
Kanak-kanak Meninggal Dunia
Terkejut dengan kes kanak-kanak meninggal dunia di dalam bilik mandi, rupanya punca utama sebab sinki itu pecah dan terkena serpihan di leher. Allah, berat untuk mengucapkan perkataan sabar denagn ujian Allah bungkuskan.
Namun ini kenyataan yang patut keluarga ini telan, berlaku di Taman Bukit Segar, Cheras, mangsa dikenal pasti sebagai Adrian Nur Dazlee Mohd Fahmi Alfan baru berumur sembilan tahun.
Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9.01 malam selepas mangsa disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Zon Merah Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa sedang mandi di bilik air rumahnya sebelum dipercayai terjatuh dan mengalami kecederaan.
Mangsa kemudian dibawa oleh ahli keluarganya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Difahamkan, mangsa dikatakan memanjat sinki untuk membuka suis pemanas air sebelum sinki tersebut dipercayai pecah. Pecahan sinki itu didakwa terkena bahagian leher mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM bagi tujuan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan turut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Tragedi menyayat hati ini menjadi peringatan buat semua ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak di dalam bilik air.
Sumber gambar: Ain Humairah