senikraf di sekolah seluruh negara.
Beliau menjelaskan setiap negeri mempunyai identiti kraf tersendiri dan usaha memperkenalkannya kepada pelajar secara praktikal mampu memastikan warisan negara terus dipelihara.
Melalui Heritage Fashion Week 2026, Kebaya Selangor bukan sahaja berjaya diperkenalkan kepada khalayak lebih luas, malah membuktikan warisan budaya mampu berkembang seiring dengan industri fesyen moden tanpa mengorbankan nilai tradisi yang menjadi kebanggaan negara.
Sumber: Sinar Harian