
Pelakon popular Kamal Adli menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya wujud orang ketiga yang menjadi punca kemelut rumah tangganya bersama isteri tercinta, Uqasha Senrose.
Menurut Kamal, 39, dia menolak sebarang tuduhan berlaku kekerasan dalam perkahwinan mereka dan menegaskan cintanya hanya tertumpah kepada isteri serta anak mereka.
“Paling penting, saya nak beritahu di sini, saya tak curang. Saya tak ada orang lain. Saya tak ada sesiapa saja. Saya hanya ada dia (isteri) dan anak saya sahaja. Itu kes dalam kain, apa-apa semua, janganlah buat itu. Saya sayang dia. Okay, itu sahaja yang paling penting,” katanya.
Kamal berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri prosiding kedua tuntutan perceraian difailkan oleh Uqasha di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Pelakon filem Abang Long Fadil itu turut meluahkan rasa rindu yang mendalam terhadap isterinya selepas hampir sebulan tidak berhubung antara satu sama lain.
“Kami dah lama tak berjumpa. Terus-terang saya sangat merindui isteri saya. Agak lama jugalah iaitu sejak dia menyekat saya di telefon dan media sosial,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, prosiding pertama perceraian pasangan berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada 22 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan kerana Kamal tidak dapat hadir berikutan komitmen penggambaran.
Difahamkan, rumah tangga pasangan selebriti itu mula berdepan ujian sejak April lalu. Namun, sumber rapat menegaskan ia bukan berpunca daripada kehadiran pihak ketiga seperti yang didakwa segelintir pihak.
Kini, Uqasha dilaporkan tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan memilih untuk menetap bersama ibunya. Beberapa hantaran berunsur luahan perasaan yang dimuat naik oleh pelakon drama Hati Perempuan
itu di media sosial turut menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai status hubungan mereka.Sebagai rekod, pasangan selebriti Kamal Adli dan Uqasha Senrose mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang. Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan ini dikurniakan seorang puteri comel, Hawra Uqaira.
Walau berdepan ujian, Kamal tetap berharap agar rumah tangga mereka dapat diselamatkan. “Saya masih sayangkan dia. Saya hanya ada dia dan anak saya,” katanya mengakhiri perbualan dengan penuh sebak.
Sumber: Oh Bulan
Artikel lain: Kamal Adli Nekad Pertahankan Rumah Tangga Dengan Uqasha Senrose, Dedah Peguam
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE