
Suami Culas Nafkah
Panjang kalau nak cerita pasal suami culas nafkah pada seorang isteri, macam-macam versi ada! Yang sakit hati bila ada anak ramai dia baru buat perangai. Inilah kesan kalau kahwin dengan lelaki yang kurang jelas tentang tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Nak lagi faham soal nafkah yang wajib, jemput baca perkongsian daripada saudara Fahmi Ramli ini, barulah adil dan senang nak terangkan kepada pasangan.
Dalam rumah tangga, nafkah bukan benda kecil. Ini asas yang buat isteri rasa selamat dan dihargai. Tapi hari ini, masih ramai suami yang bagi nafkah ikut masa dia “teringat”, bukan ikut masa isteri dan anak memang perlu.
Syarak sudah jelaskan: suami wajib sediakan makan minum, tempat tinggal, pakaian, rawatan, dan keperluan harian keluarga.
Kewajipan ini tak hilang walaupun isteri bekerja atau gaji lebih tinggi. Isteri membantu, tapi suami tetap memimpin.
Bila suami mula culas, isteri bukan sahaja penat dari segi kewangan, tapi penat dari segi emosi. Dia mula rasa semuanya atas bahunya. Lama-lama, tekanan ini buat hubungan jadi jauh dan hambar.
Anak-anak pun terkesan. Mereka mungkin tak faham sepenuhnya, tapi mereka nampak siapa yang betul-betul berusaha menjaga.
Sebab itu undang-undang Syariah sediakan jalan. Isteri boleh tuntut nafkah, tuntut tunggakan, atau jadikan isu nafkah sebagai alasan cerai jika keadaan tak berubah.
Akhirnya, nafkah bukan sekadar duit. Ini tanda tanggung jawab. Tanda sayang. Tanda seorang suami masih memimpin keluarganya.
Jadi janganlah pandang remeh soal nafkah kepada seorang isteri, biar sedikit asalkan ikhlas. Insyaa Allah isteri faham dengan kewangan suaminya yang berjuang mencari rezeki.